WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Wednesday, August 31, 2011

BEKAS KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA MENINGGAL



Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah meninggal dunia di sini pada pukul 1.20 pagi ini.
Allahyarham berusia 67 tahun.
Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah Assam Kumbang dan kemudiannya dibawa ke Putrajaya untuk dikebumikan selepas solat Asar.
Pagi Rabu, Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berangkat menziarahi dan memberi penghormatan terakhir, serta bersama-sama menyembahyangkan jenazah Allahyarham.
Abdul Shukor ialah bekas Ketua Pengarah Pendidikan. - BERNAMA

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

WORDLESS WEDNESDAY- RAJIN CUCU NENEK



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

TEMA HARI KEMERDEKAAN 1970-2011


Esok, seluruh rakyat Malaysia akan meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-54. Pada setiap tahun, tema-tema sambutan hari kemerdekaan akan dikeluarkan. Di bawah ini merupakan senarai tema hari kemerdekaan antara tahun 1970- 2011. Semoga bermanfaat.

1970 Muhibah dan Perpaduan
1971 Masyarakat Progresif
1972 Masyarakat Adil
1973 Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
1974 Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1975 Masyarakat Berdikari
1976 Ketahanan Rakyat
1977 Bersatu Maju
1978 Kebudayaan Sendi Perpaduan
1979 Bersatu Berdisiplin
1980 Berdisiplin Berbakti
1981 Berdisiplin Berharmoni
1982 Berdisiplin Giat Maju
1983 Bersama Ke Arah Kemajuan
1984 Amanah Asas Kejayaan
1985 Nasionalisme Teras Perpaduan
1986 Bangsa Tegas Negara Teguh
1987 Setia Bersatu Berusaha Maju
1988 Bersatu
1989 Bersatu
1990 Berjaya
1991 Wawasan 2020
1992 Wawasan Asas Kemajuan
1993 Bersatu Menuju Wawasan
1994 Nilai Murni Jayakan Wawasan
1995 Jatidiri Pengerak Wawasan
1996 Budaya Penentu Kecapaian
1997 Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
1998 Negara Kita, Tanggungjawab Kita
1999 Bersatu Ke Alaf Baru
2000-2006 Keranamu Malaysia
2007 Malaysiaku Gemilang
2008 Perpaduan Teras Kejayaan
2009 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

2010 1 Malaysia Menjana Transformasi
2011 1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Tuesday, August 30, 2011

PERISYTIHARAN AIDILFITRI 1432 H

Jom kita layan pengumuman perisytiharan Hari Raya tahun ini oleh  Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad  yang baru sahaja mengambil alih tugas tahun ini. Maka selepas ini, anak-anak yang baru membesar akan membesar bersama beliau pula saban tahun menunggu pengumuman raya dan puasa.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

KUTERKENANGMU DI AIDILFITRI

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillah hilhamd

Marilah bersama-sama kita bertahmid dan bertakbir memuji kebesaran Ilahi  atas segala kurniaan-Nya. Pada pagi 1 Syawal ini bersama-sama kita meraikan hari kemenangan setelah sebulan berjuang di dalam Madrasah Ramadhan. Hari ini 30 Ogos 2011 juga genap dua tahun pemergian ayahanda tercinta menyahut seruan Ilahi. pada tanggal 30 Ogos 2009 ayahanda dijemput Allah pada jam 8.00 pagi. Kutitipkan Alfatihah buatmu di Aidilfitri, moga rohmu tenang dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SALAM IDUL FITRI

Entri ini akan melekat sehingga 31 Ogos 2011



Buat bonda dan kaum keluarga, sahabat handai dan saudara mara, guru-guru tidak dilupa, rakan sekerja, anak didik tidak dilupa, 
 serta sahabat alam maya yang setia...

Sebelas bulan kita kejar dunia,
Kita turuti  nafsu angkara.
Sebulan penuh kita  berpuasa,
Kita bakar segala dosa.
Sebelas bulan kita sebar dengki dan prasangka,
Sebulan penuh kita tebar kasih sayang sesama.
Dua belas bulan kita berinteraksi penuh salah dan khilaf,
Di Hari suci nan fitri ini, Kita cuci hati, Kita buka pintu maaf.
Selamat Hari Raya  Idul Fitri, mohon maaf Zahir dan batin...

Imanshah, Ipoh-Tumpat, 26 Ramadhan 1432 H


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, August 29, 2011

TUA, SAATNYA AKAN TIBA


Menjelang Aidilfitri, kesempatan hari ini Imanshah berkunjung ke rumah saudara mara yang telah uzur. Alhamdulillah, di samping dapat menghulurkan sedikit zakat, sempat juga untuk bertanya khabar tentang kesihatan mereka. Alhamdulillah empat rumah berjaya Imanshah jejaki. Semuanya merupakan saudara terdekat. Dan InsyaAllah, malam ini satu lagi rumah akan diziarahi. Semoga dapat dilaksanakan, insyaAllah.

Berpeluang bertanya khabar dan bertukar cerita, banyak episod duka dan sedih dapat diselami. Kesunyian, kesepian, keuzuran menjadi inti cerita masing-masing.  Bahkan, ada yang telahpun mengalami sindrom 'nyanyuk'. Alhamdulillah banyak belajar tentang kehidupan. 

Bila sudah tua, walaupun ada anak cucu yang menjaga, namun seolah-olah kehadiran si tua menyusahkan. Makan minum, berak kencing semuanya hendak dijaga. Selalunya tengkingan yang dihambur buat si tua. Begitu juga, ada yang masih memiliki anak yang "berada" namun telah berpatah arang, walaupun tinggal sebelah menyebelah. Begitu juga, ada yang tinggal sebatang kara, dalam kesempitan dan mengharapkan belas ihsan sanak saudara dan jiran tetangga.  Dan ada juga walau dalam keadaan yang sangat uzur sehingga hari ini mulut tidak putus untuk berbicara soal harta dunia.

Nauzubillah, moga pelajaran yang diperolehi dapat djadikan iktibar buat semua. Salam Aidilfitri, berbahagialah semua di hari kemenangan. Taqobbalallahuminna waminkum..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

HUJAN DIRAMAL TURUN PADA PAGI AIDILFITRI


Negeri di utara dan pantai timur Semenanjung serta ibu kota, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka meraikan Aidilfitri dalam suasana hujan yang diramal turun esok sehingga Rabu.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu Bernama di sini hari ini, hujan berterusan itu bagaimanapun pada amnya tidak akan menyebabkan banjir.
Akan tetapi kejadian banjir juga bergantung kepada kawasan di negeri terbabit, katanya.
Sementara itu, laporan pada laman web jabatan tersebut menyatakan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan mengalami hujan di beberapa tempat pada sebelah petang esok.
Negeri-negeri lain diramal mendung dengan ribut petir pula dijangka melanda Perak, Pahang dan Johor Timur pada sebelah petang, kata laporan itu.
Pahang dan Terengganu Selatan dijangka mengalami hujan di satu dua tempat manakala cuaca di tempat lain diramal baik pada sebelah malam.
Bagi umat Islam di Sabah dan Sarawak, mereka dijangka dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan cuaca baik pada sebelah pagi untuk tempoh dua hari akan datang.
Ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di Kuching, Samarahan, Miri, Limbang dan Kapit, manakala bahagian lain dijangka hujan, sementara cuaca di Sandakan, Tawau dan Kudat di Sabah diramal baik.
Maklumat lanjut mengenai cuaca boleh diperolehi menerusi www.met.gov.my. – BERNAMA

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, August 28, 2011

KUMPULAN SEPAH SAH BERPECAH


Juara Maharaja Lawak, Kumpulan Sepah hari ini mengesahkan bahawa kumpulan itu secara rasminya berpecah setelah tidak lagi mempunyai persefahaman dan masalah peribadi di kalangan anggotanya.
Seorang anggota kumpulan itu, Jepp, dilaporkan memberitahu akhbar bahawa anggota kumpulan lawak paling mantap itu sebelum ini beberapa kali kurang mampu memberikan komitmen kepada kumpulan dan terpaksa dibina kembali untuk pertandingan Maharaja Lawak yang lalu.
Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa tidak tahan lagi dengan situasi tersebut dan mengambil keputusan untuk berpecah.
“Selepas kemenangan itu (Raja Lawak 2009), semua displin dibentuk oleh anggota Sepah semakin berkurangan dan ia terus tenggelam apabila kami berjaya mencipta nama. Kemudian Tuhan memberi peluang kedua di dalam Maharaja Lawak, kami bina semula nama Sepah itu, tetapi hari ini saya nekad berpecah selepas sekian lama memendam perasaan,” katanya yang dipetik dari akhbar Berita Harian hari ini.
Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan tersebut, Shuib, turut senada dan pasrah dengan apa yang terjadi kepada Maharaja Lawak itu.
Shuib mengaku pernah ada melakukan perbincangan bersama anggota lain mengenai masalah kumpulan itu, namun ianya tidak mencapai kata sepakat dan akur dengan keputusan untuk berpecah meskipun sangat sayang pada kewujudan kumpulan itu.
“Saya sayang kumpulan Sepah tetapi jika Jep sudah berkata begitu, saya ikutkan saja. Perkara ini memang ada kami bincangkan sebelum ini. Saya tidak ada apa yang ingin dicakapkan kerana perkara ini baru hari ini diputuskan dan kami akan berpecah, apa yang saya boleh buat saya akan menjaga diri sendiri selepas ini,” katanya yang dipetik dari akhbar yang sama hari ini.
Kemantapan kumpulan paling lawak di dalam industri hiburan tanahair itu dikesali pelbagai pihak dan peminat, serta menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar khususnya kepada persembahan bercorak komedi.
Blog hiburan terkenal, Beautifulnara.com.my berkata, memandangkan industri komedi negara ketandusan dengan artis-artis yang mampu menghiburkan dengan lawak jenaka mereka, pepecahan yang berlaku kepada Kumpulan Sepah adalah sangat dikesali.
Bagaimanapun, Abang Nara mencadangkan agar anggota kumpulan itu agar jangan berputus asa dan mungkin mereka boleh bergabung dengan kumpulan lawak lain untuk menggamatkan lagi industri hiburan komedi tanahair.
SUMBER : MYNEWSHUB

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

RAGAM PEMANDU KITA

Alhamdulillah, Imanshah sudah berada di kampung halaman, untuk berhari raya bersama keluarga tersayang. Perjalanan tadi agak lancar tanpa ada jam yang teruk. Kelihatan banyak juga kereta plat W yang menggunakan lebuh raya timur barat ini (laluan Grik-Jeli). Selalunya bagi mengelakkan kesesakan, para perantau dari Kuala Lumpur akan melalui lebuh raya ini. 

Di awal-awal perjalanan , Imanshah sudah dihidangkan dengan beberapa adengan kemalangan jalan raya. Nampaknya untung sekali syarikat-syarikat lori penunda dan bengkel-bengkel kereta di musim perayaan. Memang bersilih ganti kemalangan dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Kemudian, Imanshah juga melihat begitu ramai pengguna jalan raya yang tidak sabar dan melanggar peraturan jalan raya khususnya memotong di kawasan selekoh dan memotong laluan berkembar.Tak nampak pula penguatkusa atau kereta peronda. Sepanjang enam jam perjalanan, hanya satu sahaja penguasa JPJ menahan pemandu yang melakukan kesalahan.

Dan satu lagi yang selalu rakyat kita buat sewaktu memandu ialah mengekori terlalu dekat kenderaan di hadapan. Mak aii, sepanjang 20 km perjalanan sewaktu melaui laluan Pergau-Jeli, Imanshah diekori oleh sebuah MyVI bewarna pink yang dipandu oleh wanita. Muda lagi dari pemerhatian Imanshah melaui cermin. Sayangnya pemandunya sangat tidak sabar, selalu memberikan lampu tinggi walaupun laluan bengkang bengkok. Nak suruh Imanshah bawa 100 km sejam agaknya walaupun di hadapan ada berpuluh deretan kereta. Akhirnya kerana tidak sabar, dia memotong kereta Imanshah, hampir-hampir bertembung dengan bas yang datang dari arah bertentangan.

Tak faham dengan sikap pemandu Malaysia hari ini. Rasanya tak lari rumah yang nak ditujui tu. Berhati-hati lah di jalan raya kerana maut tidak mengenal sesiapa. Erm, dalam melihat perangai dan karenah pemandu lelaki terutamanya yang muda-muda, terselit juga pemandu wanita yang ganas..Huhu takut kawe!!


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Friday, August 26, 2011

BERPISAH KITA HARI INI WARGA SEKOLAH BINTANG

Tiba masanya, cuti menjengah jua. Hari terakhir di sekolah, bermaafan sesama warga, yang muda disayangi, yang tua dihormati. Tatkala si kecil menghulurkan tangan, keampunan dipohonkan. Sempat membisikkan pesanan, agar selamat di jalanan, mercun, meriam usah jadi teman, dalam menyambut hari lebaran.


Bagi sesama rakan sekerja, bermaafan menjelang raya. Tersingkuh rasa, tercalar jiwa, mungkin ada terkasar bahasa, dalam melayari persahabatan bersama. Hanya doa dan pelukan diberikan, moga tiap kekhilafan diampunkan, bagi yang ingin meneruskan perjalanan, pulang ke desa dan kampung halaman, memandu berhemah jadi amalan, semoga ingat kepada yang tersayang.



Kepada selurauh warga Sekolah Bintang
 Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin..

Kepada rakan-rakan blogger : tunggu na, belum lagi ucapan nak diberi..


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

MERAH NAMPAK MERIAH

Selamat malam untuk semua. Baru berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu. Petang tadi sempat mencelah dalam kesibukan warga bandaraya Ipoh di Greentown Mall mencari baju raya. Tahun ini, baju raya kita warna merah you. Tak terfikir pula hendak bewarna merah, tapi nampak elok juga sesekali tampil berani kan. Jumpa pulak samping yang ada warna-warna merah, sambar jelah. Bak kata kawan saya, MERAH nampak MERIAH..hehe.Baju raya kalian warna apa ya? Banyak ke? Imanshah sehelai ni je pun. Itupun raya pertama pakai jubah. Untuk raya ke berapa entah..Jumpa lagi.!




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Thursday, August 25, 2011

PLUS PERKENAL JADUAL PERJALANAN HARI RAYA


PLUS Expressways Bhd (PLUS) memperkenalkan jadual perjalanan dengan membahagikan kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil dan genap bagi melancarkan perjalanan di lebuh raya sempena musim cuti Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ini.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata langkah ia bertujuan memisahkan kumpulan pengguna lebuh raya dari utara dan selatan termasuk mereka yang ingin pulang berhari raya pada saat-saat akhir menuju ke Lembah Klang dari 1 hingga 4 Sept.
“Pengguna lebuh raya dari utara dan selatan yang akan kembali ke ibu kota pada 1 hingga 4 Sept dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam genap sebelum 12 tengah hari iaitu 8 pagi dan 10 pagi bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap manakala kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil disarankan menggunakan lebuh raya pada setiap jam ganjil sebelum 12 tengah hari iaitu pada 9 pagi dan 11 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.
Noorizah berkata bagi semua kenderaan dicadangkan waktu yang sesuai untuk memasuki lebuh raya sebelum 8 pagi dan selepas 6 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas bagi ketiga-tiga hari itu.
Beliau menasihatkan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan supaya mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan ketika waktu menjelang perayaan Aidilfitri dan kembali ke ibu kota bagi memastikan kelancaran trafik.
Jadual perjalanan yang dicadangkan untuk pengguna dari Lembah Klang ke utara dari Sabtu hingga Isnin ini iaitu :
* Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ialah sebelum pukul 12 tengah hari;
* Taiping, Kuala Kangsar dan Changkat Jering antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng antara pukul 3 dan 6 petang;
* Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim selepas 6 petang.
Bagi perjalanan dari selatan pula jadual yang dicadangkan bagi Johor ialah:
* Skudai, Johor Baharu, Senai dan Kulai sebelum 10 pagi;
* Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak antara 10 pagi dan 1 petang;
* Melaka melalui Ayer Keroh antara 1 petang hingga 3 petang;
* Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat antara 3 hingga 6 petang;
* Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.
PLUS juga memperkenalkan jadual perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari utara yang ingin pulang ke Kuala Kangsar dan Ipoh serta dari Ipoh menuju ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim pada 1 hingga 4 Sept ini.
* Dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Changkat Jering dan Taiping ke Kuala Kangsar dan Ipoh antara 1 hingga 6 petang;
* Ipoh, Simpang Ampat dan Gopeng ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim antara 4 hingga 6 petang.
* Dari Melaka melalui Ayer Keroh, Alor Gajah dan Tampin melalui Simpang Ampat ke Senawang, Port Dickson dan Seremban antara 4 petang dan 6 petang.
Noorizah berkata semasa perayaan Aidilfitri tahun lepas, 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS bagi membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya sejak diperkenalkan 2007.
PLUS menjangka jumlah trafik di lebuh raya di Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.
Noorizah berkata sejumlah 3,000 kakitangan PLUS dan 430 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam, St Johns Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah ditempatkan di plaza tol dan Kawasan Rehat dan Rawat sepanjang lebuh raya manakala 159 pasukan PLUSRonda akan membuat rondaan selama 24 jam sehari selain lebih 1,000 kaunter tol dibuka untuk memudahkan urusan pembayaran tol.
Pegawai Turus Penguatkuasa Polis Diraja Malaysia Supt Hamzah Ahmad, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata lebih 300 anggota polis ditempatkan di kawasan-kawasan terpilih di sepanjang lebuh raya mulai hari ini hingga 6 Sept bagi mengawasi keadaan lalu lintas.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik. – BERNAMA

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Wednesday, August 24, 2011

WORDLESS WEDNESDAY- PERSIAPAN RAYA MASUK GEAR LIMA



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Tuesday, August 23, 2011

SAAT HIDAYAH MENGETUK HATINYA


Saat ini Imanshah amat terkenang seseorang lewat pertemuan kami di bumi Universiti Sains Malaysia sekitar tahun 2002. Beliau merupakan 'junior' Imanshah sewaktu di USM dulu. Ditakdirkan Allah SAW kami dipertemukan dan diletakkan sebilik. Setelah dua semester bertemankan rakan seagama, namun semester tersebut Imanshah dipertemukan dengan rakan bukan Islam dari Negeri Di Bawah Bayu. Imanshah redha sahaja kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Biarlah Imanshah namakan dia sebagai FR sahaja. Bulan pertama keadaan biasa sahaja. Namun masuk bulan ke dua, FR mula menunjukkan minat kepada agama Islam. Bukan sahaja dia cuba untuk mengikuti Imanshah berpuasa bahkan kaset-kaset agama Imanshah pada waktu tersebut habis dikhatamnya. Dan akhirnya FR telah dirujuk kepada pusat Islam dari situlah beliau mempelajari dan mendekati agama Islam. Dan akhirnya FR secara rasminya bergelar Muhammad Firdaus dan diislamkan di Pusat Islam, USM.

Alhamdulillah, Imanshah tak rasa Imanshah yang telah membuka jalan pengislmananya, namun kerana banyak bergaul dengan rakan-rakan yang beragama Islam di kolej dan di universiti. Namun saat pertemuan kami hanya sekejap sahaja kerana Imanshah perlu meneruskan praktikal di Sungai Petani, Kedah. Kira-kira dua semester kami menjadi teman sebilik. Semenjak itu, hubungan kami terputus kerana Firdaus telah menukar nombor telefonnya.

Dari sehari ke sehari Imanshah tercari-cari Firdaus di mana. Bertanya kepada teman-teman juga tidak berhasil. Untuk menjejaki beliau melalui alamat juga tidak berhasil. Imanshah takut keluarganya masih belum dapat menerima beliau sebagai Firdaus yang baru sebagaimana awal-awal pengislaman beliau. Ya Allah, kau tabahkan hati hamba-Mu itu, kau cekalkan hatinya dan kau pasakkan Iman dan Islam teguh di hatinya supaya dia tidak berpaling dari kasih dan rahmat-Mu.

Masih terkenang saat berbuka bersama dan mengajar Firdaus membaca Al-Quran. Sesekali air mata menitik..Semoga dirimu tabah hendaknya !!


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENGAJARAN DI SEBALIK PERMAINAN


Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, “Saya ada satu permainan… Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah “Kapur!”, jika saya angkat pemadam ini, maka katalah “Pemadam!”

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, “Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah “Pemadam!”, jika saya angkat pemadam, maka katakanlah “Kapur!”. Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. “Murid-murid, begitulah kita umat Islam.

Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.
“Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain.”

“Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?” tanya Guru kepada murid-muridnya. “Faham cikgu…”

“Baik permainan kedua…” begitu Guru melanjutkan.

“Cikgu ada Qur’an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda semua berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur’an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?”

Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur’an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet.

“Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya. .. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang. .. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

“Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. ..”

“Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka lakukan… Dan itulah yang mereka inginkan.”

“Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita… ”

“Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?” tanya murid- murid.

“Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi.”

“Begitulah Islam… Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar,akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar”.

“Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang…”

Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya…

SUMBER : TEH SECAWAN

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

INI KURMA JUGAK!!

Di satu petang, seorang lelaki telah berbuka puasa di restoren mamak kegemarannya. Ada satu dialog..

Lelaki Y : Ane, nasi beriani satu, milo ais satu.


Mamak : Siap.


Lelaki Y : Ok.


Lalu nasi beriani dan milo ais dibawa ke meja lelaki Y. 


Lelaki Y : Mau bukak puasa ni. Itu kurma ada ka??


Mamak : Ara, ara.. sakajap ya. 


Lelaki Y : Ok


Lalu mamak tadi membawa satu pinggan 'kurma'


Lelaki Y : saya mintak kurma, bukan daging masak kurma


Mamak : Ini kurma jugak


Lelaki Y : Adoi, mamak India ni tak faham cakap melayu la. Dia belajar kurma tu daging atau ayam masak kurma sahaja. (dalam hati)


Ini kisah benar!! Noktah




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, August 22, 2011

KALAU NAK MATI SENDIRI TAK PA JUGAK, INI MEMBAHAYAKAN ORANG LAIN



Komander UPP Kedah Mohd Jasri Othman (kanan) bersama Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhammad Zunaidi Abdullah (dua kanan) memeriksa sejumlah mercun dan bunga api yang diletakkan pada bahagian enjin kereta Waja dalam satu Operasi Khas awal pagi tadi pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Kayu Hitam, Isnin. Taktik terbaru penyeludup mercun dan bunga api mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain jika berlaku mercun itu terbakar akibat terlalu panas.
Amboi amboi cerdik benor kome ye. Sampei ghope itu sekali nak menyeludup mercun ni. Kalau nak mati sendiri tu takpe lah, ini kalau buatnye meletup atas jalan raya, tak pasei-pasei deme yang tak berdose ikut terlibat. Idok ke kome fikir yop deme ni dah le buat jenayah, takpasei-pasei tambah dose kalau orang lain pula yang terbunuh. Satu lagi, sekarang ni kebanyakan rumah terbakor sebab main mercun ngan bunga api. Insaf-insaflah wahai penyeludup, penjual dan pembeli. Selamat berbuke yop!!



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SEMPERIT ULAT BULU SUKARNI JAAFAR

Selamat malam semuanya. Tentu sebok semuanya  tengah buat biskut raya kan. Hehe, seperti kelazimannya setiap tahun, Imanshah akan menempah biskut raya dari Kole Lumpur. Tengok jauh kan sampe Kole Lumpur yop teman tempah biskut raya. Dua jenis je yang selalu teman tempah iaitu biskut SEMPERIT dengan TART NENAS. Istimewanya, ia merupakan resipi dari bekas pelakon SUKARNI JAAFAR. Inilah ghopenya ya.


Tengok semperit tu memang kalau nampak ghope memang takde orang nak jamah. Buruk bebenor, bentuk ulat bulu je. Begitu juga tart nenas, bunga-bunga lepas tu taruk jem nenas bulat atas biskut. Tapi bila rasa Ya Allah memang sedap teman nak khabo. Sebab itu tanpa gagal lapan tahun teman mesti dapatkan ke dua-dua jenis biskut ni dari SUKARNI JAAFAR.

Tapi teman idok le beriya bebnor beli biskut raya. Sekadar ada sahaja. Lagipun adik beradik udoh banyak yang beli. Tambah sikit-sikit je, kalau tak habis, teman la tukang bungkus balik bawak ke Ipoh semula. Hehe buruk siku kan. Teman kalau raya bukan suka sangat makan biskut raye. Kalau ada kacang ke, maruku ke, rasenya teman lebih suka benda-benda alah tu. Ralit bila ngunyah. Biskut-biskut moden niteman idok  berapa pandei nak  makan. Apa namanya, mama carry, almond london le, nestum conflake ke hapa. Memang jauh le nak masuk dalam tekak teman ni yop. 

Kome semua banyak ke buat kuih?? Kuih siput ada?? Walla..teman suka kuih siput tu. Kalau tak buat biskut, hidangkan biskut merry pun takpe. Wakaka. Jumpa lagi na!!


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Sunday, August 21, 2011

TUTTI FRUTTI YANG HORROR

Apa khabo semua? Ni teman nak khabo sikit le. Bukan apa, sekadar perkongsian dan peringatan untuk diri sendiri. Malam tadi selepas berbuka,  teman dengan beberapa orang bekas anak murid Imanshah yang nun jauh turun dari Kole Lumpur nak berbuk dengan teman senggah le kat Tutti Frutti. Kome semua tahu ke idok, kedai ni. Ini le kedai yogurt yang baghu, kalau kat Ipoh ni baru 4, 5 bulan je beroperasi. Ni teman nak tunjuk gambo tutti frutti.


Inilah ghopenya. Segak kan?? haha bukan ape udoh lama teringin nak makan benda ni. Macam-macam kan makanan yang timbul sejak akhir-akhir ni . Tanpa pengalaman membeli sebelumnya, kami main redah je le. Amik le mana yang patut kan. Ingat murah je, maklumlah takde pulak diletakkan tanda harga kat sini. 

Opocot!! bile nak bayor, mak aii, ni kat Jerman ke hapa. Sekali harganya Rm 22 hengget hanya lah sekadar sebekas Tutti Frutti. Mak ai, dia timbang le..Nak buat macam mana ye kan. Idok le buleh teman letak balik. Kenalah bayor, yang lain regenya 15, 17  dan 27 hinggit. makan empat orang, jumlahnya RM 81 hinggit. 

Menyesal lah jugak kan. Dah buleh buat makan seminggu tu. Apapun pengalaman yang agak "horror". hehe, maleh le nak ulas pasal rasanya kan. Udah makan pun. Apapun, tak tahu le bila lah mampu masuk lagi kat Tutti Frutti ni. Hehe, kepada pengurusan Tutti Frutti, tolong le letak harga besor-besor supaya kami yang kurang berkemampuan ni idok le terover ala-ala orang kaya kan. Hehe. Jumpa lagi...




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

RUNTUHNYA RAMADHAN DITENGGELAMI TSUNAMI AIDILFITRI


Imanshah tertarik dengan satu artikel yang dimuatkan dalam Ruangan Rencana akhbar MINGGUAN MALAYSIA hari ini tulisan MAULANA ARIF di muka surat 9. Bagi yang tidak berkesempatan, baca dan hayatilah artikel ini yang mencerminkan keadaan masyarakat Melayu Islam di negara ini dalam melebihkan Aidilfitri sehingga meminggirkan sepuluh hari terakhir Ramadhan. Moga bermanfaat wahai sahabat..

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara. Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?
Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti. Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.
Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan
Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan. Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3
Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa). Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan. Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

ARSENAL DIMALUKAN OLEH LIVERPOOL DI EMIRATES



Liverpool meraih kemenangan pertamanya dalam Liga  Perdana Inggeris musim 2011/12 setelah menundukkan Arsenal 2-0 di Stadium  Emirates, Kedua gol liverpool dijaringkan oleh Aaron Ramsey(gol sendiri)  dan Lusi Suarez.. Dalam perlawanan   ini, Arsenal dan Liverpool menunjukkan  permainan terbuka. Pada minit kesepuluh, Arsenal mendapatkan peluang melalui Andrey Arshavin, namun pemain berasal dari  Rusia ini gagal memanfaatkan peluang. Pada minit ke-21, Liverpool mendapatkan peluang keemasan  untuk berada dihadapan terlebih  dahulu. Namun tandukan penyerang  Andy Carroll berjaya ditepis keluar    Wojciech Szczesny.

Pada menit ke-30, penjaga gol  Liverpool Pepe Reina dipaksa  bekerja keras untuk menggagalkan  tendangan keras dari luar kotak penalti oleh Frimpong. Lima minit kemudian, giliran Nasri yang mengancam pertahanan Liverpool. Namun sepakan belaiu tersasar  tipis dari gawang Reina. Kedudukan separuh masa pertama 0-0.


Dalam babak kedua, irentak  permainan Arsenal dan Liverpool tidak mengalami perubahan. Pada minit ke-68, Arshavin berjaya melepasi  Daniel Agger, dan seterusnya melorongkan  bola kepada Robin van Persie, namun gagal untuk merobek gawang Liverpool. Arsenal kemudiannya  dipaksa bermain dengan sepuluh orang setelah Fimprong dilayangkan kad kuning keduanya oleh pengadil  Martin Atkinson setelas mengasari Lucas.



Kelebihan bermain dengan sebelas pemain digunakan sepenuhnya oleh Liverpool. Hasilnya, Liverpool membuat para penyokong The Gunners berdiam diri apabila  Ramsey telah menjaringkan gol sendiri. Suarez yang masuk sebagai pemain gantian pada menit ke-71 menggandakan kelebihan  pasukan pelawat  sekaligus memastikan Liverpool meraih kemenangan pertamanya di musim ini sehingga tamat masa perlawanan.

KEPUTUSAN :

ARSENAL (0) vs LIVERPOOL (2) 


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, August 20, 2011

IKLAN SEKSI, PIHAK NURUL MINTA MAAF


Pihak pengurusan penyanyi Nurul Wahab meminta maaf berhubung isu penyiaran iklan promosi hari Raya pusat pengurusan badan, Glow-Glamour yang memapar penyanyi itu berpakaian terdedah.
Menurut pengurusnya, Badrul Hashim, Nurul yang merupakan duta Glow-Glamour tidak mengetahui mengenai iklan tersebut termasuklah gambar yang dipaparkan oleh pihak pengeluar produk itu.
"Memang sebelum ini Nurul ada mengambil beberapa gambar termasuklah gambar yang dijadikan sebagai iklan Hari Raya bagi tujuan promosi Glow-Glamour pada masa akan datang.
"Tetapi Nurul tidak tahu gambar yang terdedah pula menjadi pilihan untuk dipaparkan pada iklan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Paparan iklan promosi raya yang menunjukkan gambar Nurul berpakaian seksi.
Tambah Badrul, dia telah pun berjumpa dengan pihak Glow Glamour untuk bertanyakan isu tersebut dan pusat pengurusan badan itu meminta maaf atas kesilapan memilih gambar yang tidak sesuai untuk iklan promosi raya.
"Setelah berbincang, mereka telah meminta maaf dan tidak tahu perkara ini boleh menjadi sensitif dan tidak sesuai bagi tujuan promosi Ramadan dan Aidilfitri, tambah pula ada gambar masjid pada paparan iklan Hari Raya itu.
"Malah pusat pelangsingan badan itu telah menarik balik iklan tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi laman web mereka dan di akaun Facebook," jelasnya.
Ditanya apakah reaksi Nurul apabila isu iklan tersebut dibangkitkan, penyanyi itu yakin dia tidak bersalah dengan hal itu cuma risau reputasinya tercalar.
Nurul kini berada di Sandakan, Sabah, bagi menghadiri sebuah sidang perniagaan.


SUMBER : MSTARONLINE

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

SEMOGA SELAMAT SEMUANYA DI NEGARA ORANG


Assalamualaikum semua. Dah bangun ke belum? Alhamdulillah sudah masuk hari ke-20 kita semua berpuasa moga-moga amalan kita diterima. InsyaAllah. Semalam, Imanshah dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama bekas anak murid tahun 2008. Adalah dalam sepuluh orang yang turun ke Ipoh untuk bertemu guru-guru. Sebenarnya mereka semua akan melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas Aidulfitri nanti. Itu yang datang jenguk guru-guru di sekolah sebelum berangkat nanti. Antaranya Harinn, Zaidulkhair, Ariff Ismail, Firdaus, Syahmi yang akan ke United Kingdom, Firdaus A yang akan ke Australia, Ariff Haikal (Mesir), Najhan (Russia) dan Nazmi ke Kanada. Alhamdulillah, tercapai juga cita-cita mereka untuk menjejakkan kaki ke luar negara. Tahniah dari cikgu untuk semua, seronok bila mendengar perkhabaran ini. Masih terkenang sewaktu pertama kali wajah-wajah ini menjejakkan kaki ke Sekolah Bintang, kini semuanya dah besar panjang, dan sudh mampu untuk bergelandang ke negeri orang.

Ingin cikgu titipkan nasihat buat semua :

Bukan semua benda ada harganya di dunia. Malah, banyak yang tidak ternilai harganya. Dari ibu bapa ke syurga, dari  guru-guru bawa bahagia. Jadilah anak-anak yang soleh. Yang tidak pernah akan memalukan ibu bapa, dan guru-guru apabila kamu sudah menjadi orang hebat nanti. Jangan korupsi, jangan penting diri, jangan belot pada pertiwi dan lupa asal usul merah darah keturunan. Cikgu  akan selalu ingat, takut kalian yang buat-buat lupa. Selalunya student tak dengar khabar berita bila meninggalkan alma mater tercinta. Apatah lagi bila dah pijak seberang benua.
Selamat berangkat buat semua!  



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget