WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Sunday, September 30, 2012

PENUNTUT IPT JUGA LAYAK TERIMA BR1M 2.0 BERNILAI RM250


Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun ke atas turut layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) bernilai RM250, dengan pembayaran bermula Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata golongan berkenaan layak kerana tidak mempunyai pendapatan bawah RM2,000 sebulan. Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra anjuran Majlis NGO Kelantan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan, di Tanjung Chat. – BHarian






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

TITAH RAJA MUDA PERAK RAJA DR NAZRIN SHAH SEMPENA HARI KECEMERLANGAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH 2012


TITAH
DULI YANG TERAMAT MULIA
RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA DR. NAZRIN SHAH
DI MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG
HARI KECEMERLANGAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH
KALI KE 39

TARIKH: 28 MEI 2012 (ISNIN); 
JAM: 10.00 PAGI
TEMPAT: DEWAN BANKUET;
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN, IPOH.

“PELAJARAN DAN PENDIDIKAN: MENYUNTIK ROH KEILMUWAN”.

Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.

1.Segala puji bagi ALLAH. Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang telah mengajarkan Al-Quran; Dia menciptakan manusia; membolehkan manusia berbicara, memberi dan menerima penyataan.

2. Selawat kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian, kurniakan rahmat ke atas Baginda demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

3. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan inayat dan penentuan dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar diizinkan berangkat ke majlis ilmu, sempena sambutan HARI KECEMERLANGAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH KALI KETIGA PULUH SEMBILAN. Semoga Majlis ini diterima sebagai amal makruf di sisi ILAHI. Semoga setiap seorang yang telah menzakatkan masa untuk hadir di majlis ini, dirahmati ILAHI kerana telah menghayati Sabda Nabi Sallallahu Alai Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Dzar bermaksud:

“Menghadiri majlis orang berilmu, lebih utama daripada mendirikan solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan bertakziah seribu jenazah”


Begitu juga petikan kata-kata dari Atha yang bermaksud:
 
“Sesuatu majlis ilmu itu akan menutupkan dosa tujuh puluh majlis yang sia-sia”.    

4. Raja-Raja Melayu mempunyai hubungan bersejarah dengan rancangan penubuhan sekolah berasrama penuh. Moyanganda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (Al-Marhum) telah menzahirkan ketidakgembiraan Baginda terhadap dasar pelajaran British kepada orang Melayu, sekadar untuk melahirkan petani dan nelayan yang lebih baik dari generasi sebelumnya. Perkara yang disuarakan oleh Baginda semasa berlangsungnya Persidangan Raja-Raja (DURBAR) pada tahun 1903 di Kuala Lumpur telah mendapat persepakatan kata dari Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Selangor dan Yam Tuan Negeri Sembilan dari Negeri-Negeri Bersekutu di Tanah Melayu. Susulan dari Persidangan DURBAR 1903 itu, sekolah berasrama penuh pertama, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) telah ditubuhkan pada Januari 1905. Sama-samalah kita menghargai jasa bakti Duli-Duli Yang Maha Mulia itu dengan membacakan Suratul Fatihah dan apa jua ganjaran dari bacaan tersebut, semoga disampaikan kepada roh-roh keempat-empat Almarhum tersebut. Al-Fatihah.    

5. Ilmu adalah kunci sakti yang dapat membuka pintu potensi seseorang insan. Ilmu berperanan penting dalam mempengaruhi tahap pencapaian kemajuan seseorang insan dan sesebuah negara. Dalam era pra industri, kaedah menyampaikan ilmu bersifat elitis. Peluang mendapatkan ilmu berbentuk eksklusif, di bawah pengawasan dan pelaksanaan golongan agama, golongan pemerintah dan golongan bangsawan. Raja, Ketua Agama dan Para

6. Pendeta mengambil tanggung jawab, mewariskan ilmu kepada kumpulan kecil lagi terpilih, dalam menyediakan barisan pelapis untuk mengambil alih tanggung jawab dan meneruskan tradisi. Menyediakan kemudahan memperoleh ilmu secara meluas, dengan memperkenalkan program pelajaran yang lebih berstruktur dan sistematik, adalah fenomena yang mula berkembang sejak seratus lima puluh tahun terakhir. Di dunia ketiga, perkembangan ini baru berlaku dalam tempoh lima puluh tahun terakhir. Namun ia masih belum menyeluruh, kerana masih berlaku diskriminasi dari segi gender, dari segi lokasi, dari kumpulan sasar yang mendapat manfaat; di samping kurikulum, kemudahan prasarana, kualiti pengajaran serta nisbah murid guru, masih berada di tahap rendah.  

7. Mendapatkan pelajaran di iktiraf sebagai hak asasi setiap insan. Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sidang bertarikh 10 Disember 1948, secara khusus telah menyentuh aspek pendidikan. Artikel 26, Deklarasi Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa setiap insan mempunyai hak mendapat pendidikan. Pendidikan percuma perlu disediakan sekurang-kurangnya di peringkat rendah dan pendidikan rendah diwajibkan kepada setiap insan. Pendidikan teknikal dan pendidikan profesional hendaklah disediakan, sementara pendidikan tinggi dipermudahkan secara saksama kepada setiap insan berasaskan merit. 

8. Alhamdulillah, kita berada dalam sebuah negara yang memberikan prioriti kepada agenda pendidikan. Secara konsisten, setiap tahun, enam belas peratus Bajet Negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan program pendidikan. Dalam tahun semasa, Parlimen telah meluluskan peruntukan 37.3 bilion ringgit kepada Kementerian Pelajaran. Data semasa Kementerian Pelajaran mencatatkan, pada hari ini terdapat 7,723 sekolah, 236,313 guru dan 2,804,405 murid di peringkat rendah, sementara di peringkat menengah terdapat 2,296 sekolah, 176,407 guru dan 2,281,775 murid. Bermakna murid yang sedang berada di bawah pengawasan sistem persekolahan Kementerian Pelajaran berjumlah lebih lima juta, merupakan 17.4 peratus dari jumlah penduduk negara. Lima juta murid ini adalah satu angka besar yang diamanahkan tanggung jawab lebih besar untuk mendidik kepada lebih empat ratus ribu guru, di tapak semaian ilmu, di ladang sekolah, agar tumbuh segar menjadi pepohon yang subur lagi rendang di taman negara, berbungakan pengetahuan - berbuahkan kemahiran.
 
9. Lima puluh tahun yang lalu, kejayaan hidup insan masih boleh dicapai tanpa penguasaan ilmu yang luas – tanpa penguasaan kemahiran. Hari ini ekonomi berteraskan pengetahuan, dipacu oleh sains dan teknologi tidak mengizinkannya lagi. Hari ini, enam puluh peratus anak-anak dari keluarga miskin yang gagal diperlengkap dengan ilmu dan kemahiran akan berakhir dengan kemiskinan yang lebih buruk apabila mencecah usia dewasa.Program mengilmukan insan adalah elevator sosial yang sangat bertenaga, berupaya mengangkat martabat insan ke darjat yang lebih tinggi dan amat menepati maksud yang terkandung dalam ayat 11, Surah Al-Majaadilah:

“...nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”      
                             
10. Begitu juga telah dirawikan oleh Abu Naim dari Anas akan Sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud:

“Bahawa ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak sampai ke tingkat Raja-Raja”

11. Di serata dunia, program pendidikan telah melalui proses evolusi secara berterusan. Setiap negara memperkenalkan pelbagai pengubahsuaian, melakukan pelbagai adaptasi, menggubal kurikulum dan menambah baik kaedah pedagogi dalam hasrat memenuhi visi dan misi agenda pembangunan negara masing-masing.
 
12. Sejak negara ini diasaskan, Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) mengutamakan agenda pendidikan. Meskipun negara ketika itu, menghadapi cabaran keselamatan secara ideologi - secara militan dari Parti Komunis Malaya dan sekutunya, Yang Teramat Mulia Tunku memilih menyalurkan peratusan besar perbelanjaan negara untuk membina sekolah dan pusat pengajian daripada membina berek tentera dan membeli senjata. Tun Abdul Razak Husein (Allahyarham), Perdana Menteri kedua, selaku Menteri Pelajaran ketika negara diambang mencapai kemerdekaan, telah mengetuai Jawatankuasa Pelajaran yang dibentuk oleh Parti Perikatan untuk merangka dasar pelajaran dengan matlamat untuk menyatukan anak-anak dari semua kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
 
13. Seawal tahun 1956, Dasar Pendidikan Negara yang komprehensif telah dirangka, terkandung dalam Penyata Razak,dengan memperlihatkan betapa pimpinan negara menyedari akan pentingnya warga disatukan, melalui instrumen pendidikan yang mantap. Penyata Razak; selanjutnya diperlengkap dengan Laporan Rahman Talib 1960, dijadikan asas falsafah pendidikan negara, dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Dasar Pendidikan Negara digubal bersandarkan fahaman akan latar belakang komposisi warga di negara ini yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang bahasa. Pendidikan diakui sebagai instrumen penting berupaya memupuk perpaduan untuk menyatukan warga dalam sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

14. Asas dan falsafah pendidikan yang komprehensif ini terus diperkukuhkan untuk bersifat holistik dengan memastikan berlaku perimbangan di antara kekuatan lahiriah dan kekuatan rohaniah insan. Persidangan Dunia mengenai pendidikan Muslim yang dianjurkan buat pertama kalinya, berlangsung di Jedah dari 31 Mac hingga 8 April 1977. Persidangan tersebut telah menghasilkan Pengisytiharan Mekah. Pengisytiharan Mekah, menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.

15. Laporan Jemaah Menteri mengenai pelajaran dalam tahun 1979, memperlihatkan unsur keselarian dengan Pengisytiharan Mekah, memulakan era pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih menyeluruh. Faktor keseimbangan dan kesepaduan, dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan negara yang dirumuskan dalam tahun 1988 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

16. Satu kenyataan misi yang lengkap, mengandungi rangkaian kata tersusun mantap. Terkandung lima kata kunci,

Pertama: Memperkembangkan potensi
Kedua: Menyeluruh dan bersepadu.
Ketiga: Insan seimbang.
Keempat: Harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani
Kelima: Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

17. Kejayaan merealisasikan misi berkaitan, memerlukan komitmen dan ketegasan politik, sumber kewangan yang setimpal serta tenaga pelaksana yang memahami lagi menghayati kata kunci-kata kunci tersebut. Kejayaan merealisasikan misi berkaitan, memerlukan gabungan pelbagai komitmen; di peringkat pimpinan tertinggi negara, jentera teknokrat dan birokrasi negara, sokongan padu ibu bapa, keluarga dan masyarakat serta dedikasi para pendidik.

18. Misi ini adalah kompas yang menetapkan arah tuju pendidikan untuk bukan sahaja memperkembangkan potensi anak didik, malah mereka juga diperlengkap dengan roh insaniah, agar mereka menjadi insan murni lagi mulia, insan bertakwa; insan yang apabila telah dewasa, apabila telah memiliki kuasa, apabila telah diserahkan amanah, akan menggunakan kuasa dan menjunjung amanah dalam semangat suci menyempurnakan fardu kifayah secara jujur - secara ikhlas, mengamalkan perilaku mulia, merendah diri dan lebih utama memiliki kekuatan dalaman, menghindarkan diri dari melakukan mungkar, dari melakukan pembohongan, dari sifat mencuri tulang, dari menyalah guna kuasa, dari melakukan pecah amanah, dari melakukan rasuah.

19. Salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah dan jenayah bermula dengan perlakuan kesalahan-kesalahan kecil yang tidak segera dibendung; ia bermula dengan pembohongan kecil seperti menyerahkan cuti sakit palsu, perbuatan yang dilakukan melalui persekongkolan di antara seorang doktor yang terpelajar dengan seorang pegawai yang terpelajar, tetapi diketahui oleh anak, isteri, rakan dan jiran yang turut terpalit dengan lumpur pembohongan tersebut. Ia bermula dengan mencuri lima minit waktu bekerja yang tidak diganti, sedangkan memenuhi waktu minimum bekerja dengan kadar imbuhan yang telah ditetapkan, wajib hukumnya, dan wajib diganti jika tidak dipenuhi, seperti mana hukum mengqada puasa apabila tidak dilengkapkan. Ia boleh bermula dengan manipulasi tuntutan perjalanan, ia boleh bermula dengan menyalah gunakan satu rim kertas milik sekolah, ia boleh bermula dengan pelbagai perbuatan lagi. Hakikatnya telah berlaku pecah amanah yang mula menghidupkan sel-sel barah yang bakal merebak kepada perkara lebih besar seperti yang dicerminkan dalam gurindam lama Melayu:


"Siakap senohong, gelama ikan duri, Bercakap bohong, lama-lama mencuri"
 
20. Alam sekolah adalah makmal memudah cara, memungkinkan berlakunya proses metamorfosis ke atas diri insan. Alam sekolah mengandungi tiga komponen utama; pertama: murid, kedua: guru dan ketiga: bahan pelajaran yang disampaikan; dirujuk sebagai kurikulum. Bertanyalah pada diri, berikan jawapan ikhlas, akan tahap penumpuan yang berupaya dilaksanakan di bilik-bilik darjah pada hari ini dalam rangkaian interaksi di antara guru, murid dan kurikulum. Apakah sebenarnya murid, guru dan sekolah sedang berhadapan dengan satu jurang yang amat luas antara memenuhi misi yang terpahat indah dengan tekanan kerja sebenar untuk memenuhi tuntutan realiti tugas yang lebih menekankan kepada pencapaian kuantitatif.

21. Pendidikan adalah lebih menyeluruh. Pendidikan menyentuh komponen pembangunan insan secara lahiriah - secara rohaniah; melibatkan elemen-elemen pembentukan sifat, watak, karakter dan iman. Pendidikan melibatkan komponen-komponen asuhan, didikan, bimbingan dan amal. Tanggung jawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuh tanggung jawab diletakkan kepada sekolah – kepada guru. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain, sama-sama mempunyai tanggung jawab dan wajib melengkapkan tugas guru dan tugas sekolah.                                   

22. Program Dialog Nasional Pendidikan Negara yang sedang berlangsung ketika ini bersifat inklusif dengan menggalakkan penyertaan umum, satu langkah bijak selaras dengan semangat yang disuarakan oleh Perdana Menteri bahawa Era Kerajaan Mengetahui Semua telah berlalu. Dialog ini dilaporkan bertujuan mendapatkan maklum balas untuk membantu usaha Negara merangka program pendidikan yang lebih berupaya memenuhi keperluan generasi muka. Partisipasi pihak umum terutama generasi muda amat penting untuk membolehkan kerajaan mendapat maklum balas yang luas lagi relevan. Perkara yang dirumuskan akan menentukan rupa bentuk negara bangsa di masa hadapan. Agenda pendidikan hendaklah ditafsirkan secara luas - secara menyeluruh, dan tanggung jawab melaksanakan agenda pendidikan yang lebih holistik tidak lagi wajar diletakkan sepenuhnya kepada sekolah dan seratus peratus di bahu guru.   

23. Dalam hasrat mahu melaksanakan penambahbaikan, perlu ada kekuatan untuk mengakui wujudnya kelemahan, perlu ada sifat bersedia mengakui kesilapan sendiri dan perlu ada sifat tidak meletakkan kesalahan kepada pihak lain. Dalam usaha mahu melakukan penambahbaikan, perlu ada sifat kolektif mengambil tanggung jawab secara bersama, perlu ada semangat bersedia memikul beban secara bersama, perlu ada keterbukaan minda untuk menerima teguran secara positif, perlu ada fleksibiliti untuk melakukan penghijrahan paradigma. Agenda pendidikan negara adalah agenda yang melibatkan pelaburan penting membangunkan modal insan dan amat penting untuk dirumuskan secara objektif. Perlu diambil ingatan bahawa kenyataan-kenyataan yang terlalu cenderung memuji kejayaan, laksana masuk bakul angkat sendiri. Ia mudah membuatkan pandangan menjadi kabur dan memungkinkan pendengaran menjadi tuli. Kata-kata pujian boleh membawa kepada ketagihan untuk mendapatkan pujian demi pujian, lalu menjadi madat yang melalikan, membawa manusia ke alam khayal dengan fantasi indah yang sangat jauh dari alam realiti. Kerana itu, ajaran Islam menganjurkan bahawa segala puji dan puja itu semata-mata milik ALLAH, bahawa segala yang baik itu, datangnya dari ALLAH Subhanahu Wata’ala, agar manusia tidak cepat bersifat riak – tidak mudah berlagak bongkak.   

24. Hari ini tidak dapat dinafikan kejayaan sekolah mengeluarkan ramai lulusan berpengetahuan. Sekolah dan guru dikategorikan cemerlang, jika murid berjaya mencapai gred peperiksaan terbaik. Sistem penilaian yang terlalu memberatkan kepada gred pencapaian akademik, dibimbangkan telah tidak menyediakan cukup ruang untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat lain yang dimiliki oleh anak didik. Sistem penilaian sedemikian turut mempengaruhi budaya kerja majoriti pendidik di bilik darjah. Minda guru dan minda murid lalu terperangkap dalam sangkar pemikiran untuk mencapai gred terbaik peperiksaan. Akibatnya budaya mendidik secara holistik semakin tercicir di alam sekolah. 

25. Sensitiviti terhadap aspek-aspek kebersihan, disiplin, adab dan sopan dikompromikan. Hari ini bagaikan norma yang boleh diterima, melihat bilik darjah bertingkap pecah, melihat siling kaya bersawang dan lantai berlambak sampah, melihat longkang tersumbat dan padang sekolah berumput panjang, melihat perabot buruk dan kerusi patah tertera di lambak di segala sudut. Senario sedemikian kini semakin menjadi senario yang semakin kelihatan di premis sekolah dan bagaikan boleh diterima berlaku di sekolah. Lantas imej fizikal sekolah di hari ini, amatlah berbeza berbanding dengan imej fizikal sekolah empat puluh tahun yang lalu, ketika Beta mula mengenali alam sekolah.  

26. Secara tidak disedari, kita bertanggung jawab membentuk ‘BUDAYA TIDAK KISAH’ dan ‘BUDAYA TIDAK ENDAH’ di kalangan anak-anak didik, hingga mereka menjadi imun kepada senario sedemikian dan tidak lagi sensitif terhadap persekitaran hidup. Kerana buluh telah tidak dilentur semasa rebungnya, apabila mereka dewasa, budaya ini di bawa bersama ke kampus maktab dan ke kampus universiti; budaya ini terus berlanjutan di bawa ke premis pejabat tempat bekerja, dan menjalar ke dalam rumah tempat kediaman. Kepada mereka, memadailah rumah dibersihkan setahun sekali menjelang Hari Raya, memadailah pejabat dibersihkan jika ada pembesar mengadakan lawatan, kerana budaya tersebut telah dicontohi sejak di bangku sekolah; sekolah hanya diceriakan setahun sekali, ketika menyambut tetamu pada Hari Anugerah Cemerlang.

27. ‘BUDAYA TIDAK KISAH DAN BUDAYA TIDAK ENDAH’ ini semakin menjadi budaya nasional. Hari ini, timbunan buangan semakin terlonggok di pinggir jalan, sampah sarap semakin bersepah di serata tempat; sisa pepejal dilupuskan sekehendak hati, mengakibatkan saliran tersumbat dan berlakunya banjir kilat; udara dan air semakin tercemar; sedangkan di setiap perhimpunan pagi, diucapkan ke telinga murid akan pentingnya hidup secara berkualiti, akan wawasan untuk mencapai taraf negara maju; dan negara dipromosikan dengan secantik lukisan kepada pelancong luar untuk berkunjung ke sini. ‘BUDAYA TIDAK KISAH DAN BUDAYA TIDAK ENDAH’ ini tidak boleh dibiarkan merebak hingga menjadi satu budaya nasional berimej negatif. Langkah pencegahan dan langkah pembetulan perlu diambil. Sekolah turut berperanan sebagai tapak menyemai budaya positif. Mungkin, sistem pengauditan kebersihan sekolah perlu diperkenalkan, dikuatkuasakan dan dijadikan salah satu sasaran matlamat yang perlu dicapai di sekolah, dalam hasrat mahu menyemai budaya positif di kalangan murid, agar negara tidak sekadar memiliki prasarana dunia kelas pertama tetapi turut memiliki budaya dunia kelas pertama.

28. Jika didikan asas membentuk budaya insan semakin dipinggirkan, dibimbangkan sekolah sekadar berjaya mengeluarkan barisan teknokrat berfikiran mekanikal, bersifat mekanikal, berwatak mekanikal, dijelmakan sebagai insan mekanikal, tanpa roh – tanpa jiwa. Produk persekolahan sedemikian dibimbangkan bersedia melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat yang diidamkan, termasuk kesediaan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan etika murni sosial, bercanggah dengan nilai moral, bercanggah dengan undang-undang dan bercanggah dengan ajaran agama. Matlamat untuk menghimpun kekayaan material dan nafsu untuk memiliki kuasa, menghalalkan mereka melakukan apa juga. Mereka bersedia melakukan penipuan, melakukan pecah amanah, melakukan rasuah. Mereka sanggup melakukan manipulasi, tipu helah, fitnah, malah mereka sedia melakukan keganasan dan pembunuhan apabila berhasrat mendapatkan kuasa.

29. Dunia telah menyaksikan pelbagai bencana akibat perbuatan zalim manusia termasuk perbuatan dari kalangan individu yang dikatakan terpelajar. Lebih seratus juta nyawa di abad lalu menjadi korban kepada ciptaan teknologi senjata yang lebih memusnahkan. Pesawat yang merempuh Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001, diterbangkan oleh juru terbang yang memiliki ilmu dan kemahiran penerbangan; mengorbankan tiga ribu nyawa - menderitakan enam ribu mangsa. Ia tidak berakhir di situ sahaja. Ia adalah permulaan kepada lebih banyak pengorbanan nyawa dan kemusnahan harta. Peristiwa 11 September memberikan justifikasi kepada Kuasa Besar melakukan pencerobohan di Afghanistan dan di Iraq. Krisis kewangan dunia pada tahun 2007 telah melumpuhkan ekonomi dunia. Ia berpunca dari manipulasi manusia terpelajar, dari kalangan tokoh kewangan dan tokoh perbankan. Berlaku kemelut ekonomi - jutaan manusia kehilangan kerja.

30. Ukuran pencapaian berasaskan markah peperiksaan sebenarnya terlalu linear dan terlalu simplistik untuk dijadikan sumber maklum balas utama bagi membolehkan negara berupaya menyelami dasar masalah dan mengenal pasti simptom sebenar. Kaedah ukuran pencapaian sedemikian telah mengetepikan angkubah-angkubah lain, yang pada hari ini semakin menuntut kepada perlunya negara memperkemaskan DASAR SOSIAL (SOCIAL POLICY) sedia ada, supaya lebih relevan dan lebih menepati.

31. Sekolah tidak terpisah dan terlindung menerima tempias berpunca dari masalah sosial yang sedang berlaku. Lokasi sekolah dibina, kemiskinan keluarga, ibu tunggal, rumah tangga yang tidak rukun; ditambah dengan kemuraman guru yang saban hari menghadapi kesesakan trafik sebelum sampai ke bilik darjah, kelesuan murid kerana terlalu lama berada di dalam bas sekolah, adalah acuan-acuan yang akan mempengaruhi rupa bentuk budaya pembelajaran di sekolah. Di tambah pula kurang keselesaan persekitaran, kesan dari pelebaran jalan dan kesan dari pembinaan bangunan komersial hingga sampai ke pinggir sekolah. Pelbagai angkubah yang berlaku di luar sekolah dan di luar bidang kuasa pihak sekolah, setiap satunya mencetuskan masalah yang terpaksa ditanggung oleh sekolah, guru, dan murid. Sekolah, guru dan murid bagaikan tiada hak untuk mempertahankan teritory mereka, dan kalau adapun suara guru dan suara ibu bapa, suara-suara itu tenggelam ditelan oleh kepentingan kumpulan yang lebih berpengaruh.

32. Hari ini pelajar terbaik dalam sistem peperiksaan memiliki keistimewaan, disaring lalu ditempatkan di sekolah terbaik, disediakan kemudahan terbaik, dibekalkan guru terbaik. Amatlah penting disuarakan dan diberikan perhatian kepada realiti yang sedang berlaku di sekolah-sekolah tidak ternama dan tidak bernama. Betapa berkelana nasib sekolah di pinggiran bandar dan di hulu negeri; ada yang di sekelilingi kawasan setinggan, majoriti muridnya berlatar belakangkan keluarga miskin; anak-anak didik yang tidak memiliki keistimewaan mendapat tuition peribadi, anak-anak didik yang terpaksa melakukan kerja sekolah dalam suasana panas dan kebisingan di rumah pangsa berbentuk kotak merpati. Betapa pentadbiran sekolah saban masa menghadapi vandalisme murid berjiwa rebelious, disebabkan menghadapi tekanan emosi, berpunca dari keluarga yang tidak harmoni. Betapa sokongan yang terbatas dari barisan PIBG baik dari segi idea – baik dari segi material dari kalangan ibu bapa berpendapatan rendah dan tidak memiliki modal budaya yang tinggi. Betapa lebih beratnya tugas yang perlu digalas oleh guru di sekolah yang tidak ternama dan di sekolah yang tidak bernama menghadapi isu sumbang mahram, kehamilan remaja, ponteng sekolah dan gangsterism. Betapa deritanya guru dan murid yang terpaksa mengikuti pelajaran di sesi petang, dalam panas cuaca tropika. Malah bermacam-macam kerenah lagi yang perlu dihadapi dan betapa berat tanggung jawab yang berada di atas bahu para guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah yang tidak ternama dan tidak bernama.

33. Tidak menjadi kehairanan, jika guru, murid dan ibu bapa di sekolah-sekolah sedemikian tidak pernah berpeluang melihat Raja, melihat Menteri atau melihat Pembesar Negeri berkunjung ke sekolah mereka, kerana sekolah sedemikian tidak pernah ada dalam radar keutamaan. Inilah anomali yang sedang berlaku, anomali yang amat perlu ditangani kerana majoriti sekolah, majoriti guru dan majoriti murid berada dalam persekitaran yang sedemikian. Perkara-perkara ini, akan menentukan tahap moral guru, moral murid dan moral ibu bapa. Malah sebenarnya, di sekolah tidak ternama dan di sekolah tidak bernama ini, komponen pendidikan lebih banyak perlu dilakukan, kerana para guru berada di barisan hadapan, berhadapan secara langsung pelbagai masalah sebenar kehidupan insan yang melimpah masuk ke bilik darjah dan kawasan sekolah.

34. Dalam usaha mahu merangka semula formula pendidikan nasional, dalam hasrat mencari titik keseimbangan pembangunan insan secara lahiriah – secara rohaniah, mungkin wajar diimbas dan diambil iktibar, dipungut mutiara-mutiara berharga dari falsafah yang terkandung di sebalik sejarah dan kaedah penyampaian ilmu yang kini terkandung di dalam kitab suci Al-Quran, secara penurunan wahyu dari ALLAH Subhanahu Wata’ala.

35. Kehebatan kaedah pedagogi yang diperlihatkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala tidak ada tandingannya. Ia bermula di Gua Hira, melalui wahyu pertama yang disampaikan oleh semulia-mulia guru kepada semulia-mulia murid; melalui peristiwa yang berlaku di antara Malaikat Jibrail Alaihissalam dengan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Dengan mengulangi tiga kali kalimah IQRA, dengan melakukan sentuhan fizikal, mendakap erat tubuh insan yang bernama Muhammad bin Abdullah, Malaikat Jibrail Alaihissalam telah merintis proses penyampaian ilmu kepada seorang insan mulia; ilmu yang bersumberkan ALLAH Subhanahu Wata’ala, hingga memungkinkan seorang anak Adam, diangkat menjadi Rasul, menjadi pemimpin ulung lagi agung, diperkaya diri Baginda dengan pelbagai hikmah – pelbagai pengetahuan – pelbagai keistimewaan. Pengenalan awal akan ilmu yang diwahyukan terkandung dalam ayat pertama hingga ayat kelima Surah Al-Alaq bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Dan Tuhan Mu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”5 (96:1-5)

36. Wahyu tersebut menegaskan nilai ilmu. Betapa kaya dan pemurahnya ALLAH mengurniakan pelbagai ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan makhluk, ilmu yang diajar melalui pena – melalui tulisan; manusia diperingatkan bahawa mereka berasal dari segumpal darah dan manusia wajib insaf akan sumber sebenar ilmu, kerana itu manusia tidak harus bersifat angkuh – tidak harus berlagak bongkak setelah dianugerahkan dengan kepandaian menguasai ilmu. Insan berilmu akan senantiasa menginsafi batas kepandaiannya, bersifat lebih bertakwa, lebih beriman dan lebih bertawaduk kepada Yang Maha Pencipta, serta senantiasa menginsafi akan kuasa yang Maha Agung, akan senantiasa mengakui bahawa setiap kejayaan adalah anugerah ILAHI. Peringatan awal dari ILAHI ini wajib dijadikan rujukan supaya manusia tidak sama sekali menyalah gunakan ilmu hingga terbabas dan tergelincir dari melakukan fitrah insani.

37. Khazanah ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran, diperlengkap dengan Sunah Rasul, diperkukuhkan dengan ciptaan langit, alam dan bumi, sebagai dalil kebesaran ILAHI, dapat dihargai oleh insan berilmu seperti yang digambarkan dalam ayat 43, Surah Al-Ankabut yang bermaksud:

“Contoh-contoh itu Kami kemukakan kepada manusia, dan hanya orang-orang berilmu yang memahaminya”6 (29:43)   

38. Pengalaman Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam menempuhi pelbagai lapisan dan kaedah pendidikan, sewajarnya dijadikan pedoman – dijadikan rujukan dalam merangka program pendidikan yang dilengkapkan dengan roh insaniah. Baginda telah menempuh pelbagai proses pendidikan, secara berguru kepada keluarga, secara berguru kepada masyarakat, secara berguru kepada alam, secara berguru kepada pengalaman, secara berguru kepada peristiwa, secara wahyu melalui perantaraan Malaikat dan puncak pengajian Baginda adalah ketika berhadapan secara langsung dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Setiap kata penghinaan - setiap cacian, dijadikan pengajaran untuk Baginda lebih memahami tabiat manusia; setiap ugutan - setiap ancaman, dijadikan ujian untuk membina kesabaran dan ketabahan.
39. Baginda diputerakan tiada berbapa, menempuh lima tahun pertama usia di bawah asuhan Halimah Sa’diayah seorang wanita dusun, di padang pasir di luar Kota Mekah. Baginda ditempatkan di luar Kota Mekah untuk memastikan semasa usia bayi, Baginda menyedut udara bersih yang terhindar dari pencemaran kota. Baginda dibesarkan dalam persekitaran masyarakat yang berupaya mempengaruhi Baginda bertutur dengan bahasa yang murni.7 Baginda menjadi yatim piatu pada usia enam tahun apabila bonda Baginda meninggal dunia, dipelihara oleh nenda Baginda yang turut meninggal dunia ketika Baginda berusia lapan tahun, lalu diletakkan di bawah asuhan ayahanda saudara Baginda.

40. Apakah elemen pengajaran yang boleh ditimba dari lapan tahun pertama usia Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam ini. Peristiwa yang berlaku membuktikan pentingnya peranan persekitaran yang sihat disediakan dalam usia awal seseorang bayi dan pentingnya peranan institusi keluarga dalam proses pendidikan seseorang insan. Meskipun Baginda dilahirkan yatim tanpa berbapa, bonda Baginda telah memastikan Baginda di usia bayi dibesarkan dalam persekitaran udara yang bersih dan segar di dusun, dan dalam masyarakat dusun yang budaya bertuturnya murni lagi beradab. Walaupun pada usia enam tahun Baginda menjadi yatim piatu, nenda Baginda Abdul Muthalib mengambil tanggung jawab membesarkan Baginda dan selepas itu tanggung jawab tersebut disempurnakan pula oleh ayahanda saudara Baginda Abu Thalib. Bermakna, vakum kasih sayang keluarga yang disebabkan ketiadaan ayahanda dan bonda, telah diisi oleh anggota lain di dalam keluarga untuk memastikan Baginda tidak ketandusan modal keluarga dan modal budaya yang amat penting peranannya dalam mengukuhkan emosi seseorang insan.  

41. Pengalaman menggembala kambing ketika dalam lingkungan usia dua belas tahun membuahkan didikan sangat berharga kerana pengalaman tersebut telah menyemaikan sifat-sifat tabah, cekal, sabar serta tenang. Dengan mengikuti ayahanda saudara Baginda membawa barang dagangan ke Syam, Baginda didedahkan dengan ilmu perniagaan. Kebijaksanaan Baginda menguruskan perniagaan telah menarik kepercayaan seorang hartawan Mekah, Siti Khadijah untuk mengamanahkan Baginda menguruskan barang dagangan beliau. Pengalaman menguruskan perniagaan itu mungkin telah mendorong Baginda untuk menggalakkan umat supaya berniaga kerana menurut Sabda Baginda, sembilan dari sepuluh punca rezeki itu datangnya dari perniagaan. Proses berguru dengan Malaikat Jibrail Alaihissalam tidak berakhir di Gua Hira. Ia adalah pengenalan kepada dimensi baru kaedah pendidikan yang merangkaikan tiga komponen utama ia itu, guru, murid dan kandungan yang disampaikan dari guru kepada murid. Jibrail Alaihissalam berperanan sebagai guru, Baginda berperanan murid dan wahyu yang terkumpul di dalam Al-Quran adalah kurikulum pengajian yang telah ditentukan ILAHI. Kurikulum tersebut mengambil masa hampir dua puluh tiga tahun untuk dilengkapkan. Hari ini, jika dihitung usia tujuh tahun seorang anak mula bersekolah, enam tahun di sekolah rendah, lima tahun di sekolah menengah, satu atau dua tahun di peringkat pra universiti, dan tiga atau empat tahun di peringkat universiti, seorang insan itu secara umumnya, akan menamatkan pengajian ijazah pertama pada sekitar usia dua puluh tiga tahun. 

43. Proses pendidikan Baginda Rasul berlaku secara berterusan, dari masa ke masa, dari tempat ke tempat, dari peristiwa ke peristiwa melalui pelbagai pendekatan – melalui pelbagai kaedah. Isra’ dan Mi’raj, adalah peristiwa perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, kemudiannya diangkat ke langit ketujuh dan ke Sidratulmuntaha. Baginda selanjutnya menemui ALLAH secara langsung, memperlihatkan berlakunya seni perundingan di antara seorang hamba dengan Penciptanya, Baginda bersedia mendengar dan menerima nasihat dari Rasul-Rasul terdahulu, berulang alik, merayu dan memohon pertimbangan ALLAH untuk mengurangkan dari lima puluh ke lima waktu, fardu sembahyang sehari semalam. Segala peristiwa yang berlaku adalah manifestasi kepada kaedah pendidikan yang pelbagai, dan telah membuka tabir rohani pengetahuan Baginda seluas-luasnya. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah pengenalan awal kepada manusia akan ilmu-ilmu telepati, teknologi penerbangan, teknologi angkasa lepas, teknologi transmisi, teknologi faksimile, teknologi komunikasi dan pelbagai teknologi elektronik yang begitu berkembang pada hari ini.

44. Peristiwa meletak Hajarul Aswad di Ka’abah, Peristiwa di Gua Hira, peristiwa Isra’ dan Mi’raj, peristiwa Hijrah, kemenangan Perang Badar, kekalahan Perang Uhud, perbuatan pepat di luar rencong di dalam semasa Peperangan Khandak, Perjanjian Perdamaian Hudaibiyah adalah antara makmal-makmal pengajian yang wajib dijadikan pedoman rujukan. Bahawa proses pendidikan Baginda tidak terbatas di bilik darjah yang sempit di Gua Hira. 

45. Hari ini istilah Belajar Sepanjang Hayat semakin ditekankan. Budaya belajar sepanjang hayat bukan perkara baru. Malah adalah begitu prima dalam budaya pendidikan dan kaedah perkembangan ilmu di dalam Islam yang dicerminkan melalui proses penyampaian wahyu ILAHI. Ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masyarakat yang belum memiliki tahap literasi yang tinggi, dan ketika bahan tulis masih begitu terbatas. Wahyu yang diturunkan mengambil masa dua puluh dua tahun, dua bulan, dua puluh dua hari, untuk disempurnakan sepenuhnya. Lapan puluh enam surah (86), mengandungi empat ribu, tujuh ratus lapan puluh (4,780) ayat, meliputi dua pertiga (19/30) dari kandungan Al-Quran diturunkan dalam tempoh masa tiga belas tahun di Mekah. Baki satu pertiga lagi (11/30) terdiri dari dua puluh lapan (28) surah, mengandungi seribu empat ratus lima puluh enam (1,456) ayat, mengambil masa hampir sepuluh tahun, diturunkan di Medina.

46. Wahyu diturunkan secara beransur-ansur, bertujuan untuk memudahkan fahaman dan dapat dihayati. Perintah suruhan dan perintah larangan dilaksanakan fasa demi fasa, disesuaikan dengan peristiwa dan permasalahan. Hasilnya pengajaran yang disampaikan dengan kaedah sedemikian bukan sahaja memudahkan kerja hafalan, malah telah meningkatkan fahaman, dan yang lebih utama dapat dihayati sepenuhnya oleh insan, disemai di dalam jiwa raga dalam membina roh insaniah yang sejati. Proses dan kaedah pendidikan yang dimanifestasikan melalui proses yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dan kaedah penyampaian dakwah yang Baginda amalkan mencerminkan pendidikan adalah satu maraton yang panjang lagi berterusan dan tidak ada garis penamatnya.

47. Antara rahsia kejayaan di Negara Maju adalah keterbukaan menerima realiti bahawa manusia dilahirkan dengan pelbagai perbezaan untuk memenuhi pelbagai peranan. Negara Maju tidak sekadar berjaya melahirkan barisan intelek dan cendekiawan, malah di Negara Maju jugalah munculnya olahragawan dan olahragawati unggul menjuarai kejohanan, di Negara Maju jugalah muncul nama-nama besar di bidang seni, teater, sastera, dan fesyen. Masyarakat di Negara Maju mentafsir secara tepat dan memahami secara mendalam akan kepelbagaian bakat manusia dan memberikan pelbagai dorongan, menyediakan pelbagai prasarana latihan yang membolehkan tunas-tunas muda dalam pelbagai bidang tumbuh subur, berdahan rendang, rimbun menghijau, menghasilkan bunga beraneka warna, mengembangkan kuntum berbau harum. Negara Maju tidak cepat memotong dahan-dahan yang memilih untuk tumbuh melebar dan tidak pula mencantas tumbuhan renek yang mahu menjalar.

48. Negara kita juga, kaya dengan pelbagai bakat modal insan. Bakat yang berlainan tidak boleh dibangunkan melalui program Satu Untuk Semua. Tidak ada sekolah dan tidak ada kaedah pengajaran yang sesuai untuk semua pelajar; dan tidak juga munasabah untuk sekolah menjadi begitu pelbagai dalam hasrat memenuhi cita rasa individu. Yang diperlukan adalah kebijaksanaan mencari garis penengah, titik perimbangan; yang diperlukan adalah kearifan memperkenalkan ruang fleksibiliti dalam program membangunkan potensi insan. Yang diperlukan adalah langkah-langkah radikal bersedia membuka jendela kepada senario pendidikan yang lebih pelbagai, untuk menawarkan opsyen yang lebih pelbagai. Kecemerlangan pendidikan akan lebih terserlah dengan adanya kepelbagaian, bagaikan keindahan pelangi yang berbagai warna, tercantum dalam harmoni, melukis gerbang di kaki langit. Semoga segala usaha inovasi yang sedang dilaksanakan akan mengupayakan sekolah menjadi taman ilmu, berupaya memberikan inspirasi kepada pelajar menemui dan membina falsafah hidup, dan semoga sekolah berjaya mewujudkan persekitaran budaya yang menjadikan taman pilihan anak-anak untuk bersantai.

49. Beta tidak memiliki kesaktian suara Malaikat Jibrail Alaihissalam, Guru yang berupaya menyampaikan ilmu dengan sepatah kalimah iqra kepada semulia-mulia murid, tidak juga Beta memiliki sifat seorang Pendeta Agung yang kata-katanya laksana air terjun yang dingin, diterima mengalir laju sampai ke hilir. 

50. Beta seorang hamba ALLAH, ayahanda kepada putera puteri yang masih kecil, Beta adalah insan yang pernah melalui hidup sebagai pelajar di institusi pengajian berasrama, dianugerahkan kelebihan dari ILAHI dengan diputerakan dalam keluarga yang mewarisi modal budaya yang tinggi, dan hari ini Beta membawa suara seorang Ayah, turut meletakkan harapan tinggi kepada peranan guru dan institusi sekolah, agar putera puteri Beta dicanai minda dan dibentuk lakunya, menjadi insan berilmu, bertakwa, beriman, seimbang pembangunan lahir dan batinnya.

51. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para penerima pelbagai anugerah di Majlis ini. Penghargaan lebih utama Beta kepada ayahanda bonda para pelajar yang telah mencipta kejayaan di pagi ini, demikian juga kepada para guru yang besar berjasa, yang merupakan tenaga terpenting, di sebalik kejayaan setiap pelajar; para guru, yang berperanan sebagai kandil kemerlap di malam gelap, para guru yang tekun menabur setanggi budi kepada warga. Bersyukurlah kepada ALLAH di atas pencapaian kejayaan ini, berterima kasihlah kepada ayahanda bonda dengan menjadi anak yang soleh, dan muliakanlah para guru agar hidup dilimpahi berkat. Sempurnakan amanah - laksanakan amal bakti dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang tulus. Kepada ALLAH dipohonkan segala petunjuk dan bimbingan. Amin Ya Rabul Alamin.

Wabillahi taufik, walhidayahWassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

HATRIK SUAREZ JULANG LIVERPOOL



Ledakan hatrik Luis Suarez membantu Liverpool meraih kemenangan pada musim ini selepas lima perlawanan apabila penuh bergaya membenam Norwich 5-2 di Carrow Road dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.

The Reds telah memberikan amaran seawal minit kedua perlawanan lagi apabila meraih gol hasil rembatan Suarez dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke penjuru kiri pintu gol Norwich sebelum menambah jaringan kedua pada minit ke-38.

Sebaik dua minit separuh masa kedua bermula, Liverpool terus mengukuhkan cengkaman melalui pemain pinjaman Real Madrid, Nuri Sahin yang mudah menolak masuk hantaran Suarez dari arah sebelah kiri bagi meletakkan kedudukan 3-0.

Suarez mengesahkan jaringan hatrik pada minit ke-57 berpunca gerakan bersama dengan Nuri Sahin sebelum Steve Morison merapatkan jurang buat Norwich empat minit kemudian.

Namun, jaringan Steven Gerrard pada minit ke-68 sudah cukup buat Liverpool mematikan sisa-sisa perjuangan Norwich biarpun berjaya memperoleh gol saguhati tiga minit sebelum permainan tamat melalui Grant Holt.

Perlawanan lain pula menyaksikan Chelsea mengekalkan status mereka di tangga teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates hasil jaringan Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata pada minit ke-53 manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Gervinho, minit ke-42.
Gol lewat Edin Dzeko membantu Manchester City meraih kemenangan 2-1 ke atas Fulham selepas ketinggalan seawal minit ke-10 hasil jaringan penalti Mladen Petric sebelum disamakan Sergio Aguero, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

SUMBER : UTUSAN




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Saturday, September 29, 2012

KEPUTUSAN SUKU AKHIR PERTAMA PIALA MALAYSIA FELDA UNITED LAWAN KELANTAN

Malam ini akan berlangsung perlawanan terakhir peringkat suku akhir pertama Piala Malaysia 2012. Pasukan Felda United akan menunggu kunjungan pasukan Kelantan di Stadium Hang Jebat, Melaka. Berikut merupakan keputusan perlwanan.

FELDA UNITED ( 1 ) vs KELANTAN ( 2 )


sumber gambar : ikhwanmencarinurillahi







TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

INTIPATI BAJET 2013


KUALA LUMPUR – Berikut ialah inti pati Belanjawan 2013 yang bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini:
* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.
* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.
* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.
* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.
* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.
* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.
* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.
* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.
* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.
* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.
* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.
* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
* DanaInfra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.
* Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
* Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.
* Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.
* Peruntukan modal Danajamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4.0 bilion hingga RM6.0 bilion.
* RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.
* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.
* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.
* RM9.0 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1.0 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.
* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.
* Pembiayaan TEKUN bagi usahawan kecil dan sederharna diberi peruntukkan RM350 juta termasuk RM50 juta bagi Skim Usahawan Masyarakat India.
* Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures dengan kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus dan jaminan 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan.
* Peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.
* Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan.
* Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
* Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin
dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
* Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015
* Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015
* Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama
* Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip “nilai untuk wang”
* Peruntukkan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.
* Peruntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.
* Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.
* Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai
* Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta
* Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.
* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.
* Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.
* Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.
* Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar. – BERNAMA




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

UCAPAN PENUH BAJET 2013 OLEH YAB PERDANA MENTERI


MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI” 


Tuan Yang di-Pertua,



Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.



MUQADDIMAH 



Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa : 
“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” 



Tuan Yang di-Pertua, 



1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.



2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.



3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.



4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia. 



5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.



6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.




PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013



Tuan Yang di-Pertua,



7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama. 



8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.



9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.



10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.




PERUNTUKAN BAJET 2013



Tuan Yang di-Pertua, 



11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.



12. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.



13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.



14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.




FOKUS BAJET 2013



Tuan Yang di-Pertua, 



15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.




FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN



Tuan Yang di-Pertua,



16. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit.



17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.




Menggalak Pelaburan Domestik



Tuan Yang di-Pertua,



18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.




Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana 



19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.



20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.



21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal kerja PKS terlibat.



22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.



23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.




Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas



Tuan Yang di-Pertua,



24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia. 



25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem. 



26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.



27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.




Merancak Sektor Pelancongan



Tuan Yang di-Pertua,



28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.




Meningkat Aktiviti Pertanian



29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 



30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.



31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.




Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan



Tuan Yang di-Pertua, 



32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.




Membela Nasib Petani dan Nelayan



33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.



34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.



35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.



36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.



37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.




Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan



Tuan Yang di-Pertua,



38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.



39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit.



Tuan Yang di-Pertua,



40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.



41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.



42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.



43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.



44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.



45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif. 




Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)



Tuan Yang di-Pertua,



46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).



47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.



48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.



49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit.



50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC. 



51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.



52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.




Wakaf Korporat 



Tuan Yang di-Pertua, 



53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia.




Pembangunan Usahawan Bumiputera



Tuan Yang di-Pertua, 



54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.



55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.



56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.



57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada masyarakat India.




FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN



Tuan Yang di-Pertua, 



Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 



58. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.



59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.



60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.



Tuan Yang di-Pertua,



61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.




Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak



Tuan Yang di-Pertua, 



62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.



63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif, Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:



Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;



Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;



Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan



Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta.



64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.




Latihan dan Kemahiran



65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.



66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.



67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.



68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.



69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.



70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.



71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.




FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI



Tuan Yang di-Pertua,



Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran



72. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:



Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan



Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.




Penyelidikan dan Pembangunan



Tuan Yang di-Pertua, 



73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.



74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:



Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan



Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun. 




Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu



75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.




Menyemarak Inovasi Inklusif



Tuan Yang di-Pertua,



76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).




Pembangunan Teknologi Hijau



77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.




FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM



Tuan Yang di-Pertua,



78. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.



79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.



80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.



81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.



82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.



83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.



Tuan Yang di-Pertua,



84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.



85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.



86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.




Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia



Tuan Yang di-Pertua,



87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.



88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.



89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit. 



90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.



91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.



92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.



Tuan Yang di-Pertua,



93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.



94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.



95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.




FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT



Tuan Yang di-Pertua,



96. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.




Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni



Tuan Yang di-Pertua,



97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:



Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;



Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;



Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan



Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.



Tuan Yang di-Pertua,



98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.



99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.



Tuan Yang di-Pertua,



100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:



Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;



Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;



Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan



Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia



Tuan Yang di-Pertua,



101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.




Memacu Transformasi Komuniti



Tuan Yang di-Pertua,



102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.



103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu.



104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.




Program Transformasi Luar Bandar



105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.




Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli



106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:



Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;



Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah;



Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;



Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan



Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.




Kesihatan Asas Kesejahteraan



Tuan Yang di-Pertua,



107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.



108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.




Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat



Tuan Yang di-Pertua,



109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:



Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;



Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan



Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh SKMM. 



Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.



110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.



111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta. 



112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.




Belia dan Sukan



Tuan Yang di-Pertua,



113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi. Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.



114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.



115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.



Tuan Yang di-Pertua,



116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.



117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.



118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.



119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.



Tuan Yang di-Pertua,



120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia.




Mengiktiraf Karyawan dan Seniman



Tuan Yang di-Pertua,



121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.




Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar



Tuan Yang di-Pertua,



122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.



123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.




Perumahan untuk Rakyat 



Tuan Yang di-Pertua,



124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.



125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.



126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.



127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit seunit.



128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.



129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.



130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.



Tuan Yang di-Pertua,



131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.




Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah



132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.




Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai



133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut:



Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;



Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;



Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan



Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.




Bantuan dan Insentif Rakyat



Tuan Yang di-Pertua,



Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)



134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat. 



135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.



136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.



137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.



Tuan Yang di-Pertua,



138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.



139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.



140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.




Penyeragaman Harga



Tuan Yang di-Pertua,



141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.



142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.




Mempermudah Ibadah Haji



143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.




Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi



144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.



145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.



146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan. 




Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah



Tuan Yang di-Pertua,



147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.



148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.




Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar



149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.



150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.



151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.



152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.



153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.



154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.



155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.




Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar



Tuan Yang di-Pertua,



156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.




Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)



Tuan Yang di-Pertua,



157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:



Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;



Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan



Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.



Tuan Yang di-Pertua,



158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.



159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan. 



160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.




PENUTUP 



Tuan Yang di-Pertua,



161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.



162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 



163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.



Tuan Yang di-Pertua,



164. Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi.



165. Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.



Tuan Yang di-Pertua,



166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.



Tuan Yang di-Pertua,



167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan.



168. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang. 



Tuan Yang di-Pertua,



169. Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.



170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.



Tuan Yang di-Pertua,



171. Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”. Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan.



172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.



173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.



174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah. 



Tuan Yang di-Pertua,



Saya mohon mencadangkan.






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget