WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Sunday, October 31, 2010

AHAD YANG BEREMOSI..DOAKAN IMAN BU

Hari ini aku tersentak lagi..tiba-tiba pertanyaan dari seorang anak muridku yang naif tapi begitu tulus mengusik emosiku.

"Bila lagi cikgu? Kami nak tengok cikgu bahagia..Janji dulu sebelum kami habis SPM? "

Untuk kesekian kalinya aku gagal menepis pertanyaan tersebut. Kubiarkan persoalan itu terus berlalu tanpa jawapannya. Persoalan itu hanya mampu kujawab dengan pandangan sayu dan meninggalkannya tanpa sepatah jawapan. Maafkan cikgu duhai anakku..Persoalanmu itu tiada jawapan dariku. Namun ternyata ada manik-manik jernih jatuh di sudut hati.  Lalu aku cepat-cepat memujuk hati.

Entah kenapa, dua tiga purnama ini hati sering sayu mengenangkan hidup ini. Semalam hati tersentuh bila seorang rakan bercerita pasal tunangannya.Haha entah kenapa hati lelaki yang kuat ini, gagal membendung emosi apabila bercerita pasal jodoh kali ini. 

Bertemu ibu, serigkali persoalan sama diajukan. Sabar bu, anak bujangmu masih mengumpul kekuatan untuk membina hidup baru. Walau mungkin di sebalik wajahmu ada sekelumit harapan untuk melihat anak lelaki bongsumu ini menempuhi alam berumah tangga, kupasti masanya akan tiba bu. Aku tak ingin sesekali menyakitimu, tapi berilah anakmu ini sedikit ruang waktu untuk membina semua keyakinan diri.

Bukan aku tidak cemburu, atau tidak beremosi melihat adik beradik dikurniakan keluarga bahagia, suami penyayang, anak-anak yang keletah..Bukan aku tidak betah melihat teman-teman sepermainan sudah memiliki anak-anak yang sudah bersekolah..sedang aku?? 

Ya Allah adakah masa semakin suntuk untukku??
Doakan iman bu...



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SELALU PEGANG MARKER, SEKALI-SEKALA PEGANG CANGKUL PULA

Assalamualaikum dan selamat pagi untuk semua. Hari terakhir di bulan Oktober. Wah aku terkenang lagu Tragedi Oktober nyanyian Awie. Sampai sekarang lagu tu masih dekat di jiwa, bukan sebab ada cerita di sebaliknya, tapi memang suara Awie sedap ditambah lirik dan melodi yang indah. Kita tinggalkan Awie, hari ni aku nak bercerita tentang satu program yang diadakan di tempat aku bekerja. Almaklumlah kawasan yang luas sehinggakan banyak tanah-tanah kosong yang terbiar. Program ini dinamakan Fruits Valley. Program membuat dusun seluas enam ekar. Luas juga tu. program ini diilhamkan oleh ketua jabatan aku yang sememangnya kaya dengan idea-idea baru lagi segar. Sesegar hijau daunan yang melambai di taman.


Makanya guru, pekerja serta para pelajar akan diberian pokok untuk ditanam. Setiap guru akan berpasangan dengan seorang pelajar bagi membantu guru tersebut bukan sahaja menanam, malahan akan membantu mengawasi pokok-pokok yang ditanam sehingalah hasilnya akan dinikmati. Antara pokok-pokok bertuah yang terpilih menghuni Fruits Valley ni ialah durian, manggis, mangga, ciku, rambutan dan kelapa pandan. 

Bercerita jenis-jenis pokok ni, ramai dalam kalangan guru perempuan yang tak mahu menanam pokok nangka madu. Sebenarnya mereka risaukan perkataan yang ada kat belakang nangka tu, iaitu MADU. Yalah, walau hanya perkataan, deme alergik juga. Takut pula perkataan tersebut benar-benar muncul dalam hidup. Alahai perkataan jepun.Haha.  Apapun tengoklah aksi guru-guru yang bercangkul bagai untuk menanam pokok-pokok yang didapati dari Jabatan Pertanian Negeri Perak. Aku pulak diberi pokok Rambutan Anak Sekolah untuk ditanam. Sesuai betul untuk budak-budak sekolah makan. Wah kata orang rambutan antara spesis pokok buah-buahan yang mengeluarkan hasil dengan cepat. Katanya dalam tempoh tiga tahun sudah boleh menuai hasilnya. Entah ada lagi ke tidak di sini tiga tahun dari sekarang.  Kalau takda, sekali-sekala kena singgah melihat hasil tangan sendiri. Sejumlah 130 pokok telah ditanam pada hari tersebut.



Inilah hasilnya dusun seluas 6 ekar yang telah disiapkan. Kata orang berbudi pada tanah ni bagus.Terkenang pula zaman kecil dahulu bercucuk tanam jagung, tembakau dan padi di kampung. Berbudi pada tanah hasil dapat, alam sekitar juga terjaga. Macam seronok pula sebab tempat aku bekerja ni terletak di tengah-tengah pekan. Kira macam dusun dalam pekan lah ni. Harap-harap pokok-pokok yang ditanam ni dapat dijaga dengan baiklah. Bukan apa, bajanya, airnya, ulatnya..semua tu nak kena jaga betul-betul. InsyaAllah kita tunggu hasilnya.

 Mood : Bercadang-cadang membersihkan halaman rumah yang agak bersemak tapi belum sampai tahap  kena samun (kompound) dengan Majlis  Bandaraya Ipoh

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, October 30, 2010

BILA MAKCIK-MAKCIK MAIN FUTSAL

Sabtu tiba lagi. Sabtu yang selalu penuh dengan aktiviti baik fizikal mahupun spritual. Seperti biasa masa untuk berfutsal kembali  lagi. Kali ini suasana di X-Treme Park agak meriah sebab ada dua kejohanan dilangsungkan. Yang pertama melibatkan pertandingan budak-budak sekolah. Manakala satu lagi pertandingan orang-orang dewasa. Aku tertarik dengan pertandingan yang ke-2 iaitu melibatkan orang-orang dewasa kerana selain menawarkan hadiah untuk kategori lelaki, kejohanan ini juga memberi peluang kepada kaum hawa untuk menunjukkan bakat.

Bukan pertama kali la rasanya aku tengok orang perempuan main futsal. Dah banyak kali juga semenjak aku  rajin berfutsal ni. Tapi selalunya budak-budak muda ataupun lebih dikenali gadis-gadis sunti. Tapi kali ni agak lain sikit sebab ada pertandingan untuk kategori campuran wanita. Tak kiralah usia 50-an ke, 40-an ke hinggalah awal 20-an. Aku tergelak sendiri melihat telatah golongan makcik-makcik bermain futsal. Menendang, menyepak, merembat, menggelecek, dan berteriak kegembiraan bila menjaringkan gol.

Minta maaf kepada wanita-wanita yang berkecil hati membaca posting aku kali ni. Bukan aku tak menghargai jasa dan pengorbanan seorang wanita. Tanpa wanita aku tak lahir ke dunia ni. Peranan wanita perlu diiktiraf  dan perlu diletakkan pada tempat sewajarnya. Terkenang Sirah Nabawiyyah di mana pada zaman jahiliah, wanita tiada harga dan dianggap hina dalam masyarakat. Bagi mereka yang melahirkan anak perempuan akan ditanam hidup-hidup kerana dikatakan menjatuhkan maruah keluarga. Aku nak senarai kan beberapa sebab kenapa aku menentang wanita berfutsal khususnya makcik-makcik.

1) Tak berapa manis lah tangan yang menghayun buaian tu dok hayun bola futsal. Alahai wanita melayu Islam yang menjunjung adat-adat ketimuran tiba-tiba bertukar jadi seperti lelaki gagah perkasa.  Penonton penuh bukan semua dok tengok futsal, ada benda-benda lain yang diteropongnya.Terjerit sana, terjerit sini. Kreativiti mereka yang selalu ditunjukkan depan anak-anak dan suami (sewaktu membebel dan memarahi anak-anak) dipraktikkan di gelanggang futsal. Mak ai, meriah.

2) Yang dok menjerit-jerit dan melompat-lompat tu rasanya tak sesuai lah kat tempat awam. Sedarlah umur dah 40-an. Malulah pada anak-anak dan suami.

3) Provokosi dari penonton membuatkan mereka lupa diri..Bersemangat gila. Tak sedar terlondeh sana, terlondeh sini. Yang tertutup jadi terbuka, yang tak nampak, bertambah nampaknya. (faham-faham lah)

4) Banyak lagi riadah yang menyihatkan badan boleh dicuba. Contohnya senamrobik, poco-poco dan sebagainya. Syaratnya di tempat tertutup lah.

5) Islam tidak menghalang umatnya beriadah, dan sememngnya itulah tuntutannya. Akal yang cerdas dari tubuh badan yang cergas. Kita bimbang apa yang menjadi tuntutan itu akhirnya mendatangkan pula dosa. 

Apapun, minta maaf sekali lagi sebab menulis entri ini kali ini. Kira macam wanita jugalah. Mereka pun tak suka lelaki yang merokok, minum arak ke dan akhirnya itu menjadi bahan penulisan mereka. Bukan aku anti wanita ok!! Kalau nak tengok betapa tidak lawanya wanita berfutsal, tengok lah gambar Dato' Siti tu. Jangan marah ye Dato' !!



Mood : Teruja untuk menyaksikan final Piala Malaysia Kelantan vs N.9..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Thursday, October 28, 2010

FB MENGHINA JUNJUNGAN BESAR

Tadi aku mengunjungi blog SOFFEA, seorang blogger guru yang baru sahaja berada dalam dunia pendidikan. Di sana aku dikhabarkan dengan penemuan Facebook yang menghina junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.  Sekali lagi laman sosial ini telah disalahgunakan. Yang menyedihkan, ada dalam kalangan pengguna FB yang beragama ISLAM (menurut nama yang tertera) turut menjadi penyokong  kepada pengguna ini. 


Rasanya kita sudah banyak bersabar dengan karenah mereka yang sentiasa mencari peluang untuk menghentam Islam khusunya. Kalau rakan-rakan nak jenguk FB tersebut bolehlah ke Muhammad-SAW-Bukanlah-NABI-Melainkan-BABI. Kepada pihak berwajib, sila ambil tindakan yang tegas!! Walaupun tarikh terakhir pengguna ini menghantar statusnya ialah pada 2 Oktober, namun FB ini terus berlegar di dunia maya. Membacanya membuatkan kita semua rasa cukup tercabar!!Lepas satu, timbul lagi satu. Seakan tiada kesudahannya!! Itulah harga yang perlu dibayar terhadap perkembangan teknologi..

Mood : Sayu melihat kerakusan manusia yang gila

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SAYA SENGGUGUT LAH

Salam, sudah dua hari tak update blog. Rasa rindu pula, namun apakan daya tuntutan tugas membataskan. Banyak lagi skrip jawapan pelajar yang tersadai. Semalam pun sampai jam 2 pagi aku bertapa di meja menyiapkan proses menanda kertas. Dalam bosan-bosan dan bersunyi-sunyian sehingga ke pagi aku terkenang satu kisah yang berlaku sewaktu aku di sekolah menengah yang masih segar dan tak mungkin dapat dilupakan. Benar, zaman persekolahan merupakan antara detik paling manis untuk dikenang. Ceritanya begini.

Pada satu hari, aku mengalami sakit perut yang teruk untuk beranak . Kejadian berlaku sewaktu aku mengikuti pelajaran Pendiidkan Jasmani. Guru PJ  mengarahkan aku supaya berehat di bilik rawatan bersebelahan bilik PK HEM. Nak dijadikan cerita seorang guru yang melihat aku kesakitan bertanyakan masalah yang aku hadapi.Begini dialognya..

" Hah, ni apahal ni terperit-perit wajah menahan kesakitan?"

" Saya sakit perut cikgu"

"Owh kamu SENGGUGUT ni! Tak palah kamu berehat di sini.."

" Baiklah cikgu..terima kasih!"


Selepas itu, seorang lagi guru lalu dan bertanya perkara yang sama. Aku dengan selamba dan penuh yakin menjawab aku SENGGUGUT. Guru tersebut kehairanan, lalu berlalu pergi sambil tersenyum. Keadaan tersebut berulang apabila guru-guru yang lain pula bertanya. Semuanya tersenyum dan sinis. Adoi dalam hati aku mengeluh sendirian.

"Buang tebiat agaknya cikgu-cikgu ni, orang SENGGUGUT boleh pulak tersenyum-senyum. Tu  takda benda lain nak fikir tu, mesti fikir aku menipu  sebab tak mahu masuk kelas.."

Sehinggalah seorang guru perempuan  yang mengajar aku bertanya..Aku turut menjelaskan jawapan yang sama sebagaimana jawapanku kepada guru-guru lain. Maka berlakulah dialog seperti ini.

"Apa? Kamu SENGGUGUT? Bila masa kamu tukar jantina?"

"Eh, kenapa pulak saya nak tukar jantina. Jantina saya masih sama dan masih elok lagi..." (Tambah perisa..haha)

" Dah tu kamu tahu dak? SENGGUGUT tu sakit orang perempuan yang datang haid! Apa kamu datang haid ke semalam?"

"Ye ke cikgu? Adoi saya dah kena kencing ni..."

Itulah antara pengalama manis di sekolah yang tak mungkin aku lupakan. Mula-mula memang marah sebab aku rasa diperbodohkan. tapi bila fikir semula seronok juga, ada juga kenangan manis yang boleh dikenang apabila menjadi guru ni.

Moralnya kawan-kawan..

1) Jangan ambil sesuatu secara melulu tanpa asal usul periksa.

2) Jangan mudah percaya pada orang lain walaupun insan terdekat kita.

3) Kena mengambil berat juga pasal orang perempuan ni supaya kita tahu apa istilah-istilah berkaitan mereka. Kot-kot terjadi macam aku kan. Haha

4) Sebagai guru, janganlah menipu anak murid kita yang naif.

Apapun, lepas kejadian tersebut bila adik-adik aku mula datang bulan, aku dah tahu dah mereka mesti senggugut. Jadi jangan dok buat benda-benda pelik kat mereka, nak bergurau jangan lebih-lebih. Takut selipar naik atas muka. 

Mood : Nak pergi hi tea petang ni..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Tuesday, October 26, 2010

RAJA KUTU TURUN TAHTA

Semalam gaji Bulan Oktober sudah selamat berada di dalam akaun bank.. Haha perkara pertama yang WAJIB dilakukan pada setiap bulan ialah mengirim wang kepada ibu di kampung.  Alhamdulillah, semenjak gaji pertama, itulah perkara pertama yang akan aku lakukan. Meski mungkin sumbangan sedikit itu tidak mampu membalas selautan kasihnya ibu..namun sekurang-kurangnya itulah tanda terima kasih aku terhadapnya yang telah banyak bekorban jiwa dan raga dalam membesarkan aku. Tambahan pula, tok guru mengaji aku pesan, untuk cari keberkatan pada duit gaji dan hidup kita, jangan sesekali lupakan ibu bapa. 

Petang ni aku nak tulis pasal KUTU. Dah tentu ramai dalam kalangan kawan-kawan semua merupakan peminat setia KUTU atau pemain TEGAR kutu. Ni bukan kisah kutu rayau atau kutu yang atas kepala tu. Haha.. mengikut sejarahnya mengapa dipanggil KUTU?  Waktu dulu-dulu di kampung-kampung wanita yang main kutu ni bila cukup bulan akan datang menyerahkan duit kepada ketua KUTU. Kebetulan waktu tu, si ketua KUTU sedang mencari kutu anaknya di atas tangga. Itu yang dinamakan KUTU tu. Haha jangan dok percaya lawak yang tak berapa menjadi dari aku ni. Aku tipu je semua tu. Tapi aku mula mengenali main KUTU ni sewaktu darjah 4 lagi. Waktu ni kami main kutu dengan menyimpan sepuluh ringgit sebulan. Semua geng mengaji aku menyertai permainan ni. Haha ramai juga sampai dua tahun baru nak habis. Bosan nya masa tu. Mak-mak kita pula sibuk main kutu pinggan mangkuk ngan cadar. Masih ingat lagi, mak akulah selalu jadi kepala KUTU tu.

Berbalik kepada kisah hari ini, aku masih lagi bermain kutu sehingga kini. Hari ini merupakan hari terakhir kami membayar KUTU. Terima kasihlah kepada Kak F yang sudi menjadi kepala kutu.  Bukan apa bukan senang nak jadi kepala ni.  Kadang-kadang terpaksa mendahulukan wang sendiri dahulu. Kalau jenis yang liat nak bayar tu, faham-fahamlah nak kena rajin-rajin sound. haha, kalau aku orang yang jenis liat ni tahun depan jangan harap nak masuk senarai pemain kutu. Satu kagi, jika ada dalam kalangan ahli kutu yang telah berpindah tempat kerja, itupun satu hal untuk memungut wang kutu.


Apa agaknya tujuan orang main kutu? Kalau aku sah-sah nak bayar Insuran Kereta dan Cukai Jalan (road tax) yan gsah-sah hampir 2000. Kiranya berbaloi jugalah sebab memang aku main dua kepala, dan dapat 2000. Nak kumpul sendiri bukan senang tahu. Tapi baru-baru ni kerajaan umumkan betapa main kutu ni menyalahi undang-undang. Pihak yang menganjurkan kutu boleh didenda sehingga RM5,000. Wah banyak tu, tak berbaloi sungguh. Tapi terfikir juga tentang risiko yang mungkin dihadapi. Buatnya penganjur melarikan diri atau dirompak? Kan kes naya..

Apapaun kami ni bermain kutu kecil-kecilan sahaja. InsyaAllah tahun depan aku nak main lagi. Persoalannya, Raja Kutu dah turun tahta hari ini, siapa pula yang nak menggantikannya.


Mood : mengendeng geng yang dapat 2000 hari ini..hehe

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, October 25, 2010

TEMBAKAU ITU


Aku dedikasikan puisi ini buat Alahyarham Haji Abdul Ghani bin Abbas, idolaku yang tidak pernah berhenti berjuang untuk anak-anak dan isterinya. 

Terkenang...
Sungguh terkenang..
Subur menghijau pohonan tembakau
Di sebalik hijau dau itu
Ada keringat yang mengalir
Dari tetes air peluh si petani itu
Dan air mata yang membasahi bumi
Yang tak pernah putus berusaha
Yang tak pernah tega berdiam diri
Demi sesuap nasi dan harga pelajaran buat putera-puteri

Ah, pernah si bapa berputus asa
Pernah si ibu gundah gulana
Lantaran mulut berbisa
"kau beri makan anak-anakmu dari pokok yang menjahanamkan manusia??"
Aku tahu hatimu terluka duhai ayahku
Namun kau pendamkan jua
Kau tetap berusaha membanting tenaga
Katamu, orang tidak tahu kesusahan kita

Kau tetap tersenyum duhai ayahku
Melihat hasil tanamanmu subur menghijau
Betapa gembira dirimu menerima hasil yang tak seberapa
Tapi kita tetap bahagia
Walau tanpa harta bertimbun mahupun  wang merimbun
Pahit tembakau tak pernah membuat hatimu menjadi pahit
Busuk tembakau seringkali membungakan baungan wangi di hatimu

Kini kau telah tiada
Tembakau itu tetap hidup dari tahun ke tahun
Terus berjuang buat anak-anak kampung seperti kita
Terus memberi harapan pada  petani tua
Kini kami anak-anak petani itu
Walau tidak lagi mewarisinya
Tembakau itu....
Tetap memberi rendangnya untuk kami berteduh
Padangnya yang luas untuk kami berlari
Selagi hayat dikandung badan
Dibuang pasti, dilupa jangan...

Anakandamu..
IMANSHAH

Mood : Pening dengan bau perokok..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

ABANG BAJU KOTAK...SIAPA TIRU SIAPA

Salam, petang ni takde sangat berita nak kongsi, sekadar satu cerita yang tak dapat dilupakan..Pada minggu sudah sewaktu menghadiri majlis konvokesyen adik bongsuku, aku disuruhnya pakai baju merah atau oren..Katanya ada tema. Wah sekarang ni semua nak bertema-tema pulak. Birthday ada tema, majlis kahwin pun ikut tema. Makanya sebab nak meraikan "kanak-kanak" terakhir dalam keluarga yang menerima ijazah, aku keluarkan sedikit wang untuk majlis tersebut. Yalah bukan selalu terima ijazah kan..Aku habiskan sejumlah wang di pasaraya untuk membeli kemeja  dan seluar jeans baru..

Aku memilih untuk membeli kemeja petak-petak warna merah. Rasanya dengan harga tu kira berbaloi lah juga. Kira ada brand la jugak, MILANO. Nak dijadikan cerita, sampai di UPSI adik-beradik dan ipai duai yang lain tidak lah pulak berbaju merah. Alamak terkena aku..Mak je yang berbaju merah. Selepas tu, tanpa disangka-sangka, aku ternampak satu susuk tubuh manusia tidak jauh dari tempat aku berdiri. Alamak, kenapa bajunya sama dengan baju aku?? Adoi, aku memujuk diri sendiri. Dia student UPSI kot. Kejap lagi dia balik la ke kolej dia. Aku seperti biasa cover macho dan buat-buat tak nampak.


Kami menunggu majlis tamat pada jam 5.00 petang. Usai sahaja majlis, kelihatan para graduan berjalan keluar dari Dewan dengan senyuman hingga ke telinga menuju keluraga masing. Tiba-tiba satu adengan yang tak ingin kita lihat terjadi. Rupanya mamat yang pakai baju tadi, sedang berada dekat sangat dengan aku. Dia juga menunggu ahli keluarganya yang baru selesai konvokesyen. Merah padam muka aku. Dalam kesibukan lautan manusia petang itu, dia boleh ada di sebelah. Dah la baju sama, seluar pun warna sama. 

Dalam hati aku berkata ...." Ala mamat ni, sama la pulak, napa lah adik kau konvo sama ngan konvo adik aku..." Aku cepat-cepat mengajak ahli keluarga untuk mengambil foto jauh dari tempat tadi. spoil sungguh, hilang mood hari tu.. haha. Satunya sebab ada orang pakai baju yang sama. Ni kira insiden yang pertama pernah aku lalui. Keduanya,  masam muka aku bila diketawakan oleh keluarga aku.. Tak habis-habis aku diketawakan pada petang tu. Tapi syok juga bila je terpandang foto yang doambil petang itu, aku tertawa sendiri. Inilah sahaja kisah aku kali ini..

Mood : Pakai baju hijau sebab ada program tanam pokok ...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, October 24, 2010

BERHUJUNG MINGGU DI BANDAR DI RAJA

Salam siaran dari Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Daulat Tuanku, semoga terus kekal bersemayam, memayungi negeri Perak Darul Ridzuan. Sebenarnya aku sudah tiga hari bertapa di Kuala Kangsar, Perak. Namanya Bandar Di Raja, bukan raja yang minta aku mengadap, tapi aku ke sini demi tuntutan tugas pada negara sekolah. Tapi tuntutan tugas pada negara pun kira betul  gak..Ya lah almaklumlah sekolah kan  KILANG MODAL INSAN negara. Sekolah tempat aku mengajar mengadakan Program Discourse untuk para pelajar SPM 2010. Maka aku ditugaskan untuk mengawal dan menjaga seramai 135 orang pelajar. Senang cerita jadi warden di sana lah. Program 3 hari dua malam ini merupakan program tahunan di mana para pelajar dibawa ke River Side Resort, Kuala Kangsar untuk membuat program pecutan terakhir bagi subjek-subjek elektif seperti Fizik, Biologi, Matematik Tambahan dan Kimia.


Kelihatan para pelajar sedang khusyuk mengikuti penerangan dari guru subjek. Para pelajar dibawa ke sini bagi memberi peluang kepada mereka bertukar angin setelah penat bertungkus- lumus di sekolah. Pihak sekolah dan PIBG menghabiskan hampir RM 20,000 untuk melaksanakan program ini. Sesekali berubah angin ni perlu juga kan?? Aku sebenarnya risau dan bimbang..Kot malam-malam masa tidur ada pula yang terjun ke Sungai Perak nak mandi-manda. Buat nye selamat takpe, buat nya tak muncul-muncul, NAUZUBILLAH.. Tu yang kena jaga-jaga ngan bebudak ni.


Inilah rupa dan wajah sebenar River Side Resort, Kuala Kangsar. Dulunya dikenali sebagai Safari Resort, Kuala Kangsar.  tempat ini memang sesuai untuk mengadakan program-program seperti kursus, seminar dan sebagainya. Agak berbaloi mengadakan program di sini kerana resort ini dilengkapi dengan Dewan Seminar, Surau, Kafeteria, Gelanggang Bola Tampar untuk riadah serta kemudahan basikal bagi para pengunjung yang berminat untuk mengayuh basikal. Selain itu, resort yang terletak di sebelah Sungai Perak ini juga sesuai untuk kaki kencing kaki pancing yang berminat. Pada malamnya, anda akan terpesona melihat keindahan Jambatan Kuala Kangsar yang disinari lampu - lampu neon. Dikatakan pembinaan jambatan yang  diilhamkan oleh Seri Paduka Sultan Azlan Shah ini daripada pembinanan Jambatan London. Ni kira promosi terbaik dari ladang ni. Aku kenal pengurus Riverside ni. Bapa bekas pelajar aku tahun 2005.


Bila sampai di Kuala Kangsar, usah lupa untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Wah promosi kuat ni. Antara tempat-tempat menarik iaialh Majid Ubudiah (gambar), Istana Kuning, Galeri Sultan Azlan Shah, pusat pendidikan tersohor MCKK serta banyak lagi lah yang tak sempat nak sebut di sini. Nak tahu kena datang sendiri.  ( Terima kasih encik google, ni gambar google!)


Ini pula makanan yang popular di Kuala Kangsar. Kalau tak kenal memang sah bukan orang Malaysia. Laksa Kuala a.k.a laksa beras. Kalau berkesempatan singgahlah ke kawasan lembah kerana di sana banyak gerai-gerai laksa yang ada. orang kata kalau pergi ke Kuala Kangsar, taksah kalau tak pekena laksa kuala campur ais kacang. 


Bagi para peminat labu sayung, Kuala Kangsar menjanjikan labu sayung terbaik dari ladang untuk anda semua. Jika para pengunjung ingin melihat sendiri bagaimana membuat labu sayung jangan lupa singgah di Kampung Sayung, tidak jauh dari Bandar Kuala Kangsar. Aku dah tengok dah..Di sana harga yang ditawarkan agak  murah berbanding di pekan. Kalau tidak  berkesempatan, kedai-kedai cenderamata di kawasan lembah berhampiran Sungai Perak sememangnya menjual pelbagai jenis keras tangan kraftangan sebagai tanda kenang-kenangan untuk di bawa pulang dari Bandar Di Raja.

Sewaktu catatan ini dilakukan, aku dah sampai ke Ipoh. Penat juga..Apapun ni kira promosi lah juga kepada Kuala Kangsar ye. Udah jadi blog pelancongan la pulak. Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar  dan  Ahli Parlimen KK, Tan Sri  Rafidah Aziz, sila beri tepukan kepada saya..hehe

Mood : Kepenatan untuk menyambung tugas menanda kertas jawapan pelajar..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, October 23, 2010

CIKGU NAMPAK KACAK LAH HARI NI..

Salam siaran dari Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Sudah dua hari aku berada di Kuala Kangsar.Untuk apa? Bersama siapa? Akan aku kongsikan dalam entri seterusnya ok. Hari ini aku nak berceloteh tentang tali leher atau dalam bahasa omputehnya TIE.  Apa ke hal nye yeop, tetiba malam-malam buta nak bertali leher bagai? Buang tebiat ke hapa nak pakai tali leher malam-malam ni. Sebenarnya aku nak tunjukkan koleksi tali leher yang aku kumpulkan sejak tahun 2000. Ni kira hobi merangkap minat yang mendalam terhadap tali leher. 


 Ni sebahagian tali leher yang aku gunakan untuk ke sekolah. Yelah kalau guru-guru wanita mewah dengan koleksi beg tangan, heels, tudung. Pakai baju biru mesti tudung biru, kasut tumit tinggi biru, beg tangan pun mau biru juga. Kalau nak diperhatikan tali leher yang tergantung ni agak kecil jika nak dibandingkan dengan tali leher yang ada di pasaran sekarang. Ini trend semasa kot. Tali leher yang paling mahal pernah aku miliki berharga RM 99 manakala yang paling murah berharga RM 10. Tak penting berapa harganya, yang penting cantik dan berkualiti. Haha..


Sebahagian lagi koleksi yang ada. Cantikkan digulung seperti bunga ros?? Yang penting semua warna ada, semua corak juga ada. Dari yang berbelang  hinggalah yang berpetak-petak..semuanya siap digantung. Pilih sahaja kemeja yang hendak dipakai, kemudian padankan dengan tali leher yang telah tersedia. 

Koleksi tali leher ni biasanya aku beli sendiri. Selalunya kalau pergi melancong ke luar negara atau dalam negara, antara souvenir pertama yang aku cari adalah tali leher. Ada masanya kawan-kawan yanag hadiahkan. Lepas ni bolehlah rakan-rakan bloggers belikan buat hadiah . Ada juga hadiah sempena hari guru dari ibu bapa dan murid-murid. Apapun koleksi tali leher ni tetap ada gunanya tersendiri. Bila tiba hujung tahun apabila kelab, persatuan, kelas dan sebagainya ada dinner di hotel, maka akan kedengaranlah ayat-ayat kiut ini..

".....cikgu ni nampak kacaklah!! Boleh ke pinjam tie cikgu..Kami nak pergi dinner lah malam esok..kami pun nak kelihatan kacak macam cikgu!!"

Aku ada coretan tentang tali leher ni

Tali leher,
Trand atau kewajipan?
Kata orang etika kena jaga
Pakai tali leher bukan sebarang pakai
Lengan pendek pantang sekali

Tali leher
Pelengkap fesyen atau pun gaya tersendiri
Imej korporat ?
Imej Cikgu atau salesman yang tak kenal penat..
Semua ingin bertali leher
Namun semua kena ingat
Baju petak janggal diganding tie bercorak

Tali leher
Banyak cerita tentang dirimu
Murid kena lempang keranamu
Hilang tie, kena lempang
Salah ikat tie, pun kena lempang
Salesman berpanas juga keranamu
Biarpun panas asal bergaya
Kalau tak pakai tali leher
Dipandang pula macam tak belajar tinggi..

Mood : Nak beli tali leher tambahan di kiosk Padini.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Friday, October 22, 2010

JEJAKA KELANTAN TERAKHIR

Seorang rakan bertanya,


" ..dengar cerita tahun ni isi borang tukar? Nak balik kampung ke?"


Maka jawapan saya cukup yakin.."Saya belum bersedia untuk balik ke KELANTAN"


Lalu, rakan tadi menambah.."Kau dari dulu memang murtad KELANTAN.."


Saya tetap tersenyum dan tidak membalas kata-kata rakan Kelantan saya itu.


Terkenang zaman menuntut di menara gading. Saya akui saya tidak mempunyai ramai rakan senegeri. Kebanyakan rakan-rakan baik saya bukan berasal dari negeri yang sama. Saya juga akui saya tidak menjadi ahli dan menyertai aktiviti persatuan anak negeri saya iaitu HIMPUNAN ANAK KELANTAN (HAK). Saya lebih banyak terlibat dengan program Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Program Desasiswa. Saya pernah dipulau oleh teman-teman senegeri kerana dikatakan MURTAD Kelantan. Pelikkan?? 

Begitu juga sewaktu mengisi borang penempatan, rakan-rakan berduyun-duyun memilih untuk balik negeri. Saya pula sebaliknya. Saya ingin berkelana, menimba pengalaman di tempat orang. Maka Allah mentakdirkan pertemuan saya dengan Ipoh, suatu tempat yang cukup asing bagai saya suatu waktu dulu. Dan saya bahagia di sini, walau ramai rakan-rakan sudah berjaya menabur bakti di negeri sendiri. Alhamdulillah, mereka berjaya dengan cara masing-masing.

Rakan-rakan pernah mempertikaikan kesetiaan saya terhadap negeri Tanah Serendah  Sekebun Bunga ini. Kata mereka saya cukup sombong untuk berbaik-baik dengan rakan-rakan senegeri. Aduh!! Saya tidak pernah memilih bulu dalam berkawan. Lidah yang sudah sebati dengan BUDU, mahupun penggemar setia CENCALUK, atau mungkin tidak boleh hidup dengan TEMPOYAK..semua menjadi kawan saya. Saya tidak mahu mengehadkan rakan-rakan hanya kerana tutur perbualan mereka ..KAWE NOK GHOYAK NI..tapi saya ingin berkawan dengan semua yang menuturkan MAKANG IKANG,  ATE KOME..mahupun HANG NAK MAKAN PENAMPAQ??...


Saya tetap bangga menjadi rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang. Di sinilah saya dilahirkan, di sinilah tempat tumpahnya setia saya. Maka bila ada yang menuduh kita rakyat kelantan GANAS mahupun GEDEBE, saya juga terluka. Hanya kerana nila setitik, maka susu belanga yang menjadi minuman semua, turut rosak.  Di mata saya, warga Kelantan tetap hebat. Tetap memiliki keistimewaan sendiri. Orang kelantan ada di mana-mana di ceruk Malaysia ni, hatta berniaga hingga ke Makkah sekalipun. 


MOOD..SEMANGAT MEMBARA MENANTIKAN PERLAWANAN SEPARUH AKHIR KE DUA 
KELANTAN VS KEDAH


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Thursday, October 21, 2010

LELAKI RETRO

Selamat malam semua..Entri kali ni agak santai. Malam ni tetiba bersemangat nak tulis dua entri serentak..tetiba terkenangkan satu entri yang tak sempat ditulis. Memang terlupa, bila belek-belek semula gambar-gambar kat Muka Buku (FB), baru teringat. Entri ni pasal satu anugerah yang aku dapat masa Sambutan Hari Guru yang lepas. Masa sambutan hari Guru 16 Mei yang lalu, kami  telah telah diberi tema Cetusan Warna Retro..nak tak nak, takde pilihan. Terpaksalah aku mengunjungi satu kedai ke satu kedai yang lain di Ipoh Prade untuk kelihatan retro.. Walaupun zaman retro pun aku tak pernah hidup. Ya lah masa dah tahun 90-an dah zaman rock lentok tangkap leleh. Nak pulak sesuaikan dengan title cikgu, takkan nak over-over acting pulak kan..haha

Akhirnya inilah saja yang mampu aku pakai hari tu..Sebenarnya aku ni jenis sporting je.. Maklumlah dulu nak jadi artis tapi cita-cita tak kesampaian. Haha. kira berhabis jugalah dengan baju jalur warna warni (dah namanya cetusan warna), seluar beggy ngan kasut putih..Berpegangan tangan dengan awek cun pelajar aku tu jangan pula tak tahu. Budak tu dipasangkan dengan aku waktu lalu red carpet..semua guru dipasangkan dengan pelajar tingkatan satu. hehe

Finally, setelah bertumbuk-tumbuk aku dapat juga anugerah Retro Man..haha berbaloi.. Apapun seronok, meriah dan terharu dengan majlis yang dianjurkan..Maaf gambar ni agak kurang senonoh kerana aku berjalan agak "KANGKANG". Mulut juga agakmuncung-muncung itik..


MOOD : RETRO, tengah dengar lagu Seiring Sejalan dendangan Latiff Ibrahin duet dengan Tok Pah!!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

BAWAK-BAWAKLAH BEREHAT


Malam ni sambil-sambil melayan Muka Buku (FB), aku di tag dengan kartun yang sangat kreatif ini. Terkenang tuntutan yang dibuat oleh Saudara Omar Osman, Presiden CUPECS. Sebagai penjawat awam yang boleh dikira baru (8 tahun) saya punyai pandangan tersendiri. Aku sama sekali TIDAK BERSETUJU dengan tuntutan ini. Makanya, aku gariskan bebrapa sebab mengapa aku tidak bersetuju dengan tuntutan ini.

1) Akan menghalang orang lain dari naik pangkat. Selain itu juga, ianya akan turut menghalang anak-anak muda yang baru nak berkhidmat dengan kerajaan dari memasuki alam pekerjaan. Kerana apa? Kerana tempat mereka masih belum boleh diisi jika kerajaan menerima tuntutan ini. Sedangkan anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian mereka sangat memerlukan pekerjaan. Saban tahun kita dapat saksikan betapa semakin ramai anak-anak kita yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Justeru, berilah peluang kepada mereka membina kerjaya dan ekonomi mereka seawal mungkin.

2) Produktiviti pekerja di usia  60 juga akan berkurangan. Masa ni sendi-sendi mula lemah, mata pun dah mula kabur, telinga pun dah kurang fungsinya. WAH SEDAP BERCAKAP MACAM KAU TU AKAN MUDA SENTIASA!! Maaf bukan nak memburukkan keadaan atau nak menidakkan keupayaan orang-orang lama kita kerana aku juga akan menempuhi saat yang sama..namun itulah hakikatnya. Rasanya tanyalah kepada rakan-rakan sejawat kita yang usia mereka telah melebihi separuh abad, pastinya jawapan yang diberikan.."Saya tak mahulah sambung, dok rumah nak buat amal ibadat pulak". . Ataupun mungkin juga ada yang nmahu berehat kerana tak sanggup lagi berhadapan dengan tekanan di tempat kerja...

3) Walaupun tuntutan ini hadir dengan opsyen iaitu terpulang kepada individu, namun tidak mustahil akibat dari pengaruh rakan-rakan yang sama usia, mereka akan memilih untuk bersara pada usia 60. Buktinya, kebanyakan kakitangan awam memilih untuk bersara pada usia 58 setelah opsyen diberikan oleh kerajaan dalam memenuhi tuntutan CUEPECS 3 tahun yang lepas. 

4) Tidak mustahil selepas ini, CUEPECS akan membuat tuntutan yang baru pula selepas tuntutan ini diterima. Saya bercakap berdasarkan fakta, dari 55, ke 56, kemudian ke angka 58. Dan sekarang 60. Tak mustahil kan angkanya berubah kepada 62 selepas ini?

Bagaimanapun, sebagai kakitangan kerajaan yang baru atau orang-orang muda seperti aku, kau dan mereka, kita tidak sesekali ingin menidakkan sumbangan, peranan dan bakti yang telah dicurahkan oleh orang-orang lama . Tanpa yang lama, tak mungkin wujud yang baru. Sebelum mereka "log out" untuk hari yang terakhir dalam perkhidmatan mereka, timbalah sebanyak mungkin ilmu, kemahiran dan tunjuk ajar dari mereka.

P/S..sepanjang 8 tahun berkhidmat, saya dah menganjurkan majlis untuk 5 orang sahabat yang telah pencen!! Apa khabar agaknya Pak Pin, Haji Zakaria, Haji Syukor, Puan Umaimah dan Ustaz Mohtar..




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, October 20, 2010

20102010..TIDAK INGIN MENJADI ORANG LAIN DALAM HIDUP INI

 hidupBeberapa hari sudah, kecoh orang bercerita tentang tarikh 101010...Maka berduyun-duyunlah posting berkaitan tarikh ini di tulis di blog-blog dan berkeliaran di dunia maya ini. Tak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk merakamkan detik-detik terindah sebagai raja sehari pada hari tersebut. Kemudian, hari ini muncul pula satu lagi tarikh yang sangat  indah 20102010. Aku pun terlupa akan tarikh ini.. 

Buat kesekian kalinya (bukan kali ini sahaja) , hari ini aku menerima teguran berkaitan blog ini. Tentang beberapa perkara yang dikatakan tidak MEMBANTU... Alhamdulillah, pertamanya aku seronok sebab blog ini walau tak sehebat blog-blog yang pupular di alam maya ini tetap dikunjungi oleh semua peringkat golongan. Dan sebagai penulis blog yang berlapang dada dan berfikiran positif, aku menghargai teguran yang diberikan. Biasalah, sebagai manusia kita terkadang terlupa betapa kita berhadapan dengan ramai  manusia yang memiliki pelbagai tafsiran dan pandangan. AKU MENGHARGAI.  Aku rasa aku masih memiliki kewarasan dan punyai sikap profsionalisme yang tinggi untuk terguran ini.

Aku seboleh-bolehnya cuba untuk  merahsiakan diri sendiri yang sebenar. Biarlah mereka mengenali diri ini melalui nama pena IMANSHAH sahaja. Meski mungkin ada dalam kalangan rakan-rakan bloggers yang mengenali diri ini selain tahu di mana tempat aku bertugas. Begitu juga HOK SENGOTI turut dikunjungi oleh bekas-bekas anak murid aku. Rasanya aku  cuba untuk tidak melibatkan nama tempat aku mencari rezeki, walau mungkin sedikit cerita yang aku sampaikan adalah berkaitan dengan tempat aku bekerja. Rasanya semua bersifat POSITIF serta berimformasi.. Sesekali aku MENJUAL nama alma mater ini supaya lebih dikenali dengan wajah yang positif dengan paparan kejayaan-kejayaan anak didik aku. Dan ternyata aku juga turut MEMBANTU dalam konteks ini..Walau meski mungkin  bantuan yang diberikan hanya berbentuk kecil..Dan tak pernah sekalipun aku mohon dihargai.

Lalu akhirnya aku menyedari betapa aku TIDAK DAPAT MEMUASKAN HATI SEMUA PIHAK.  Mohon maaf kalau ada yang terguris dengan posting-posting aku. Aku menulis dari hati. Dan TIDAK INGIN MENJADI ORANG LAIN dalam hidup ini. Ramai yang  bertanya kenapa HOK SENGOTI??? Itulah dialek kelantan yang bermaksud YANG BETUL/BENAR..Semoga aku terus bermotivasi untuk menulis!! Aku akan selalu positif atas setiap teguran dan pandangan. Percayalah penulisan yang lahir dari hati yang ikhlas dengan nawaitu yang ikhlas, akan sendirinya membuatkan kita selalu dihargai. Terima kasih buat rakan-rakan bloggers yang selalu MENGHARGAI blog yang biasa-biasa ini.


mood : AKU MENULIS BUKAN KERANA NAMA





Berkata benarlah walaupun pahit, itulah pesan salah seorang khalifah Rasulillah SAW yang mendapat jaminan berjalan di atas kebenaran iaitu Saiyyiduna Ali bin Abi Thalib KarramalLahu....


Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

TERLEBIH KE KITA?


Assalamualaikum..
Aku nak share sebuah sajak yang dikarang oleh Khadijah Hashim (repost sebenarnya)..Sajak ini memang mempunyai banyak makna tersirat di dalamnya. Sesetengah orang berpendapat TAK ROCK lah dok copy and paste hasil penulisan orang lain kemudian masukkan dalam blog sendiri. Tapi kata aku pulak macam ni, selagi mana tuan punya sajak mohon untuk disebarkan, dan andai memberi manfaat kepada ramai khalayak apa salahnya kan. Selain kita yang menyebarkan dapat juga 'hasil" apatah lagi empunya diri yang bersusah payah memerah otak mencipta bait-bait indah ini..

TERLEBIH

Terlebih garam gulai binasa
Terlebih manis penyakit menanti
Terlebih lada pedas menyengat 
Terlebih santan lemak berlapis
Terlebih cuka jeruk menjadi
Terlebih asam pekasam tak busuk
Terlebih api nasi pun hangit
Terlebih air bubur namanya

Terlebih senyum orang tertanya-tanya
Terlebih ketawa takut menangis
Terlebih cakap punca bohong
Terlebih janji sukar ditepati
Terlebih puji dusta akhirnya
Terlebih sayang buruk ke tepi
Terlebih belanja hutang berlapuk
Terlebih harta baik bersedekah
Terlebih simpan kedekut berpanjangan
  
Biar terlebih jasa dan bakti
Serendang pohon dapat berteduh
Sehijau padang luas berlari
Sejernih sungai tempat bermandi
Sedingin bayu berhembus selalu
Seharum mawar kembang pagi
Seindah alam ciptaan Ilahi
Dan kaki kejap  terpijak di sini


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget