Kehebatan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dalam arena Debat sekolah –sekolah di negara ini memang tidak dapat dinafikan. Dalam Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia kali ke-14, 2016 di Gombak semalam, sekolah berasrama penuh lelaki yang pertama di negara ini membuktikan keunggulan mereka dalam arena debat sekolah-sekolah Malaysia.
Sekolah berprestasi tinggi di Perak ini muncul sebagai Johan kategori Bahasa Melayu Pertandingan Debat Antara Sekolah yang  paling berprestij di negara tanah air baru-baru ini.
Para pendebat STAR yang terdiri daripada Muhammad Afif Nazhan, Syameel Aieman, Ilman Hakim membahaskan usul " Dewan Ini Mencadangkan Pemerintahan Tentera di Negara-negara Bergolak' berjaya menundukkan pasukan pendebat dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.


Kemenangan itu sekali gus melayakkan STAR membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala pusingan, piala iringan, piala individu dan sijil. Pendebat STAR Muhammad Afif Nazhan telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Kategori Bahasa Melayu.
Kategori bahasa Inggeris pula menyaksikan kehebatan pendebat Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan menewaskan pendebat STAR dengan isu  'Amerika Syarikat Perlu Membayar Wang Tebusan kepada Kumpulan Pengganas Untuk Membebaskan Rakyatnya'.
Sebanyak 80 pasukan yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK), Sekolah Berasrama Penuh(SBP), (MRSM) dan Sekolah Swasta  mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran UIAM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermula 22 Julai lalu.

Keputusan Pertandingan Debat  Antara Sekolah Malaysia UIAM 2016

Bahasa Inggeris

Johan : Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR)
Naib Johan : Sek Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR)


Bahasa Melayu

Johan : Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR)
Naib Johan : The Malay College Kuala Kangsar (MCKK)


Pendebat Terbaik
Bahasa Inggeris : Muhammad Nabhan (SDAR)

Bahasa Melayu : Muhammad Afif Nazhan (STAR)