WAJAH KESAYANGAN HAMBA

Wednesday, June 24, 2015

KE PENTAS FINAL PIALA PERDANA MENTERI 2015

Berikut merupakan corat-coret KDBM STAR sebelum, semasa dan selepas Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh kali ke-42.

1. Sebelum bertolak ke SEHEBAT, para pembahas telah mengorbankan masa cuti mereka khususnya cuti 1 Mei (hari pekerja) dan 16 Mei (pengorbanan guru pada hari guru) untuk menyertai perlawanan persahabatan. Pertama 1 Mei di SMS Selangor dan kali ke dua di SMK Putrajaya Presint (1). Alhamdulillah, kata orang tua, usaha itu tangga jaya. Berkat pengorbanan kita berjaya. 


12 sekolah terlibat dengan Perlawanan Persahabatan 12 Penjuru di SMK Putrajaya Presint (1)


2. Pada tahun ini, STAR tidak menghantar pelajar-pelajar Tingkatan 5 ke HKSBP. Pasukan ini telah digandingkan buat kali pertama dalam Pertandingan Debat Piala Menteri Besar Perak pada bulan Jun 2014. Antara kejayaan gandingan Ilman, Afif dan Syameel sebelum ini ialah muncul juara Liga IIUM IDC 2014 dan juara Cabaran Debat Muda Zaaba, Universiti Kebangsaaan Malaysia.  Syameel Aieman merupakan kapten pasukan merupakan pelajar Tingkatan 4, Afif Nazhan Tingkatan 4, Ilman Hakim Tingkatan 3 dan Aliff Hazim Tingkatan 4. 


Dari kiri Syameel, Afif dan Ilman. 

3. STAR memulakan perlawanan dalam HKSBP kali ini agak mencemaskan apabila tewas dalam perlawanan pertama menentang pasukan pilihan, SM Sains Banting. Membahaskan usul 'Media Sosial Medium Lambakan Maklumat Sahih", STAR tewaqs 1-2 keputusan juri dan Zulaika dari SMS Banting. Namun, bak kata cikgu Shahnun, inilah sebenarnya Percaturan terbaik Allah menyulitkan laluan, namun diakhirkan Insha Allah akan dipermudahkan. Cuma terus istiqamah, baiki kesilapan dan berdebatlah dengan sepenuh hati. Alhamdulillah, Allah permudahkan laluan sehingga ke final. 


Syafika (BASIS) sedang menyampaikan hujah. 

4. Sebelum ke final, STAR melalui perlawanan yang agak mendebarkan bertemu 4 buah sekolah ini. Tiga daripadanya nama besar dalam arena debat sekolah Berasrama Penuh, dan satu lagi 'giant killer'  yang membuat kejutan. Di peringkat double octo, STAR bertemu SDAR, bekas Johan PPM serta di peringkat Octo, STAR bertemu INTEGOMB, juga bekas juara PPM. Manakala di peringkat separuh akhir pula, ditakdirkan bertemu Kolej Tunku Kurshiah, pasukan yang cukup konsisten tahun ini, sering menjadi perbualan warga HKSBP ke-42. Selain itu juga, pertemuan menentang satu-satunya wakil Malaysia Timur, SMS Sabah di suku akhir juga tidak kurang hebatnya. SMESH telah membuktikan betapa sekolah-sekolah dari Zon S Q L tidak boleh lagi dipandang sebelah mata. Syabas SMESH. 


Selepas pertemuan menentang TKC di peringkat separuh akhir. 

5. Sesuatu yang menarik dalam penyertaan HKSBP tahun ini, ketiga-tiga pembahas STAR berjaya mendapat gelaran pembahas terbaik. Makna kata, tiada siapa dalam pasukan yang terlalu menonjol dan menenggelamkan ahli kumpulan yang lain. Walaupun ketiga-tiganya tidak berada dalam kedudukan 10 pembahas terbaik keseluruhan, namun membentuk pasukan seimbang dalam ketiga-tiga peranan pembahas adalah lebih bermakna. Pasukan yang seimbang  adalah sangat penting dalam menghadapi sesuatu pertandingan.


Bersama T-shirt baru tahun ini. 

6. Diakhirnya kejayaan sesuatu pasukan tidak akan hadir tanpa usaha, disiplin dan kesungguhan. Alhamdulillah Keluarga Debat bahasa Melayu sentiasa bergerak sederap sebagai sebuah keluarga. Selepas memenangi Piala Perdana Menteri pada tahun 2011, KDBM STAR hampir melangkah ke final untuk tahun 2014 dan 2013. Kami tewas di separuh akhir untuk ke dua-dua tahun.  Namun perjalanan tidak pernah canggung, langkah tidak pernah resah, kaki terus melangkah tanpa rebah dan penuh istiqamah. Ada sosok tulus yang tak pernah kebah membimbing kami, walau sesakali ada marah dan rajuk, namun tetap tabah dan istiqamah membimbing KDBM STAR. Terima kasih buat guruku, Shahnun Abdul Ghani. Buat junior-junior KDBM STAR yang sentiasa membantu menjadi rakan sperguruan dan teman mencari bahan, terima kasih buat kalian. Juga para senior yang masih sudi menjenguk adik-adik di STAR dengan curahan ilmu dan perkongsian pengalaman. Insya Allah, legasi ini akan dipertahankan. 



Sumber : KDBMSTAR

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

Monday, June 15, 2015

STAR IPOH CATAT HATRIK KEJUARAAN KEJOHANAN HOKI SEKOLAH BERASRAMA PENUH

Kolej Islam Sultan Azlan Shah (KISAS) dengan kerjasama UNITEN dan BPSBPSK telah mengelolakan Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan Piala Uniten 2015 bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Kejohanan yang berlangsung selama empat hari mulai 14-17 Mac 2015 telah menyaksikan lapan belas pasukan lelaki dan lapan belas pasukan perempuan bertanding. STAR Ipoh merupakan juara bagi tahun 2013 dan 2014, hadir dengan hasrat untuk mencatat keputusan hatrik. Alhamdulillah, STAR layak ke final menentang SERATAS. Dalam perlawanan akhir, STAR berjaya menewaskan SEARATAS 3-1 dalam penentuan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 tamat permainan sebenar. Dalam kategori perempuan, SBPI Sabak Bernam muncul juara setelas mengalahkan SMS Johor 2-0 dalam aksi final.
Keputusan Penuh Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan Piala UNITEN 2015
Kategori Lelaki
1. Sek Tuanku Abdul Rahman
2. SMS Raja Tun Azlan Shah
3. SMS Johor
4. Sek Dato’ Abdul Razak
Pemain Terbaik Kejohanan : Muhammad Darwish bin Ayob (STAR)
Penjaga Gol Terbaik : Muhammad Luqman Hakimi bin Mohamad Sabri (SERATAS)
Penjaring Terbanyak : Aliff Izzuddin bin Abdul Rashid (SERATAS)
Kategori Perempuan
1. SBPI Sabak Bernam
2. SMS Johor
3. Sek Seri Puteri
4. SMS Selangor
Pemain terbaik kejohanan : Nurul Azmira bt Azman (Intesaber)
Penjaga gol terbaik : Nur Aqilah Aliah bt Abdul Rahim (SMS Johor)
Penjaring terbanyak : Aini  Izzati bt Mohd Sobari (Intesaber)
1
2
3
4

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

TEKS UCAPAN Y.B DATO’ SERI IDRIS BIN JUSOH, MENTERI PENDIDIKAN II SEMPENA LAWATAN KERJA KE STAR IPOH

TEKS UCAPAN Y.B DATO’ SERI IDRIS BIN JUSOH, MENTERI PENDIDIKAN II
SEMPENA LAWATAN KERJA KE STAR IPOH

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Program Lawatan Kerja Y.B Menteri Pendidikan II ke STAR Ipoh. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada seluruh warga S.T.A.R kerana kesudian menerima Lawatan Kerja Menteri Pendiidkan II pada petang ini.  Alhamdulillah, sebagai seorang Menteri yang telah mendapat pendidikan awalnya di sekolah ini, saya amat berbangga menyaksikan kejayaan dan pencapaian STAR dalam pelbagai bidang dan hari ini STAR terus unggul sebagai salah satu sekolah yang terpilih sebagai “ School of Global Excellent”.
Hadirin-hadirat yang dihormati,
2. Pada hari ini kita sedang berhadapan dengan realiti baharu abad ke-21. Malaysia sedang ditransformasikan sebagai negara maju berpendapatan tinggi berasaskan kreativiti dan inovasi.  Transformasi negara memerlukan sumber manusia yang bakatnya digilap bertanda-araskan bakat terbaik global dan memiliki kompetensi yang dapat menjuarai apa jua persaingan dalam apa jua arena di pentas global. Justeru,  Inisiatif Sekolah Berkecemerlangan Global atau School Of Global Excellent (SGE) merupakan ikhtiar inovatif bagi menterjemahkan dasar Kerajaan dan agenda transformasi sedia ada, terutamanya aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. SGE merupakan program pembelajaran terancang yang disisipkan pelaksanaannya ke dalam sistem SBP sedia ada bagi melairkan lepasan sekolah yang mencapai tahap Bakat Luar Biasa Global atau Extraordinary Global Talent (EGT).  Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memilih sepuluh sekolah di Malaysia sebagai School Of Global Excellent yang bertanggungjawab sebagai pusat pengembangan bakat. 
3.      Dalam konteks SGE, ia merupakan program pembelajaran terancang yang dibina oleh tiga unsur iaitu pertama Berdaya Saing Global (global performance)  yang bermaksud menjuarai apa jua persaingan dalam apa jua bidang pada pentas antarabangsa. Justeru para pelajar di SGE haruslah mengambil bahagian dalam pertandingan dan aktiviti antarabangsa yang meliputi akademik, sukan dan kokurikulum. Selain itu juga, penampilan dalam pertandingan dan aktiviti antarabangsa tersebut mempamerkan keunikan, kreativiti dan inovasi. Selain itu juga, para pelajar di SGE seharusnya mengambil bahagian dalam aktiviti kesukarelawan pada peringkat antarabangsa. Daripada segi akademik, sekolah menyediakan murid menjalani program pengajian professional peringkat antarabangsa seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), Middle Years Programme International Baccalaureate (MYPIB) dan sebagainya.  Saya difahamkan, STAR telah benyak memenangi pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti sukan ragbi dan juga pasukan wind orchestra.
4.      Unsur ke dua ialah Perwatakan Global (global outlook) yang bermaksud penampilan sifat dan sikap yang lazim dipamerkan oleh komuniti antarabangsa yang cemerlang dalam sesuatu bidang. Dalam unsur ini, modal insan yang diharapkan lahir dari produk SGE dapat mempamerkan daya kepemimpinan seperti kesediaan mengetuai kumpulan atau aktiviti, artikulatif, beraspirasi tinggi dan sedia bertanggungjawab. Dan saya percaya, sejarah telah membuktikan STAR telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh politik, cendikiawan, tokoh korporat mahupun perkhidmatan awam yang disegani di Malaysia.
5.      Unsur ke tiga ialah Standard Global (global standard) yang bermaksud penguasaan kompetensi yang releven  dengan keperluan untuk bersaing dan memenangi persaingan di peringkat anatarabangsa. Dalam unsur ini, murid diharap memiliki dan mempamerkan kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), daya invensi, daya inovasi dan daya keusahawanan. Selain itu juga murid boleh mempamerkan kemahiran kimunikasi dan menguasai pelbagai bahasa anatarabangsa.
Hadirin-hadirat yang dihormati,
6.      Iklim persekolahan di SGE harus dipacu oleh pusat-pusat pembelajaran seperti bilik-bilik sumber, perpustakaan dan bilik-bilik darjah. Justeru ruang pembelajaran yang terpenting dalam keseluruhan ialah bilik darjah, maka sistem pendidikan yang beraspirasi melahirkan juara global masa hadapan tiada pilihan kecuali mentransformasikan bilik darjah kepada bilik darjah masa hadapan. Bilik-bilik darjah masa hadapan harus dilengkapi dengan komponan digital yang terdiri daripada prasarana teknologi digital yang berfungsi sebagai pemboleh pembelajaran generatif. Begitu juga dengan warga pendidik juga harus berubah dengan peredaran zaman. Guru seharusnya menjadi guru natif digital yang berkompetensi memanfaatkan perkakasan serta perisian teknologi digital.  Sir Michael Barber, bekas ketua penasihat pendidikan Kerajaan United Kingdom mengungkapkan kata-kata berikut :
“If we want a different, richer, better, deeper, more sustainable future we will have to choose it and pursue it with vigour. Humility overcomes hubris. Generosity triumphs. And the only place to start is in our classroom”
7.      Pada hari ini saya akan merasmikan S.T.A.R Communitech Hub iaitu bangunan yang menempatkan pusat pembelajaran SGE. Saya berharap semua warga STAR termasuklah guru-guru dan para pelajar memanfaatkan kemudahan yang disediakan di bilik darjah masa hadapan atau future classroom seperti capaian internet yang meluas, kemudahan tablet untuk pelajar bagi memastikan proses pembelajaran interaktif dapat dilaksanakan.  Saya juga difahamkan sekarang merupakan fasa tujahan di mana dalam fasa ini memerlukan anjakan yang besar dari seluruh warga sekolah dalam memahami program SGE ini kerana ianya memerlukan tindakan pembaharuan yang sistematik merentasi segenap dimensi. Saya percaya seluruh warga sekolah telah pun memahami hasrat yang diinginkan oleh Kemementerian Pendidikan terhadap program SGE ini dan pengetua sebagai pemimpin pembangunan bakat  telah memainkan peranan dengan berkesan dalam memacu S.T.A.R Ipoh sebagai salah satu dari 10 sekolah kemegahan negara.

Saudara-saudari sekalian,
8.      Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Pemegang Amanah Yayasan Tun Hamdan yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari tiga buah sekolah iaitu STAR Ipoh, SMK Iskandar Shah, Parit dan SMK Clifford, Kuala Kangsar yang sentiasa menjadikan program penyampaian zakat dan biasiswa Yayasan Tun Hamdan sebagai acara tahunan bagi membantu pelajar-pelajar di tiga buah sekolah di mana  Allahyarham Tun Hamdan bin Sheikh Tahir pernah berkhidmat sebagai guru besar. Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang bagi membantu anak-anak pelajar yang kurang berkemampuan, tetapi memiliki keazaman dan iltizam yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran mereka.  Kepada para pelajar yang terpilih menerima biasiswa Yayasan Tun Hamdan, Marilah kita berdoa semoga roh bekas tokoh pendidikan yang amat kita sayangi ini ditempatkan bersama para syuhada dan beriman.

9.      Saya yakin transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa mengenal erti putus asa, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat dengan komitmen yang tinggi lagi berintegeriti. Kita perlu berusaha dan berubah daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan.
Ruyung dilelas sagu bersisa
Letih dan lelah tidak diendah
Berpayung menggalas amanat nusa
Kerja yang rumit menjadi mudah
10.    Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga STAR kerana menjemput saya merasmikan S.T.A.R Communitech Hub dan menyampaikan Biasiswa Yaysan Tun Hamdan kepada para pelajar. 
Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

TEKS PERASMIAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK 2015


Terima kasih saudara/saudari Pengacara Majlis
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1.Yang Berusaha Tuan Hj  Jamaludin b Yaacob,
   Pengetua Cemerlang  SMS TSSS

2.Yang Berbahagia En Mohd Nasri bin Jamaludin,
   YDP PIBG SMTSSS

3.Yang Dihormati Pengetua-Pengetua SBP Zon utara, Pengetua-Pengetua  
   Sekolah Menengah Daerah Bukit Mertajam,

4. Barisan Penolong Kanan, Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran,
    Barisan Guru Cemerlang,Guru-guru,  Barisan Ahli Jawatan Kuasa PIBG
    Serta ALUMNI SM SainsTSSS

5. Yang Diraikan Para  Penerima Anugerah,  Para Ibu Bapa, dan Para
    Pelajar Sekalian


1.       Alhamdulillah, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya bersama tuan-tuan dan puan-puan pada hari yang penuh bermakna ini dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ke-41 Tahun 2015. Sebelum meneruskan ucapan, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini dan seterusnya menyampaikan sijil kecemerlangan kepada penerima anugerah.
2.      Majlis pada hari ini merupakan satu penjelmaan kesepaduan yang akrab terjalin antara guru, pelajar, dan ibu bapa demi merealisasikan aspirasi dan impian para pelajar untuk mencipta kecemerlangan.Oleh itu, janganlah dilihat majlis ini sebagai suatu upacara dan keraian semata-mata. Lebih daripada itu, acara pada pagi ini merupakan suatu simbolik yang memaknakan kejayaan semua pihak, iaitu individu atau entiti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan disedari atau tanpa disedari di sebalik jejak tapak kecemerlangan yang telah dirintis oleh mereka. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SMSTSS iaitu barisan pentadbir, guru-guru, para pelajar dan staf atas sokongan dan usaha yang ditunjukkan dalam mencemerlangkan pelajar sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum serta kemenjadian pelajar pada tahun 2014. Sebagai sebuah sekolah SBT, usaha untuk mengangkasakan SMSTSS sebagai SBT merupakan misi utama pada tahun 2015  ini. Maka hala tuju yang jelas perlu diberikan kepada seluruh warga SMSTSSh untuk kita sama-sama menjayakan misi SMSTSSS  sebagai SBT. Saya kira cabaran terbesar seluruh SBT adalah untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah diraih. Maka seharusnya semua warga SMSTSS bersama-sama dengan para pentadbir hendaklah memastikan sekolah ini terus berada di Band 1, dan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan penurunan Band dalam SBT. Dan untuk memastikan SMSTSS terus berada di Band 1 maka kecemerlangan akademik SPM, PT3 di samping kecemerlangan kokurikulum juga mesti seiring.

Yang Berbahgia dato-dato/datin-datin serta hadirin sekalian,

3.      Memetik kata-kata Ahli falsafah Yunani, “Orang yang hidup hanya dengan harapan dan menunggu tanpa usaha dan fikir, akan mati kelaparan”.  Oleh itu, kepada para pelajar yang menjadi generasi pewaris kepimpinan dan peneraju pembangunan negara, anda perlulah mempunyai jiwa besar dengan lingkungan perspektif yang luas dan akal budi yang waras untuk membuat sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, bangsa dan negara. Ramai yang menganggap bahawa kepujian akademik sama ada dalam bentuk ijazah atau diploma dan sebagainya menjadikan seseorang graduan itu orang yang berpengetahuan. Tanggapan seumpama ini bukanlah tepat sepenuhnya. Malahan perkara ini akan menjadikan seseorang itu jumud dan beku, seterusnya akan menjadi culas dan kerdil untuk mentransformasikan dirinya ke arah yang lebih baik. Dalam hal ini, anak-anak pelajar sekalian haruslah bijak membuat perancangan dan hala tuju mengenai laluan akademik dan kerjaya pada masa akan datang. Insya-Allah dengan kebijaksanaan dalam membuat pilihan ketika ini akan melakarkan masa hadapan yang unggul. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan selepas ini, anak-anak mestilah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar batas kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan dapat dipacu sebaik mungkin oleh azam dan iltizam yang terbaik, ibarat kata orang tua-tua, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, dan yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang.

4.      Oleh itu, visi dan misi anak-anak sekalian perlulah mula difokuskan untuk melihat lebih jauh daripada skop SPM, STPM, diploma atau Matrikulasi. Insan yang berjiwa besar sudah mampu melihat siapa dirinya dan tempat dia berada 10 tahun akan datang. Menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, memegang gelaran profesional atau menjawat jawatan penting dalam bidang kerjaya atau menjadi usahawan berjaya. Itulah bayangan yang perlu dijelmakan pada layar minda anda kini. Namun perlu diingat bahawa kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin kesejahteraan dalam kehidupan ini. Pencapaian akademik ini perlu disulami dan diisi juga dengan nilai moral, adab tertib, insaniah dan kerohanian.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,

5.      Dunia pendidikan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Salah satu cabaran yang perlu digalas oleh semua pendidik adalah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekalkan dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita mempraktikkan kreativiti dan inovasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme dalam kalangan pendidik.
6.      Bermula akhir tahun 2012, transformasi pendidikan mengorak langkah untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya bertaraf dunia dalam kelompok 1/3 terbaik di dunia melalui pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025. Pelan ini akan melalui 3 gelombang, 5 aspirasi sistem, 6 aspirasi murid, 9 bidang keutamaan, dan 11 anjakan utama. Keberhasilan sistem ini nanti akan menilai aspirasi murid dari segi, pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Manakala 5 aspirasi sistem yang dihasratkan ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.
7.      Dalam hal ini, tugas yang menanti para pendidik SMSTSSS adalah untuk menjayakan aspirasi pendidikan dengan hasrat bagi memenuhi agenda untuk meningkatkan mutu pendidikan negara supaya bertaraf dunia dan boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara berpendidikan tinggi seperti China, Finland, Korea dan Singapura. Pendidikan hari ini  tidak bergantung menelaah buku semata-mata tetapi sebaliknya murid perlu berfikir dalam aras yang tinggi. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) membolehkan seseorang murid berkeupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Oleh yang demikian, pendidikan hari ini sangat menekankan KBAT, PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) yang tujuannyabagi mencapai standard antarabangsa. Insya-Allah, dengan transformasi pendidikan hari ini akan melahirkan generasi pewaris negara yang memiliki ciri-ciri yang unik, cemerlang secara tekal dan berkeupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.
8.      Seiring dengan transformasi pendidikan era baharu ini seperti mana yang digariskan dalam PPPM, semua SBP perlu bersiap siaga mengorak langkah sederap untuk mendahului perubahan ini. Cabaran dan persaingan dalam dunia pendidikan hari ini dilihat sebagai suatu yang positif. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Sekiranya kita alpa seketika dengan kedudukan dan berasa gah dengan ‘title’ SBP dalam zon selesa, kita khuatir institusi yang lain akan mendahului kita. Hal ini dapat dilihat berdasarkan keputusan SPM 2014, memperlihatkan MRSM mendahului ranking kebangsaan. Namun begitu, sebagai sebuah sekolah di bawah naungan SBP yang mempunyai rekod membanggakan, semua warganya perlulah merealisasikan visi dan misi SBP iaitu peneraju pendidikan bertaraf dunia. Hal ini bagi mengekalkan prestasi SBP sebagai  wadah terbaik dalam menjana insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemapanan sahsiah, kesejagatan kepemimpinan dan kejituan patriotisme bagi melahirkan ahli sains, teknokrat dan profesional yang dapat memenuhi aspirasi negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

9.      Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada tuan pengetua dan barisan pentadbir kerana telah melakukan pelbagai perubahan pada tahun 2015. Perubahan ini bertujuan memberikan ruang masa belajar yang berkualiti kepada para          pelajar. Secara tidak langsung, perkara ini adalah langkah untuk     melahirkan pelajar Extraordinary Global Talent  yang memiliki           ‘Global      Performance’, ‘Global Standard’ dan ‘Global Outlook’. Saya kira pada tahun 2015 Research-led teaching juga akan menjadi budaya dalam           SBT dan begitu juga Professional Learning Community, Mentor dan           protégé serta Talent development,. Di samping itu juga, tumpuan kepada teknologi    pengajaran terkini dan bersesuaian juga menjadi nadi dalam amalan           SBT yang mementingkan pembudayaan pengajaran dan pembelajaran kelas abad ke -21 atau lebih dikenali sebagai  “future classroom.”  Guru juga perlu mempunyai kemahiran tinggi dalam literasi    multimedia (ICT) selain daripada bidang mata pelajaran yang diajar.        Pendekatan yang dicadangkan adalah berbentuk pembelajaran      berpusatkan murid, pembelajaran berpusatkan hasil/pendapatan         (outcome based), pembelajaran berasaskan penyelidikan,           penggunaan kaedah kolaborasi dan pembelajaran merentasi           kurikulum. Maka, dengan ini kita akan menghasilkan output SBT iaitu           bakat luar biasa global atau Extraordinary Global Citizen .

10.    SBT juga turut menekankan tentang keupayaan para pelajar menguasai bahasa antarabangsa. Saya juga gembira bahawa SMSTSS terus dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa antarabangsa, iaitu  Bahasa Perancis, Bahasa Jepun, Bahasa Arab dan Bahasa Cina.  Penguasaan dalam pelbagai bahasa antarabangsa ini sudah tentu akan meningkatkan lagi keterampilan pelajar-pelajar sekolah ini,         bukan sahaja pada peringkat nasional, malah juga di peringkat antarabangsa.  Malah, setelah menamatkan persekolahan nanti, pelajar-pelajar SMSTSSS  bukan sahaja cemerlang akademik,        malah akan menjadi generasi yang ‘by-literate and try-lingual          person’, iaitu generasi yang menguasai lebih daripada satu kemahiran dan boleh menggunakan beberapa bahasa antarabangsa. Hal ini akan menjadikan pelajar S.MSTSS lebih ‘compatible’ dan lebih ’marketable’ dalam pelbagai bidang di dunia yang bersifat     global pada hari ini.

Hadirin-hadirat sekalian,

11.    Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa yang telah berjaya membesarkan, mendidik dan membimbing anak tuan-tuan sebagai insan cemerlang yang pastinya menjadi kebanggaan seisi keluarga.  Begitu juga kepada para guru, warga pendidik yang saya kira menjadi tulang belakang yang cukup kuat dan hebat kepada kejayaan anak-anak ini. Oleh itu sebagai tanda kasih sayang, penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru sekalian dan ibu bapa, saya meminta semua penerima anugerah dan hadirin sekalian untuk memberikan tepukan yang gemuruh buat mereka.
11.         Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga SMSTSS kerana telah berjaya mengadakan majlis ini dengan penuh istiadat dan tertib. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa mudah-mudahan Allah SWT akan terus melimpahkan rahmat perlindungan dan naungan-Nya kepada kita agar kita dapat terus iltizam dengan usaha murni ini. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun :

Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi junjungan kasih
Kekal cemerlang sepanjang zaman

Di waktu pagi berlagu nazam
Girangnya rasa si anak dara
Warga SMSTSS teruskanlah  azam
Binalah bangsa bangunkan  negara


Akhir sekali, dengan lafaz suci: Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik ke-41 Tahun 2015. 




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI HOK SENGOTI. SEMOGA KUNJUNGAN INI BUKAN UNTUK YANG TERAKHIR KALINYA. BERTEMU KERANA ALLAH, BERPISAH PASTI TIDAK GELISAH.

PENCINTA BULAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MONOLOG


Kepada kau yang ditendang murid...
Kepada kau yang menendang murid...
Kepada kau yang lari tak nak ke pedalaman..
Kepada kau yang tak mau pulang ke semenanjung dari pedalaman...
Kepada kau yang makan gaji buta...
Kepada kau yang ajar orang buta...
Kepada kau yang 'mengipas' guru besar...
Kepada kau yang jadi guru besar...
kepada kau yang denda murid merokok...
kepada kau yang merokok dalam stor...
kepada kau yang yang marah murid mengorat...
kepada kau yang mengorat anak murid...
kepada kau yang sepak murid x makan saman...
kepada kau yang disaman ibu bapa

TANPA KAU SEKOLAH SERBA TAK KENA

PING SANA, PING SINI

My Ping in TotalPing.com | Blogged.my | Syoknyer Blogging blogr.my

PENAFIAN

Blog ini merupakan blog peribadi penulis, tidak mewakili aspirasi mana-mana parti politik, organisasi, NGO mahupun tempat penulis bekerja. Hasil penulisan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri. Penulis tidak bertanggungjawab atas masalah "KECIL HATI" yang kronik bagi sesiapa yang mengunjungi blog ini..terima kasih

ShoutMix chat widget