WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Wednesday, September 30, 2009

HUKUMAN MESTI BAIK-BAIK

Hari ini di sekolah aku dan rakanku merupakan guru bertugas harian. Biasalah sebagai guru, sememangnya inilah antara rutin yang perlu dilaksanakan. Bertugas sehingga jam 6.30 petang di sekolah asrama sebegini sementara menunggu warden mengambil alih tugas jam 7.00 malam. Hari ini entry aku nak ceritakan pasal hukuman-hukuman yang sering diberikan kepada para pelajar. Tentu kita semua masih ingat kan zaman dulu-dulu. Rotan tu benda yang pasti dan paling menakutkan.. Sekali kena sentap kat guru disiplin, mak ai seminggu berbekas. Itu tak masuk lagi dengan rotan tambahan yang disediakan oleh ayah di rumah bila dapat tahu.

Selain daripada rotan, antara hukuman yang selalu diberikan adalah berdiri atas meja dan kerusi, jemur panas, pusing padang, jalan itik, pumping dan banyak lagi lah.. Paling tidakpun kena tulis perkataan yang diberikan oleh guru sebanyak 5,000 kali ke, 10, 000 ke. Itu kenangan lah..Sekarang ni susah juga sebab parents sangat 'prihatin'...Maknanya tak bolehlah nak 'sentuh' banyak-banyak sangat. Even kalau suruh pusing basket ball court pun, bising satu kemneterian. Takpalah, anak mereka kan..

Di sekolah ni, selain dari rotan, aku juga buat hukuman-hukuman begini. Haha. Gambar yang pertama tu aku suruh anak-anak aku ni jalan keretapi sambil merentasi padang sambil memegang telinga. Perjalanan ini mengambil jarak dari asrama ke sekolah..lebih kurang 100 meter. Gambar ke dua tu pula para pelajar yang tak hadir ke kelas pada waktu yang ditetapkan kami letak di anjung tamu, sambil buat kerja sekolah. Bermula jam 3.30 hingga 6.30 petang..sambil menemani kami guru bertugas. Ada juga manfaatnya...

Berbalik kepada hukuman sekarang, pandai-pandailah sebagai guru. Kalau kita ikut prosedur, insyaAllah selamat...



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, September 28, 2009

EH KAU DAH BUNCIT LAH!!

1) Eh kau nampak berisi lah...
2) Orang lain semua kurus bila puasa, kau je tak kurus-kurus
3) Mak ai, dah tembam lah kau...
4) Ai, kawin belum lagi, dah ada gaya nak dapat PJK (perut jauh kedepan)....
Salam semua..ayat-ayat di atas merupakan ayat yang selalu aku dengar mutaakhir ini, atau semenjak dua menjak ni..Balik je kampung, mesti ada yang tegur..dari jiran-jiran, sampailah bekas cikgu sekolah rendah. Semua nak menegur..Kalau seorang dua, rasanya takder lah kisah sangat, tapi kalau bila jumpa orang je, semua menegur, apa kes.. Walau tetap memberi senyuman yang kelat pada penegur, namun jauh disudut hati mula dipaliti perasaan gusar dan bimbang.
Balik je rumah, tengok bahagian perut, aii buncit ke?? rasanya masih mengenakan seluar saiz 30-31...Beralih pula pada muka ?? Tembam ke...cari-cari gambar dua tahun lepas, tengok betul-betul perubahan..hurm, macam tu gak. Pergi timbang, ai 62 kg, idaklah berat sangat..Tapi kenapa semua orang menegur?? Kenapa teguran tu merimaskan..jenug juga memikirkan..Dah namanya manusia kan...selalu nak kelihatan ideal..haha..
Tapi kalau namanya lelaki lantaklah..rasanya bahagia je dengan keadaan begini..tak mampulah nak memuaskan hati semua orang..Jadi diri sendiri lagi baik..Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaannya..ramai lagi orang kat luar sana yang lebih 'kurang' dari kitakan..





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, September 26, 2009

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG



Tempat jatuh lagi dikenang.. inikan tempat menimba ilmu dan tempat dirotan (dulu xdelah nakal sangat tapi cg silap faham)…sebelum balik Ipoh petang tadi aku singgah jap kat sekolah lama. Entah tetiba terkenang kerusi yang penah aku alaskan punggung..Entah ade ke entah tidak.. Mana taknya, 5 tahun aku di situ.. di sekolah yang banyak mengajar aku tentang kedewasaan. Tempat yang mendidik anak kampung seperti aku menjadi aku hari ini.
Aduh banyak perubahan rupanya.. hampir tak kenal aku.. rupanya dah 12 tahun aku tinggalkan alma mater yang banyak mendidik aku. Namun sayang, padang yang penah menjadi saksi kehebatanku dianugerahkan olahragawan 1997 dah tiada.. Bila masa ada bangunan atas padang. Aduh.. sapa nak dipersalahkan ? X tahu la kerajaan nyer polisi..
Terkenang guru-guru..ada yang masih hidup, ada yang da jadi gemulah. Pada yang telah pergi.. kutitipkan doa dan kuhadiahkan al-Fatihah buat kalian. Moga dirahmati allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.. cikgu-gikgu ku, terima kasih cikgu, maafkan saya cikgu, halalkan ilmu saya cikgu, doakan kejayaan saya cikgu. Cikgu-cikgu sentisa berada dalam kedudukan yang istimewa dalam idup aku..
Kawan2.. tak tahu mana tercampak. Masing-masing bawa haluan sendiri, ada yang dah bersuami, ada yang dah peluk isteri, ntah tinggal berapa kerat yang masih tercari-cari.. aduh, kenakalan remaja kita akan aku ingat sampai mati.. Sumpah, bila terlihat semula blok asrama, aku terkenang semula betapa akrabnya hubungan kita semua..

Terkenang juga makcik kantin, makcik dining, worker asrama, pejabat, tukang kebun, pak guard..sememangnya aku cukup akrab dengan mereka.. tak penting kita siapa. dan ada apa dengan kita.. yang penting kita manusia..saling memerlukan. Terima kasih buat semua…
Hurm,, akhirnya aku melangkah meninggalkan tempat yang menjadi saksi keremajaan aku..Tq aduhai sekolahku, guruku, kengkawan dan mereka yang pernah menjadi sebahagian dari hidupku.. ada masa kita jumpa lagi..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

LELAKI MELAYU KELANTAN TERAKHIR


Salam semua..hari-hari terakhir di kampung halaman, hurm sedih pulak rasanya. Hari ini aku nak post pasal sarung atau pelikat. Hurm, satu hari ni, aku dari pagi hingga malam hanya berkain pelikat. Agaknya aku masih lagi berpegang teguh pada adat orang-orang lelaki kelantan.haha.Ntahlah bila balik kampung je, semuanya bertukar secara automatik. Pagi tadi aku ke pekan dan ke pasar pun berkain pelikat, ke kedai pun sama, pergi pantai pun sama...Nak kata malu, takdalah pulak..sebab ramai juga yang berkain pelikat. Cuma bila aku nak ke Ketereh untuk menziarahi nenek, kakak menegur kerana masih berkain pelikat..Haha, tapi ada aku kesah???

Even masa ke Tesco sebelum Aidilfitri, aku lihat ramai juga "pakcik-pakcik" yang berpelikat..Kalau di Ipoh, memang tak dapat lah tengok senario ini. Sebenarnya senario orang lelaki di Kelantan berkain pelikat semakin hari semakin pupus. Hanya tinggal golongan tua yang masih berpegang dengan kebiasaan ini. Golongan muda semakin hari semakin meminggirkan pemakaian kain pelikat kecuali untuk tujuan Solat sahaja..Nampaknya, akulah lelaki melayu kelantan terakhir..Tapi bila di Ipoh, rasanya tak terbuat...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Friday, September 25, 2009

KENDURI TAHLIL

Semalam, 25 September kami adik beradik mengadakan kenduri tahlil arwah ayahanda di kampung. Alhamdulillah, seekor lembu telah ditumbangkan. Di sini saya bagi pihak Hajah Ramlah bt Haji Awang Teh dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-mara dan orang kampung yang telah membantu proses penyembelihan, melapah, menyediakan ramuan, memasak, tahlil, serta mengaji al-quran..Semoga amalan kita yang masih hidup sampai kepada roh Allahyarham..




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Tuesday, September 22, 2009

AMALANKU KELAS KEDUA??




Baru sekejap tadi, aku ke surau kampung untuk Solat Isya' Berjemaah. Aku jarang ke surau, masa ayah masih ada, aku selalu ke masjid. Kali ni kira-kira nak bersama-sama ngan orang kampung lah, bersalam-salaman. Tapi satu insiden yang amat menyedihkan berlaku. Bila bilal Iqamah, aku terus mengambil tempat di belakang imam. Namun, seorang hamba Allah di sebelah aku berbisik, "Mengapa dok sini, bagi ruang kat sheikh dok belakang imam, "..Aku jadi terkedu, sedih, marah dan sakit hati...Sheikh??? rupanya bapa mertua imam, yang tinggal di kampung sebelah..Lantas, solat isya' aku tidak khusyuk kerana memikirkan beberapa persoalan..

1) Adakah dalam islam ada beza antara jemaah.
2) Adakah kerana aku tidak berserban dan berjanggut, maka aku ditegur begitu rupa??
3) Adakah amalan aku dikira sebagai amalan kelas kedua, sedangkan ada yang dikira sebagai amalan kelas pertama??

Jenuh aku memikirkannya...Yang sedihnya yang bercakap adalah orang yang punyai pendidikan tinggi, dianggap warak dan selalu berjemaah di surau.Takpalah teringat firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu..."(Al-Quran, surah al-Hujurat: Ayat 13)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, September 21, 2009

SEMOGA TABAH NAQIB!!



Salam semua. Gambar di atas merupakan gambar Saudara Naqib bin Ismail, bekas Ketua Umum STAR tahun 2006. Naqib yang sedang melanjutkan pelajaran di India dalam bidang perubatan telah mengalami kemalangan di sana. Dikhabarkan sewaktu kemalangan berlaku, beliau sedang menunggang motosikal. Tak tahulah sejauh mena kebenarannya. Apapun, kemalangan tersebut terjadi pada bulan Ramadhan.Bila terpandang gambar ini, terkenang kembali peristiwa 2006 di mana saudara naqib juga telah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan di padang bola. Agak teruk juga kemalangan pada tahun 2006 di mana Naqib terpaksa berehat selama sebulan. Dia menumpang seb3 minggu di rumah aku kerana keadaannya tidak mengizinkan untuk berjalan jauh. Dan terpaksa menaiki kereta (tinggal di asrama) Apapun, Kami seluruh warga STAR mendoakan agar Saudara Naqib tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan Allah S.A.W. Apatah lagi beliau jauh di negara orang. Walaupun telah 3 tahun meninggalkan STAR, namun hubungan dengan guru-guru, serta para junior tidak pernah putus.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, September 20, 2009

PANTUN RAYA


Ni, aku titipkan beberapa rangkap pantun yang aku ambil dari Friendster aku. Pantun ini berkisar tentang sambutan Aidilfitri. Ianya disampaikan secara santai namun penuh pengajaran dalam dialek negeri-negeri di Malaysia.

p/s : Credit untuk pencipta pantun ini

Kelantan
Make ikke cicoh budu

Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile

Pahang
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan
Masak lomak cili api
Campo dongan! daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri

(org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN


Alhamdulillah hari terakhir di bulan Ramadhan. Semua ahli keluarga sudah berkumpul kecuali kakak yang ke-2 kerana beraya di rumah keluarga suami di Muar, Johor. Kami 7 beradik buat kali pertama akan beraya tanpa ayahanda. Bertambah-tambah kesedihan bila nenek masuk wad kerana pendarahan di kepala. Kata doktor sudah tak der harapan, tunggu masa sahaja. Doa dan tawakkal semoga segala urusan dipermudahkan. Kami adik beradik sempat menziaerahi nenek di Wad Mahsuri, Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Zakat fitrah pun baru sempat hari ini dibayar. Aku bayar zakat di kampung kerana arwah, ibu dan adik ada di kampung. Hurm semuanya RM 28 untuk 4 orang. Tahun ini harga beras naik..RM 6.90 segantang. Tak pa, itu kewajipan, Rukun Islam ke-3.

Hurm, untuk puasa hari terakhir ini, kami adik beradik masak menu istimewa iaitu ayam percik. Resipi turun temurun ini tak sama dengan ayam percik yang dijual di pasar ramadhan. Hehe, kalau sapa yang nak belaja boleh, tapi ada pengerasnya. Seronok juga berbuka ramai-ramai..hurm ibu gembira bukan kepalang anak-anak semua di depan mata. Saat berbuka beramai-ramai walaupun ayahanda tiada di depan mata, terasa sayu. Tapi anehnya, selepas peninggalan ayahanda, segala juadah kegemaran ayahanda menjadi juadah kegemaranku. Awal-awal lagi aku dah berpesan kepada ibu untuk dimasak daging goreng pada pagi raya, kerana itulah makanan kemestian ayahanda di pagi raya.

Malam pula selepas bertakbir hari raya di masjid, buat kesekian kalinya kami akan bersolat sunat Tasbih, iaitu amalan kemestian sewaktu ayahanda menjadi imam. Alhamdulillah, walau agak lama (tahu-tahulah solat sunat tasbih) tapi itulah yang selalu ayanhanda pesan. Mesti buat selalu, kalau tak dapat setiap hari, sekurang-kurangnya kena buat pada malam hari raya. Alhamdulillah pesanan itu aku ingat sampai bila-bila.

Halaman rumah juga perlu dibersihkan. Selalunya tugas ni adik bongsu aku yang selalu uruskan. Hurm lupa lagi, duit raya pun masih belum dimasukkan. Tahun ni anak-anak buah aku berikan duit 'lebih' sikit dari tahun-tahun sudah. Takpalah, kalau dulu ayahanda ada, tahun nampaknya akulah yang jadi boss tahun ni.

Dan buat terakhirnya kepada rakan-rakan, students, rakan-rakan blogger, adik beradik,anak-anak buah, sedara mara, orang kampung, dan seluruh muslimin- muslimat, aku ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf atas segala keterlanjuran lalu. Aku hanya manusia biasa. Selamat tinggal Ramadhan..moga bersua kembali..

Biar hati sejernih air,jangan pula dipenuhi lumpur
Kalau salah belum berakhir,harap diampun dengan rasa syukur
Jika budi dipenuhi ikhlas, jangan ia disulam tuba
Jika ada salah dan silap, harap diampun di hari raya...
Biar amarah disunting sunyum,ibarat pekerti disulam kasih
Harap dihalal makan dan minum, ibarat rezeki yang tidak disisih

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Friday, September 18, 2009

BERAYA DENGAN KERETA BARU

Insyaallah sekejap lagi saya akan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Inilah secara ekslusif saya kongsikan (bukan nak menunjuk) bersama rakan-rakan kereta baru saya selepas hampir 6 bulan tida kereta kerana kemalangan ngeri. Honda City
i-VTEC ini secara rasminya jadi milik saya (milik bank sebenarnya) pada 16 September 2009. Alhamdulillah, saya dapat nombor plat yang ditempah.AGX 1180 iaitu tarikh hari lahir saya.01.01.80. Ini sahaja yang mampu..Doakan saya semoga selamat sampai ke Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat Kelantan. Saya juga mendokan rakan-rakan semua walau di mana berada agar selamat sampai ke destinasi masing-masing.




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SHOPPING RAYA DI GERBANG MALAM



Malam tadi aku sempat menjengah ke Gerbang Malam di Pekan Ipoh. Maklumlah shoping raya last minute. Bersama Kak Cik dan maidnya, kami ke sana dalam hujan renyai. Ingatkan bila hujan renyai, tidak ramai lah lautan manusia di sana. Sampai di sana, mak ai..ramai betul warga kotaraya Ipoh tertumpu di sana. Lautan manusia memenuhi Gerbang Malam sampaikan untuk mencari parking pun susah. Semua orang bertumpu untuk membeli keperluan hari raya pada penghujung Ramadhan ini.

Gerbang Malam merupakan 'pasar malam' yang terkenal di Ipoh. Satu-satunya 'uptown' sebagaimana yang ada di Kotaraya Kuala Lumpur. Kalau nak cari tudung, jeans, kuih raya, mercun, butang baju melayu. keronsang, DVD, selipar, kasut, baju bolehlah anda berkunjung ke Gerbang Malam. Tambahan pula hanya tinggal dua malam lagi untuk merasai kemeriahan dan keseronokan Gerbang Malam. Kalau pada malam-malam biasa Gerbang Malam dibuka dari jam 9 hingga 1.00 pagi. Namun bersempena Ramadhan, ianya dilanjutkan sehingga jam 3.00 pagi.

Harga bagi setipa barangan yang ditawarkan adalah berpatutan. Malahan kita boleh tawar sehingga 50%. Seperti mana di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada malam-malam raya, para peniaga Gerbang Malam mungkin akan melelong barangan jualan mereka pada malam raya nanti. Tentu meriah apabila biskut raya yang biasanya dijual RM 18 sebekas diturunkan sehinggan RM 10. Tapi sayang, masa tu aku sudah berada di Kelantan. Jangan tak tahu, inilah juga tempat popular anak-anak kat sekolah aku untuk 'terbang malam'....



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, September 16, 2009

MALANG TAK BERBAU


Cuba renungkan gambar ini..itulah malang tak berbau. Sudahlah kemalangan, kehilangan pula kedua-dua kaki akibat digilis lori. Hati-hati rakan-rakan kerana nyawa kita tiada gantinya. Ingatlah isteri, anak-anak, ayah ibu dan sanak saudara yang sentiasa merindui kepulangan kalian semua di pagi raya.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Tuesday, September 15, 2009

TALI LEHER

Salam semua..Hari ni post aku pasal tie..aku ni kalau nak tahu boleh dikategorikan sebagai peminat-peminat tie. Rasanya semenjak zaman student hinggalah zaman dah kerja aku dah ada dalam 60 tie..samada aku beli atau hadiah dari rakan-rakan dan students.Samada beli di butik-butik terkenal atau kedai 5 ringgit. Biasalah , kalau perempuan tukan suka benor deme kumpul barang2 seperti beg tangan la, kasut la...huhu kalau pergi sekolah, baju pink, kasut pun mesti pink..yang tak tahan tu beg pun pink gak..lipstik pun pink da..haha jangan lebih-lebih pula mengata kaum hawa ni, nanti ada yang naik darah..

Kalau dulu-dulu, tie aku saiz macam biasalah..macam ramai-ramai orang pakai..macam-macam kaler ada, maklumlah kenalah juga jaga imej kan.Kalau baju warna kuning air, mestilah tie pun kaler kuning juga.Ni satu lagi selalunya kalau kemeja kita plain, tie mesti ada corak samada petak, jalur (bukan jalur gemilang) atau corak-corak lain. Jangan pulak baju dah belang-belang warna hitam, pastu tie pun kaler gelap gak dan berbelang-belang jugak..haha macam makcik-makcik pulak. Tapi lately ni aku suka pakai tie yang agak kecik saiz dia. Macam indie plak. Tapi nampak macam nice je. Hurm dalam koleksi aku, tie yang paling mahal pernah aku beli ialah tie Padini yang harganya RM 99. Yang paling murah tu hadiahlah..hehe. Tak yah kuar modal.

Kalau nak tengok nilah koleksi sebahagian tie aku..Ni je dalam simpanan aku.. Sebahagian lagi ada di kampung, iaitu koleksi zaman kampus dulu..Ok selamat bersahur..




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, September 14, 2009

MANUSIA MATI MENINGGALKAN JASA


Salam buat semua. Pagi tadi di sekolah, telah berlangsung satu Majlis Sumbangan Bantuan Kewangan Yayasan Tun Hamdan. Aku bukan nak ulas pasal majlis pagi tadi kerana semuanya telah aku postkan dalam bog kedua aku (blog skema)...Cuma aku nak ulas pasal bagaimana penghargaan yang diterima terhadap jasa dan pengorbanan seorang yang bergelar guru. Yayasan Tun Hamdan ditubuhkan sebagai usaha untuk mengenang jasa, pengorbanan dan aspirasi seorang bekas guru yang banyak menabur jasa demi kecintaannya kepada dunia pendidikan.

Rasanya ramai yang mengenali Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir, anak kepada seorang tokoh reformis bangsa, Sheikh Tahir Jalaluddin yang bermula sebagai guru, kemudiaannya sebagai guru besar dan pengetua. Seterusnya beliau diangkat sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Naib Canselor USM. Akhir sekali sebagai Gabenor negeri Pulau Pinang. Allahyarham merupakan pengetua pertama sekolah tempat aku mengajar.

Walaupun telah 4 tahun meninggalkan kita, namun jasa dan khidmat bakti Tun Hamdan tetap dihargai. Ramai antara kita yang sentiasa mengenang jasa guru-guru kita walaupun telah meninggal dunia. Semoga usaha untuk menubuhkan Yayasan dan meneruskan aktiviti-aktiviti kebajikan setelah peninggalan Tun Hamdan diberkati. Dan ingatlah betapa doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat akan sentiasa sampai kepada mereka yang telah meninggalkan kita semua..Al-Fatihah buat tun Hamdan Syeikh Tahir..

Sudah teradat si anak lelaki

Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PULANGLAH DENDANGAN AISYAH


Termenung ku sendiri

Memendam rindu tidak menentu
Kasih suci murni yang kita bina
Hapus hancur oleh kata fitnah

Di pagi hari raya
Hati sayu mengenang dirimu
Mudahnya kau menggantikan diriku
Seolah cintaku tak berharga

( korus )
Apakah suratan
Aidilfitri satu titik akhir
Sekian lama bercinta
Kau tiada di hari mulia

Keampunan ku pohon
Sekiranya aku yang berdosa
Pulanglah ku merindui mu sayang
Ku menanti dengan hati rela ( jiwa raga )

Pulanglah kepangkuan ku oh... sayang
Ku menunggu mu di hari raya

Di atas merupakan lirik lagu Pulanglah dendangan Aisyah.Rasanya semua orang tahu lagu ni. Lagu yang penuh dengan pengharapan seorang gadis agar kekasihnya pulang pada pagi Aidilfitri.Apatah lagi, Aidilfitri pun makin hampir. Radio-radio, televisyen dan pasar raya sibuk memutarkan lagu-lagu raya. Hurm, sebenarnya post kali ni nak menulis tentang lagu raya yang paling diminati semenjak dulu sampai sekarang. Kalau rakan-rakan nak tahu, inilah lagu kegemaran saya. lagu kegemaran rakan-rakan apa ya??


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, September 13, 2009

DAH BAYAR ZAKAT FITRAH??



Assalamualaikum semua...Salam 24 Ramadhan..semakin hari semakin dekat Aidilfitri menjengah kita. Anak bulan pun mungkin dah tak sabar menunjukkan wajahnya. Pasaraya-pasaraya begitu sesak dipenuhi dengan pelbagai ragam manusia, sedangkan masjid pula terus kontang dan kosong dari kehadiran ummatnya...Hurm bukan nak membebel pasal 10 hari terakhir Ramadhan, tapi kali ini pasal zakat firah.


Firman Allah S.A.W dalam surah Al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud :

Dan (Ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil ( iaitu ) : Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.

Bagaiman rakan-rakan semua?? Dah tunaikan ke zakat fitrah?? Tahun ni, saya ambil alih tugas ayah yang dengan membayar zakat untuk mak, arwah ayah, dan dua lagi adik perempuan saya. Selalunya saya akan membayar zakat fitrah saya di Ipoh..manakala untuk adik-adik dan ibu saya di kampung halaman.


Di sini saya senaraikan waktu-waktu membayar zakat fitrah:

1) Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2) Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.

3) Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.

4) Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5) Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.


Niat Zakat Fitrah


“ Wang sebanyak RM____ ini sebagai menunaikan zakat fitrah, yang wajib ke atas diri/keluarga saya untuk tahun berakhir _____ tunai kerana Allah Ta'ala. ”


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, September 12, 2009

KUBERI ROTAN, KALIAN HULURKAN KASIH SAYANG


Cenderamata dari pelajar-pelajar saya sepanjang 6 tahun berkhidmat di sekolah ini..Semua pelajar saya lelaki (sekolah satu jantina). Saya akui, saya selalu merotan mereka (guru disiplin), namun hadiah hari guru, hari lahir tak pernah putus..hurm, walau hanya sebatang pen, namun cukup besar maknanya..Akan disimpan buat kenangan sepanjang hayat saya. Terima kasih semua..


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Thursday, September 10, 2009

SEPATUTNYA KURSUS INI PADA HARI RAYA PERTAMA


Semalam aku menerima sepucuk surat arahan dari Sektor SBP, Kementerian Pelajaran Malaysia berkenaan dengan Kursus Guru Pembimbing Debat Bahasa Melayu/Inggeris Sekolah Berasrama Penuh 2009. Kursus ini akan diadakan di Hotel Grand Continentel, Kuala Lumpur. Ianya akan bermula pada 14-16 September 2009. Mulanya aku terduduk juga, macam tak percaya pulak..Hurm, aku tahu kecintaan aku pada debat, namun aku rasa aku nak jadi jahat kali ini. Sebelum nipun, aku tak pernah menolak dari menghadiri kursus yang dianjurkan oleh kementerian. Walau setiap tahun terpaksa mengorbankan cuti pertengahan tahun membawa pasukan debat ke HKSBP. Aku masuk berbincang dengan pengetua, dan setelah menyatakan masalah-masalah aku, akhirnya pengetua terpaksa akur dengan pendirian aku.Rasanya, rakan-rakan logik dan releven ke kursus tersebut??

Aku rasa aku nak senaraikan 'kegeraman' aku pada Sektor SBP..

1) Maaf cakaplah, takkan nak adakan kursus hampir benar dengan Aidilfitri..Tak ke pegawai-pegawai yang bijak di atas sana terfikir tentang tarikh yang hampir sangat dengan raya. Di sekolah pun dikerah, kementerian pun tak habis-habis mengerah. Macam mana pulak dengan guru-guru yang datang dengan bas?? Buatnya bas nak balik takde..maklumlah dekat raya. Tu yang datang dari Sabah dan Sarawak..belum tentu ada tiketnya. Lebih baik adakan kursus pada hari raya pertama.

2) Rasanya ada lagi 3 bulan lagi sebelum 2009 berakhir dan 2010 menjenguk. Tak kanlah tak dapat pilih 3 hari dari tempoh tersebut. Adakah kerana nak jimatkan kos (makan tengah hari tak perlu disediakan), maka kebajikan guru-guru diabaikan. Bila masa nak berterawikh, sedangkan saat-saat akhir nilah kita nak rebut Malam Lailatul Qadar.

3) Guru-guru yang tak hadir, pengetuanya akan dikenakan surat tunjuk sebab. Mak ai, begitukan cara mereka mengugut pengetua?? Kalau inipun dikenakan surat tunjuk sebab, nampaknya orang kementerian pun tak hargai guru-guru. Nak kena orang-orang dari sektor lainlah yang datang dan hargai guru-guru.

4) Saat genting macam nilah nak buat kursus. Pelajar-pelajar Tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR seminggu selepas Aidilfitri. Tambahan pula aku mengajar 4 kelas PMR, rasanya tak sanggup meninggalkan mereka.

Hurm, rasanya inilah antara perkara-perkara yang membuatkan aku geram. Walau aku tahu kursus ini bagus dan banyak manfaatnya, namun aku rasa kadang-kadang kita kena MENOLAK, walaupun ini merupakan tugas rasmi. Tambahan pula ramai kawan-kawan dari SBP lain turut mengalami sindrom yang sama..TAK NAK!!!


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, September 9, 2009

PENJUAL SURAT KHABAR


Takder benda nak post hari ini..nak tunjuk kat kawan nilah kerja saya setiap pagi seawal jam 6.45pagi..Menulis nama2 pelanggan untuk surat khabar Berita Harian dan STAR. Kat sekolah antara tugas saya adalah mengedarkan surat khabar yang ditempah oleh guru, kakitangan dan pelajar-pelajar STAR..So, sapa kata kerja cikgu tak banyak??? Hampir seratus nama yang perlu diingat..tapi alah bisa tegal biasa..Semuanya ada dalam kepala.Tak perlu lagi kertas nama, berbakti untuk rakan-rakan dan pelajar semua..Salam 19 Ramadhan.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, September 7, 2009

KASIHAN IBU TUNGGAL


Gambar sekadar hiasan

Sebelum ayah meninggal aku pernah berbual dengan ibuku..Bunyinya kira-kira begini, "Kenapa ya mak kampung kita ni ramai betul ibu tunggal..kaum ibu tak ramai yang meninggal, tapi kaum bapa setahun 7,8 orang yang akan pergi dulu..", Ibu hanya mampu tersenyum dan kami mula mengira-ngira berapa banyakkah rumah di kampungku tidak mempunyai LELAKI sebagai ketua keluarga..ternyata lebih kurang 45 keluarga yang isteri mereka tidak punya suami dan anak-anak tidak punyai ayah. Akhirnya kini tibalah giliran kami pula kehilangan ayah.

Aku menulis entri pasal ini adalah kerana kalau diperhatikan kebanyakan keluarga yang tak punyai LELAKI sebagai ketua keluarga porak peranda. Di kampung aku, ramai dalam kalangan anak-anak yang tak punya bapa terlibat dengan pemasalahan seperti dadah, ponteng, merokok, rempit, pecah rumah dan banyak lagi kesalahan lain. Jangan salah sangka, mohon maaf banyak-banyak.Bukan aku nak cakap anak yatim tu jahat, malah ramai dalam kalangan mereka yang berjaya ke menara gading. Kita kena akui hakikat ini, kesusahan, kemiskinan dan kepayahan itu sebenarnya yang melonjakkan mereka. Namun, hakikatnya juga ramai di luar sana yang terbiar dan terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat.

Di kampung-kampung, kebanyakan ibu tunggal tak punya akses kepada banyak pekerjaan. Kalau di bandar ada juga pekerjaan seperti di sektor perkilangan, gedung membeli belah, cleaner dan sebagainya. Tapi di kampung?? Paling tidak berniaga kedai runcit bagi yang ada modal. tidakpun pekerjaan yang memerlukan kemahiran seperti tukang urut..Kalau di kampung aku kebanyakkan mereka bekerja sebagai pembantu di kilang membuat keropok sebagai tukang siang ikan..Hurm, itulah hakikat kepada sebuah kehidupan. Kudrat dan tenaga dikerah sepenuhnya untuk mencari pendapatan untuk membesarkan anak-anak. Maka anak-anak terbiar tanpa kawalan dan perhatian.

Baru-baru ini sewaktu aku pulang ke kampung, seorang saudara (juga ibu tunggal) dalam nada sayu menceritakan anaknya sudah tidak mahu bersekolah. Berkawan pula dengan budak-budak nakal yang memeng terkenal dengan kes pecah rumah dan dadah. Setiap hari pulang lewat malam, bukan kerana bekerja tetapi kerana melepak bersama kawan-kawan. Dan yang paling penting, tiada siapa yang nak ditakutkan. Kerana dia hanya punya nenek, ibu, dan kakak. Bergenang air mata si ibu dengan sikap anaknya. Ini hanyalah sebahagian dari kisah dan masalah yang dihadapi oleh ibu tunggal.

Apapun kita kena kembali kepada qada' dan qadar Allah. Yang pergi tetap pergi, yang hidup kena teruskan kehidupan. Persoalan yang sukar dijawab...siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?? Terkenang lagi kata-kata ibu, "Esok-esok di kampung kita nak cari orang yang nak usung jenazah pun takda.." Hurm, itulah janji Allah....Nauzubillah..Salam Nuzul Quran..


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, September 6, 2009

JANGAN KHIANATI ANAK YATIM



Alhamdulillah, tadi aku berpeluang mengikuti rombongan pertubuhan Pendidikan Ad-Deeniyyah, Ipoh bertandang ke Asrama Anak-anak Yatim Darussalam, Simpang Pulai untuk berbuka puasa. Ad-Deeniyyah merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan untuk mengembangkan sistem pendidikan pondok moden kepada umat Islam yang berminat. Sebagai sebuah NGO pendidikan, Ad-Deeniyyah secara lazimnya menjalankan tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Aku sampai di sana bersama Kak Noridah dan Abang Farid tepat jam 6.30 petang sambil menunggu ahli-ahli Jawatankuasa Penaja yang lain. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dimulakan dengan tazkirah ringkas mengenai Anak Yatim yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Rahmat dari Universiti Teknologi Petronas. Seterusnya majlis berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim telah diadakan, didikuti dengan solat maghrib berjemaah, solat Isya' dan solat terawikh. Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan barang-barang keperluan kesihatan dan kelengkapan diri, wang tunai serta pembahagian duit raya kepada para penghuni.

Amat menyentuh hati menyaksikan anak-anak yatim yang hidup di asrama tanpa kehadiran ayah dan ibu di sisi. Mereka merupakan anak yatim yang telah kematian ayah dan dari golongan fakir miskin yang berpendapatan rendah. Di sinilah mereka diajar untuk berdikari bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Tersentuh hati kecil aku apabila melihat kanak-kanak berusia 4 tahun yang telah dihantar oleh ibunbya ke asrama ini kerana ketidakmampuan ibunya menyara kehidupannya. Rumah kanak-kanak malang ini telah terbakar, semeetelah ayahnya pula kembali ke Rahmatullah. Terdetik betapa walaupun aku telah kehilangan ayah, namun Al-hamdulillah kehilangannya sewaktu aku telah dewasa.

Bayangkan anak-anak kecil yang tidak sempat merasa belaian kasih sayang ayahnya. Namun, mujur ada insan-insan mulia yang sudi menjaga dan mengasuh mereka seperti anak sendiri di asrama anak yatim tersebut. Aku doakan agar anak-anak ini terus diberi kekuatan untuk meneruskan hidup, berjaya dunia akhirat dan akan dapat membantu ibu mereka apabila sudah dewasa nanti.

Mengambil iktibar sirah Nabi Muhammad SAW junjungan besar kita yang yatim piatu semenjak kecil lagi .Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :


"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya."

Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget