WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Friday, November 2, 2012

TEKS UCAPAN MAJLIS GRADUASI STAR, IPOH 2011


TEKS UCAPAN
YANG BHG DATO’ HAJI ROSHIDI BIN HASHIM, DATUK BANDAR IPOH SEMPENA MAJLIS GRADUASI
SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN IPOH

SALUTASI

Saudara pengacara majlis;

Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim
Pengetua Cemerlang STAR,

Yang Berusaha Tuan Haji Azlan bin Abdullah
Timbalan Presiden STAROBA

Yang Berusaha Encik Ahmad Hamdan bin Abdul Hamid
Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG)

Penolong-penolong Kanan

Para ibu bapa, guru-guru seterusnya

Para pelajar yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

KATA PEMBUKA

1.      Alhamdullilah, bersyukur saya ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah rahmat, kurnia dan izin-Nya, saya berpeluang untuk hadir dalam Majlis Graduasi Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh bagi tahun 2011 ini.

2.      Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah sudi mengundang saya ke majlis ini dan seterusnya menyampaikan sijil graduasi kepada para pelajar Tingkatan 5 Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.

3.      Sesungguhnya, kesempatan untuk bersama-sama hadirin sekalian pada pagi ini amat bermakna bagi saya.  Inilah kali pertama saya secara rasmi dapat berkunjung ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh sejak mula menyandang jawatan Datuk Bandar Ipoh mulai tanggal 23 Julai 2008.

4.      Insya-Allah, pertemuan pada pagi ini akan membuka ruang ke arah kerjasama yang lebih luas antara MBI dan STAR pada masa akan datang dalam pelbagai bidang dan lapangan. Mungkin juga ada dalam kalangan kaki tangan MBI yang mempunyai anak-anak yang telah dan masih menuntut di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh ini.

“PREPARATION FOR LIFE”

 5.     Hadirin dan para pelajar sekalian,

Majlis pada pagi ini merupakan satu penjelmaan kesepaduan yang akrab terjalin antara guru, pelajar, kakitangan dan ibu bapa demi merealisasikan aspirasi dan impian para pelajar untuk mencipta kecemerlangan.

6.      Justeru, majlis ini tidaklah harus dilihat sebagai suatu upacara dan keraian semata-mata. Lebih dari itu, acara pada pagi  ini merupakan simbolik yang memaknakan kejayaan semua pihak, iaitu individu dan entiti yang terlibat  secara langsung atau tidak langsung, dengan disedari atau tanpa disedari di sebalik jejak tapak kecemerlangan yang telah dirintis oleh mereka.

7.      Oleh yang demikian, harapan kita ialah supaya kejayaan dan kecemerlangan tersebut tidak terhenti di sini sahaja. Majlis pada pagi  ini  menandakan permulaan perjalanan baharu untuk menghadapi dunia yang lebih mencabar sebagai mahasiswa  selepas ini.

8.      Ahli falsafah Yunani, Socrates pernah berkata:Orang yang hidup hanya dengan harapan dan menunggu tanpa usaha dan fikir, akan mati kelaparan”.  Sebagai generasi pewaris kepimpinan dan peneraju pembangunan negara, para pelajar  sekalian perlulah berjiwa besar dengan lingkungan perspektif yang luas dan akal budi yang waras.

9.      Anggapan bahawa kepujian akademik dalam bentuk ijazah dan diploma yang menjadikan seseorang graduan itu orang yang berpengetahuan perlulah dikikis. Anggapan sedemikian hanya akan menjadikan seseorang itu menjadi jumud dan beku, sekaligus culas untuk mentransformasi dirinya dari semasa ke semasa.

10.    Sebaliknya, anak-anak pelajar sekalian mestilah bijak membuat perancangan mulai sekarang mengenai laluan akademik dan kerjaya anda pada masa hadapan. Dalam konteks ini, para guru dan ibu bapa juga boleh memainkan peranan bagi membantu anak-anak ini menentukan laluan yang ingin diambil selepas ini.

11.    Big things have small beginnings. Insya-Allah, kebijaksanaan dalam membuat pilihan pada saat ini bakal melakarkan masa depan yang gemilang. Untuk mencapai aras kejayaan yang lebih cemerlang selepas ini, anda sekalian mestilah bersedia untuk bersusah payah dan mencabar keupayaan sendiri supaya cita-cita yang ditekadkan dipacu sebaik mungkin oleh keazaman dan usaha terbaik.

12.    Dalam salah satu hadithnya, Junjungan Agung Nabi Muhammad S.A.W telah menyatakan bahawa menuntut ilmu itu merupakan satu kewajipan. Baginda Rasululullah S.A.W juga menyeru kita untuk menuntut ilmu sejak usia muda hinggalah ke saat kita meninggalkan dunia ini.

13.    Justeru, sudut pandang anda sekalian perlulah mula dilebarkan untuk melihat lebih jauh dari skop SPM, STPM atau Matrikulasi. Individu yang berjiwa besar sudah mampu melihat siapa dirinya dan di mana dia berada 10 tahun akan datang. Menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, memegang gelaran profesional atau menjawat jawatan penting dalam bidang kerjaya atau menjadi usahawan yang berjaya – itulah bayangan yang perlu dijelmakan pada layar minda anda kini.


14.    Perlu diingati bahawa  ijazah dan diploma adalah sekadar tiket yang mewakili pencapaian kita dalam bidang pengajian yang dipelajari. Kelayakan sijil, ijazah dan diploma semata-mata tidak akan memberi sebarang nilai tambah kepada seseorang sekiranya dia bersikap complacent. Selepas ini, banyak lagi cabang ilmu yang perlu dipelajari bagi melengkapkan kewajipan seperti yang disabdakan oleh Junjungan Agung kita, sekaligus membentuk diri sebagai individu yang kamil.

TRANSFORMASI BERTERUSAN

15.    Hadirin sekalian,

Peredaran zaman dan perubahan masa telah mengemukakan aneka citra cabaran yang perlu ditekuni sebaik mungkin. Pada masa silam, kekuatan sesuatu bangsa atau negara diukur dari aspek keupayaan ketenteraan dan tanah jajahan yang luas.

16.    Pencapaian demi pencapaian dalam bidang sains dan teknologi yang bermula pada zaman Renaissance, yang diikuti oleh Zaman Penemuan atau Age of Discovery, Zaman Pencerahan atau Enlightenment dan seterusnya Revolusi Perindustrian telah mentranformasi corak tamadun. Keupayaan ketenteraan dan keluasan tanah jajahan bukan lagi faktor penjamin survival sesuatu bangsa atau negara, sebaliknya terletak pada penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.

17.    Kesedaran tinggi tentang keperluan untuk menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi telah mentransformasikan Negara Jepun dari sebuah negara feudal yang mengamalkan dasar tertutup pada tahun 1853 dan dalam tempoh yang singkat menjadi kuasa besar menjelang tahun 1905.


18.    Transformasi tamadun berasaskan penguasaan ilmu pengetahuan yang digerakkan oleh kebijaksanaan Maharaja Meiji telah meletakkan Negara Jepun sebagai negara Asia kerdil yang berjaya mengalahkan Empayar Rusia dalam Perang Rusia - Jepun pada tahun 1905. Transformasi tamadun itu telah mengangkat martabat Negara Jepun sehingga hari ini dan tiada siapa yang dapat menafikan pencapaian tinggi negara tersebut dalam bidang sains dan teknologi.

19.    Persoalannya kini ialah adakah anda sekalian sekadar menjadi pemerhati semata-mata? Adakah suasana sudah cukup selesa sehingga kita tidak perlu lagi berfikir mengenai transformasi bangsa dan negara ke arah yang lebih progresif dan dinamik? Adakah kita selama-lamanya mahu bergantung pada negara lain untuk menggunakan teknologi mereka tanpa ada usaha untuk mencipta teknologi sendiri?

20.    Soalan-soalan ini saya kemukakan untuk sama-sama direnung dan difikirkan dengan mendalam oleh para pelajar sekalian. Jawapan kepada soalan-soalan ini pula berkait rapat dengan soal pembelajaran sepanjang hayat dan transformasi diri yang telah saya sentuh pada awal ucapan ini sebentar tadi.

21.    Tahun 2020 yang bakal menyaksikan wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju hanya tinggal  9 tahun lagi. Kejayaan Malaysia untuk merealisasikan Wawasan 2020 kelak juga terletak di atas bahu pelajar  sekalian yang akan menjadi sebahagian daripada golongan pelaksana, peneraju dan pemacu jentera kemajuan pada masa tersebut, dalam apa jua bidang.

22.    Oleh yang demikian, masa yang masih berbaki ini hendaklah dimanfaatkan dengan seoptimum mungkin oleh para pelajar sekalian untuk mempertingkatkan  penampilan dan perwatakan untuk menjadi pemain global yang kompetitif yang bersedia menakluk dunia tanpa sempadan dengan ketinggian penguasaan ilmu pengetahuan.

23.    Sejarah transformasi Negara Jepun yang saya nukilkan sebentar tadi perlu dijadikan iktibar untuk menyuntik kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia juga boleh menjadi sehebat itu. Kepada andalah graduan sekalian diharapkan untuk terus menadikan kewujudan bangsa dan negara. Imam al-Ghazali, cendekiawan Islam tersohor pernah menyatakan bahawa masa depan sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada generasi muda pada hari ini.   
 

UCAPAN TAHNIAH

24.    Para graduan dan hadirin sekalian,

          Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada graduan sekalian. Kini, selepas menamatkan persekolahan, anda sekalian bertanggungjawab pula untuk menjadi alumni yang tahu mengenang budi dengan kembali berbakti dalam apa jua bentuk kepada STAR Ipoh sebagai alma mater anda.

25.    Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa yang telah berjaya membesarkan, mendidik dan membimbing anak-anak tuan-tuan dan puan-puan sebagai insan cemerlang yang pastinya menjadi kebanggaan seisi keluarga. Begitu juga kepada para pendidik yang saya kira menjadi tulang belakang yang hebat kepada kejayaan anak-anak ini.

26.    Oleh yang demikian, sebagai tanda kasih sayang, penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa dan para guru sekalian, saya meminta para graduan untuk memberikan tepukan yang gemuruh buat mereka.

KATA PENUTUP DAN LAFAZ PERASMIAN

27.    Tuan-tuan dan puan-puan,
         
          Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja STAR IPOH kerana telah berjaya mengelolakan majlis ini dengan penuh tertib dan tersusun. Marilah kita sama-sama memanjatkan doa mudah-mudahan Allah Taala akan terus melimpahkan rahmat perlindungan dan peliharaan-Nya kepada kita  dan negara Malaysia dengan naungan keamanan, kemajuan dan keselamatan.

28.    Dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Graduasi Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh bagi tahun 2011.

          Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

0 GENTA RASA:

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget