WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Thursday, December 31, 2009

ALLAH HILANGKAN MATAHARI


Salam semua.Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2009. 2010 bakal menampakkan kehadirannya esok hari. Alhamdulillah setahun telah berlalu, tahun yang dianggap sebagai tahun sedih, tahun yang cukup mencabar dan tahun yang banyak menguji kesabaran. Saya kira, semua orang turut mempunyai catatan sejarah yang tersendiri. Dan masing-masing punya cara dan kaedah untuk mengatasinya. Berbalik kepada tahun 2009, ada EMPAT peristiwa penting yang benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan.

PERTAMA-Kemalangan yang hampir meragut maut. Masih teringat kejadian yang berlaku dalam bulan Mac di mana kereta saya terbalik dan terjatuh ke dalam gaung di Grik. Saya kira, maut sudah semakin hampir ketika itu, hanya berserah kepada Allah. Namun, saya kira Allah itu maha pengasih dan pentadbir yang sempurna untuk makhluknya. Saya terselamat walaupun kereta saya hancur. Mujur sedikit kekuatan yang diberikan, saya cukup tabah atas dugaan ini. Siapa tahu ini adalah Kafarah dosa-dosa saya. Sehingga kini, saya cukup trauma apabila melaui tempat kejadian untuk pulang ke kampung halaman.

KEDUA- Putus kasih. Benar kata orang, manusia mentadbir, Allah jua yang mentaqdir. Mungkin jodoh tiada, perjalanan yang baru bermula, terputus begitu sahaja. Saya anggap tiada jodoh antara kami, dan hikmah yang terselindung saya cukup mengerti. Yang berlalu, biarlah berlalu. Hati usah berlagu pilu, terkenang pada yang tak mahu.

KETIGA- Saya kehilangan 3 orang mentor di sekolah apabila 3 orang penolong Kanan dikeluarkan atas dasar kepentingan pihak-pihak tertentu. Sudah tentu saya terkejut, sedih dan kecewa kerana merekalah yang banyak membimbing saya dari mula saya bergelar pendidik hingga ke hari ini. Peristiwa ini mencetuskan perbalahan yang agak hebat di sekolah. Dan akhirnya mereka bertiga terpaksa mengalah. Namun, berundur bukan beerti kalah! Tetapi berundur kerana maruah!!

KEEMPAT- inilah peristiwa yang cukup menguji ketabahan apabila saya kehilangan insan tersayang, Haji Abdul Ghani bin Abbas yang kembali ke Rahmatullah sehari sebelum rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan negara. Bertambah hebat apabila sewaktu ayahanda pergi saya tiada di sisinya. Semoga Allah mengasihaninya di akhirat sana.

Semoga Allah akan berikan yang terbaik untuk tahun 2010.Kadang-kadang Allah hilangkan matahari, lalu dia hadirkan kilat dan guruh. Lalu kita menangis mencari di mana matahari. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, December 30, 2009

KELAHIRAN UMAIRAH KAISAH


Alhamdulillah, akhirnya seorang lagi ahli keluarga baru kami telah dilahirkan. Tahniah buat adik saya, masitah dan pasangannya, Muhd Hisyam yang telah dianugerahkan dengan anugerah yang tidak ternilai. Puteri sulung lambang cinta mereka telah selamat dilahirkan secara normal di pusat Rawatan Pakar Az Zahrah, Bangi, Selangor pada jam 4.20 pagi 29 Disember 2009. Bayi seberat 3.1 kg ini diberikan nama NurUmairah Kaisah.

Kepada Masitah dan Hisyam, tahniah buat kalian berdua. Semoga zuriat yang suci bersih ini dididik dengan sebaik mungkin. Begitu juga buat Umairah, selamat datang ke dalam keluarga besar arwah Haji Abdul Ghani dan Hajah Ramlah. Semoga dikau membesar menjadi seorang puteri yang solehah, yang akan membahagiakan kedua orang tua. bertambah kini anak saudara kami kepada 16 orang..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, December 28, 2009

17 HARI MENCARI CINTA


Assalamualaikum buat semua rakan-rakan dan pengunjung Blog Hok Sengoti. Alhamdulillah agak lama juga saya tidak menulis, kalau menulis pun, sekadar memetik berita dari internet sahaja. Wah tajuk kali ni agak kontreversi. Mesti ramai yang tertanya-tanya adakah saya dudah ketemukan cinta sejati saya..Kalau ketemu, takkan dalam tempoh 17 hari je sudah dapat?? Siapakah gadis bertuah itu ?? Atau janda yang jadi pilihan hati ?? Haha, jangan tertipu, jangan terkasima. Bukan saya ketemu seorang wanita untuk dijadikan suri hidup saya. Tetapi kebahiaan dan kegembiraan dalam tempoh 17 hari.

17 hari saya di kampung halaman, cukup membahagiakan. Dan hari ini saya kembali semula berkelana ke Ipoh, tempat mencari sesuap nasi. Sebenarnya 17 hari saya berada di tempat kelahiran saya, cukup membahagiakan saya. Kembali menjenguk kampung halaman yang amat saya cintai. Selalunya, saya hanya meluangkan masa tidak lebih seminggu sahaja. Selebihnya waktu cuti, saya habiskan di Ipoh, di samping berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di Malaysia mahupun di negara-negara jiran.

Alhamdulillah, 17 hari ini saya isikan dengan banyak perkara yang saya kira sangat membahagiakan saya. Inilah sebenarnya yang saya katakan MENCARI CINTA. Cinta pada Ilahi, pada keluarga, pada teman-teman, pada guru-guru dan tempat kelahiran. Alhamdulillah, saya cukup bahagia apabila dapat beriktikaf di dalam surau yang banyak memberikan kenangan kepada saya, di surau inilah bermulanya tugas ayah sebagai imam, seterusnya berpindah ke masjid. Dan saya kembali pada hari ini bersama orang-orang kampung bersolat jemaah, malah cukup terharu apabila saya juga diminta untuk mengimamkan solat berjamaah di surau, bukan sekali dua, tetapi hampir setiap hari. Saya juga cukup bahagia apabila berpeluang menziarahi pusara ayahanada setiap hari. Bagaikan terngiang-ngiang suara ayahanda menyapa mesra setiap kali surah Yaasin dibacakan dipusaranya.

Selama 17 hari juga saya berpeluang untuk bertemu rakan-rakan sekolah yang telah saya tinggalkan 10 tahun yang lalu. Ramai yang berjaya saya jejaki. Ada yang bekerja sebagai penjual ikan, peniaga, kerja kerajaan, jurufotostat dan tak kurang juga hebat sebagai kontraktor. Dapat bertemu dan bertanya khabar, bersua dan bertukar cerita tentang kenangan alam persekolahan serta kehidupan hari ini. Alhamdulillah, persahabatan yang lama terputus dapat disambung semula.

Selama berada di desa, sempat saya mengunjungi tempat-tempat yang sememangnya menjadi tempat persingghan dan tumpuan suatu waktu dahulu. Pantai Seri Tujuh yang banyak menyimpan kenangan cinta monyet saya kunjungi. Jauh benar berubah. Pantainya makin hampir ke darat kerana hakisan. Banyak chalet-chalet yang didirikan memberikan rezeki buat penduduk kampung. Selain itu juga, saya sempat berkunjung ke Pekan Takbai, Thailand. Suatu waktu dahulu, inilah tempat popular untuk dikunjungi bagi membeli belah. Namun, keadaan sudah berubah. Kawalan di sempadan begitu ketat. Askar Thailand ada di mana-mana di setiap penjuru pekan Takbai.

Dan akhirnya, saya hampir berjaya mendamaikan kekusutan, pertelingkahan yang berlaku dalam keluarga besar saya (bukan adik beradik) Semuanya kerana harta. Doakan usaha murni saya akan berjaya. Saya tak ingin melihat saudara mara saya berterusan bercakaran merebut harta dunia. Di samping itu juga, harta peninggalan ayahanda juga telah dibawa kepada perbincangan adik beradik serta menunggu untuk dibicarakan. Pasti ayahanda gembira melihat anak-anak tidak bergaduh dan bermasam muka dalam mewarisi sedikit harta pusaka yang ditinggalkan.

Tetiba saya teringat mutiara kata yang cukup menikam kalbu, " Kadang kala Allah hilangkan matahari, kemudian Dia datangkan kilat dan guruh. Puas kita menangis mencari mana mentari, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita mentari.."

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, December 23, 2009

PENGIRAAN MERIT KE IPTA DIUBAH

Pengiraan merit yang diguna pakai ketika ini iaitu 90 peratus bagi akademik dan 10 peratus kokurikulum sebagai syarat kemasukan ke ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diubah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata perubahan itu selaras dengan dasar baru pendidikan yang mahu menjadikan kegiatan sukan dan pakaian seragam sebagai kokurikulum wajib, sekali gus mengelakkan pelajar menumpu akademik semata-mata.

"Kementerian bagaimanapun belum memutuskan berapa peratus akademik dan berapa peratus kokurikulum sebagai syarat masuk IPTA. Namun, yang pasti kuota asas kokurikulum dinaikkan.

"Akademik semata-mata tidak melahirkan modal insan cemerlang. Sebab itu pentingnya pembabitan dalam kokurikulum kerana banyak nilai murni boleh dipelajari melaluinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Musleh di sini, semalam. Seramai 1226 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai perkhemahan itu.

Mohd Puad berkata, langkah mewajibkan kegiatan kokurikulum itu juga berikutan pada masa ini kebanyakan sekolah tidak lagi memberi penekanan kepada kegiatan luar menyebabkan pelajar tidak mengambil serius dengan aktiviti sukan dan pasukan seragam.

Ditanya persediaan kementerian, terutama jumlah guru sukan apabila dasar baru kokurikulum sekolah itu dilaksanakan, beliau berkata, guru sukan terlatih akan dihantar ke beberapa sekolah terpilih terlebih dulu.

"Perkara ini akan dibuat secara beransur-ansur. Guru sukan terlatih itu akan dihantar ke sekolah terpilih dan sebagai permulaan mungkin empat atau lima buah sekolah berdekatan berkongsi guru sukan sama.

"Kita tahu ada sekolah yang tiada padang dan bukan semua sekolah berdekatan dengan stadium mini. Sebab itu dasar baru ini akan dibuat secara perlahan-lahan," katanya.

- BERITA HARIAN

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Friday, December 18, 2009

MUHARRAM YANG MENGINSAFKAN



IBNU MAS'UD berkata: Perkara yang paling sedih pabila tiba tahun baru adalah umurku makin bertambah, namun amalanku masih tidak bertambah. Ini merupakan antara SMS yang dihantar oleh para sahabat saya sempena kedatangan tahun baru Hijrah 1431. Entah mengapa, dalam banyak-banyak SMS yang tiba, SMS inilah yang sangat mengesankan saya. Benarlah kata-kata bertapa dengan kata-kata ianya bisa mengubah manusia. Semacam kita sebagai manusia, seringkali alpa dalam usaha menambah bekalan di akhirat, sedangkan usaha menambah kekayaan, kekuasaan, kemasyhuran sedang giat dilaksanakan. Sehingga pagi ini, kata-kata IBNU MAS'UD masih bermain-main di minda.

Betapa saban tahun kita menyambut tahun baru samada Hijrah mahupun masihi. Dan saban tahun jugalah usia kita berganjak dari setahun ke setahun. Terasa baru semalam kita menyambut Maal Hijrah, pejam celik-oejam celik, satu pusingan 360 hari telah berlalu. Betapa Allah yang maha pengasih terus-menerus mengurniakan nikmat yang tidak terjangkau oleh kita. Usah berbicara tentang nikmat-nikmat yang lain, lihat sudah nikmat kehidupan kita. Betapa ramai dalam kalangan sahabat, ahli keluarga serta seluruh kaum muslimin yang telah pergi mendahului kita. Namun, kita masih lagi dipanjangkan umur, dianugerahkan dengan kesihatan dan kekuatan untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.Namun begitu, setakat mana rasa syukur kita pada nikmat yang Allah kurniakan ini.

MasyaAllah umur makin bertambah, namun amalan dan kebajikan kita tidak bertambah. Lalai kah kita??Alpa kah kita?? Saya terasa diri begitu kerdil, begitu jauh dengan syurga Allah.Masih terasa kurangnya amalan yang sepatutnya dilakukan bagi mendekatkan diri pada-Nya, zikir, tasbih, tahmid, takbir masih belum manjadi siulan yang meniti dibibir. Ya Allah, hambamu yang kerdil bermohon padamu agar engkau tunjukkan aku jalan yang lurus, jalan yang Engkau Redhai. Moga-moga kehadiran awal muharram 1431 H akan membuka lembaran baru dalam kehidupan saya, sahabat-sahabat serta seluruh kaum muslimin. Moga-moga sujudku hanya pada-Mu, kiblatku hanya pada agama-Mu, cinta kasihku hanya untuk-Mu Ya Allah. Salam Maal Hijrah!!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, December 7, 2009

HARGA SEBUAH KERETA DAN ANAK-MUST READ



Ingatlah.... marah mcm mana sekalipun, jgnlah bertindak keterlaluan. ... kepada semua parents, sebuah kisah untuk dijadikan iktibar dan pengajaran.. .... Sebagai ibu kita patut juga menghalang perbuatan suami kita memukul, especially pada anak2 yg masih kecil dan taktau apa2 lagi tu. Mengajar dgn cara memukul bukanlah cara terbaik.

Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anakpembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah, dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya. Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya.

Ya... kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempenaperayaan Thaipusam. Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah. Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit...

Siapa punya kerja ni?' Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan.. .'Tak tahu... !' 'Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?' herdik si isteri pula. Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata... 'Ita buat ayahhh.. cantik kan !' katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, antara setuju dan takut pada suami dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, pembantu rumah mengadu kedua-dua belah tangan si anak bengkak. .. 'Sapukan minyak gamat tu!' balas tuannya, bapa si anak. Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya, sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. 'Ita demam... ' jawap pembantunya ringkas. 'Bagi minum panadol tu,' balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. 'Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. 'Tiada pilihan..' katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk. 'Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah' kata doktor.

Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata berkata... 'Abah... Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah... sayang mama.' katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa. 'Ita juga sayang Kak Narti..' katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

'Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,' katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya.

P/S :-Jadikanlah cerita ini sebagai renungan kita bersama... Anak adalah kurniaan Allah. Hargailah anak anda... Bersyukurlah anda dikurniakan anak olah Allah... Bagi yang masih belum mempunyai anak, mereka ini amat menghargai kanak-kanak. .. Bagi anda yang mempunyai anak curahkanlah kasih anda sepenuhnya kepada mereka..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Thursday, December 3, 2009

CUTI PUN MASIH KERJA!


Assalamualaikum W.B.T..alhamdulillah bertemu lagi kita semua di arena blog ini setelah hampir dua minggu berehat, saya gagahkan jua untuk membingkiskan sesuatu buat tatapan rakan-rakan semua. Ada yang bertanya adakah saya sudah berhenti dari menjadi blogger yang aktif.haha..jawapannya saya hanya berehat seketika kerana saya memberikan fokus kepada penerbitan majalah sekolah. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesungguhan akhirnya semuanya telah siap sedia. bahan-bahan yang dikumpulkan, diedit, disusun atur bagai semuanya berada di tangan penerbit. InsyaAllah bukak sekolah nanti majalah sekolah akan terbit.

Bercerita tentang majalah ni, sebenarnya saya sudah enam tahun menjadi penyelarasnya. Kalau nak ikutkan memang dah tahap profesional lah ni. Alhamdulillah 6 tahun yang berlalu banyak memberi pengalaman kepada saya. Namnu, sudah menjadi adat dalam apa jua pekerjaan, iailah sukarnya mencari team work yang bagus. Kadang-kadang terasa letih untuk menguruskan segala-galanya. Dari A hinggalah Z. Walaupun sudah ada jawatankuasa yang dibentuk, maesyuarat juga dilaksankan, namun mesyuarat tinggal mesyuarat. Akhirnya orang yang menguruskan juga yang terkapai-kapai sendirian. Namun, alhamdulillah, kesabaran yang diberikan membuatkan saya tak cepat melatah, walau terpaksa melakukan kerja bagi pihak orang lain. Yang penting, saya telah berikan yang terbaik untuk bahagian saya, yang selebihnya, bahagian orang lain, jawablah sendiri dengan Allah S.A.W.

Rasanya semua orang mengalami masalah yang sama. Cuma terpulang kepada bagaimana kita menyelasaikan masalah tersebut, kan. Ok, sehingga setakat ini dulu coretan saya. Sedang mencari kekuatan atas satu insiden di sekolah.Haha, biarlah rahsia!!



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget